ummihani.abuhassan@yahoo.com.my/ 2016

Catatan Panas Ketika Sejuk

December 16, 2016

 

 

 

Lorong-Lorong Yang Mengilhamkan

 

Musim panas yang lebih panjang sering membangunkan tidur kami pada waktu yang tidak diduga. Misalnya, ketika saya merasakan ‘baharu’ saja melelapkan mata, rupanya deringan Subuh sudah berbunyi pada jam3.30 pagi! Seperti sekerlip mata, pada jam 5 pagi, matahari sudah memancar di langit Seoul.

 

Kelas saya yang paling awal jam 9 pagi. Kebiasaannya, saya akan memasak untuk suami dan Dawud serta menyediakan bekal Darda’ ke tadikanya sebelum keluar rumah. Perjalanan ke universiti dengan subway dan bas memakan masa antara 15 ke 20 minit. Jam 8.30 pagi, ketika kaki melangkah ke medan ilmu, lambaian comel dari balik tingkap menyuburkan semangat dalam diri. “Umi…Umi..” jerit Dawud sambil melambai dengan senyum manis. Faham, saya keluar ke universiti untuk bertugas.

 

Mentari galak memancar, kaki saya bersaing dengan banyak kaki yang lain; dari usia sekecil 4 tahun hingga ke 80-an. Yang masing-masing berkejaran menuju destinasi, mungkin tadika, sekolah, tempat kerja dan ‘tempat lepak.’ Dalam pakaian musim panas yang biasanya nipis dan berwarna-warni, ada juga yang memakai topi dan memegang payung. Kaum ibu antara paling sibuk waktu pagi. Saya lihat ramai mereka menyorong ‘stroller’, atau menyangkut bayi dalam ‘carry bag’ sambil tangan sebelah memegang anak yang lebih besar menuju tadika. Biasanya, setelah menghantar anak ke pusat jagaan, mereka akan bergegas ke tempat kerja pula. Syukur, saya mempunyai suami yang dapat meringankan sedikit tugasan seorang ibu di perantauan ini.

 

Dalam stesen subway, suasana sedikit hingar dengan bunyi tapak kasut. Tidak mustahil bahu atau tubuh ditolak oleh orang-orang yang mengejar ketibaan subway. Seringkali saya menggeleng kepala melihat perempuan yang bertumit tinggi berlari laju kemudian melompat tangga semata mahu masuk ke perut subway. Saya membayangkan jika mereka terjatuh, pasti keadaannya sadis dengan baju sendat dan skirt pendek. Tetapi nampaknya mereka hanya tahu ‘lari, lompat dan cepat!’

 

Kekurangan

 

Dalam tren yang sendat di waktu pagi, saya berasa sunyi dalam dunia sendiri. Barangkali juga orang-orang Korea di sekeliling berperasaan yang sama. Masing-masing tidak bernafsu untuk bersembang satu sama lain. Yang mereka lakukan adalah berkomunikasi dengan telefon bimbit. Ada yang senyum seorang diri ketika membalas mesej, lelaki dewasa biasanya membaca berita online dengan wajah serius, orang muda mendengar lagu yang hanya dia seorang mendengar dari corong earphone, orang perempuan selalunya melayari laman shopping seperti Gmarket, Coupang atau mencari maklumat di Naver. Saya sendiri, jika tidak melihat mesej Whatssup atau Facebook, akan mengeluarkan buku untuk dibaca. Akhirya, tren menjadi persinggahan orang-orang yang sibuk berhubungan dengan ‘dunia lain.’

Saya akui, kekurangan utama tinggal di Korea selama lebih dua tahun adalah tidak menguasai bahasa ibunda mereka. Mata hanya memandang sepi pada tulisan hangul yang penuh di sepanjang jalan saat menaiki bas. Telinga tidak dapat membaca maksud sewaktu mendengar penumpang sekeliling berbicara. Jikalau mereka mengumpat saya sekalipun, entahkan saya boleh tersenyum, gara-gara tidak faham bahasa Korea. Ada banyak yang mahu saya bualkan dengan penumpang sebelah, entahkah dia juga ada sesuatu yang mahu dibualkan dengan saya, tetapi kami dihalang oleh bahasa. Akhirnya, kami membaca diri masing-masing dengan fikiran. Saya hanya mengagak itu dan ini yang berpapasan di mata menurut logik sendiri. Ah! Bayangkan jika saya menguasai bahasa mereka, berapa banyak maklumat tepat setiap hari saya terima?   

 

Saat turun dari kenderaan awam, subway atau bas, banyak sekali idea yang muncul. Melihat wajah pemandu bas yang setia mengucapkan ‘annyeonghaseyo’ kepada setiap penumpang, saya pernah terfikir, berapakah gaji bulanannya? Berapa jam seharikah dia bekerja? Di manakah dia menyewa rumah di Seoul yang serba mahal ini? Ketika saya terlewat, saya memilih teksi dari stesen subway ke universiti. Tambangnya adalah 3 ribu won (RM10) untuk sekali masuk dan nilai bertambah apabila meternya mula bergerak. Tetapi pemandu teksi di Korea nampaknya tidak terlalu bergantung kepada meter ketika memandu, yang penting adalah cepat sampai! Selaju yang boleh mereka memandu, bahkan selalu memilih jalan terpantas tiba ke destinasi. Mereka tidak fikirkan yang mereka akan ‘untung lebih’ jika memandu perlahan. Ironinya, pemandu teksi adalah kumpulan yang paling ‘samseng’ dan gemar membunyikan hon kuat kepada kenderaan lain; gara-gara mahu cepat sampai.

 

Suatu hari, teman saya yang fasih berbahasa Korea mengatakan, “Pemandu teksi di sini mereka terima gaji bulanan yang tetap. Jika mereka kurang atau lebih penumpang pun, gaji mereka tetap sama sekitar 2 juta won.”

 

Kehidupan

Sungguhpun begitu, kami bersyukur kerana kehidupan tanpa ‘bahasa Korea’masih berlangsung baik. Ternyata, bukan kata-kata yang mengeratkan kerukunan berbanding tindakan dan senyuman. Kami terus berusaha memahami orang-orang tempatan terutama pihak tadika Darda’. Hingga ke saat ini, saya atau guru kelas Darda’ tidak boleh ‘bersembang’. Ianya menyedihkan. Diam-diam, saya merancang untuk menulis cerpen, ‘Cerita Sang Bisu Seorang Ibu dan Guru Tadika.’

 

Begitulah catatan bulan ini, lorong-lorong yang saya lalui semuanya lorongan ilham yang membesar dan hampir pecah adakalanya. Benar kata pujangga kita, jauh berjalan banyak pengalaman. Dan tentunya bagi kami sekeluarga, pengalaman yang membesarkan jurus pandang terhadap kebesaran Allah swt.

Please reload

Featured Posts

I'm busy working on my blog posts. Watch this space!

Please reload

Recent Posts

September 3, 2019

July 21, 2019

April 29, 2019

April 24, 2019