ummihani.abuhassan@yahoo.com.my/ 2016

Panjat Tangga di Korea..fuhh

December 27, 2016

 

Gambar: panjat tangga adalah warna-warna kami di perantauan

 

Memasuki September 2016, genap 6 semester atau 3 tahun saya berjodoh dengan Hankuk University of Foreign Studies, Seoul (HUFS) sebagai mahasiswa Phd dan pensyarah tamu. Salah-satu daripada banyak pengalaman unik adalah memanjat tangga. Di semester ketiga, baharu saya tahu yang universiti kami hanya menyediakan lif untuk bangunan lebih dari tujuh tingkat (kecuali perpustakaan). Rata-rata bangunan kelas adalah enam tingkat dan pastinya tanpa lif!

 

Memanjat tangga bukan kerja yang susah di Korea, hatta jika jumlah tangganya berjumlah 50 atau lebih. Masyarakat ‘pejalan kaki’ ini menganggap ianya sebagai ‘senaman harian’ yang penting. Berpagi-pagi ke kelas, saya melihat orang-orang Korea menuruni tangga escalator laju, seperti anak-anak ayam yang lapar terlepas dari kandang. Mereka, bahkan tidak sempat menoleh orang di kiri kanan. Gara-gara mahu mengejar tren paling awal tiba. Jika tidak berhati-hati, saya mungkin terjatuh ditolak mereka. Saya tertegun melihat wanita Korea dengan kasut bertumit tinggi dan skirt sendat, boleh melompat selaju mungkin untuk tidak terlepas tren. Nenek yang saya lihat berjalan perlahan, boleh pula berlari dan melompat anak tangga tatkala mendengar bunyi tren tiba di stesen. Saya ketawa dalam hati. Tetapi, pada waktu-waktu tertentu, perangai ‘gila’ itu berjangkit pula ke kaki saya.

 

Semester Pertama di Hufs

 

Buat pertama kalinya saya mengenal tangga-tangga di Korea ketika mendaftar di HUFS semester pertama. Dalam keadaan sarat mengandung waktu itu, terpaksa juga saya menapak anak tangga ke tingkat empat. Melihat profesor yang sudah tua, cergas menghayun langkah saya pun jadi bersemangat. Dalam hati, saya berdoa semoga anak saya lahir normal hikmah dari berjalan kaki dan memanjat tangga. Alhamdulillah, harapan dimakbulkan Tuhan.

 

Suatu hari, saya dan rakan menunggu profesor masuk ke kelas. Beberapa minit kemudian, profesor yang berusia akhir 50-an itu muncul dengan wajah kepenatan dan berkata, “Oh, saya ni dah tua, penat sungguh panjat tangga tadi.” Kami senyum, siapa yang tidak penat memanjat tangga setinggi lima tingkat bangunan? Tetapi memanjat sudah menjadi budaya (mungkin sebati) dengan masyarakat Arirang. Tanpa memanjat, ‘kekoreaan’ mereka barangkali hilang.

 

Setelah penat memanjat tangga belum hilang, saya belajar pula menaiki bas dari rumah ke universiti. Gara-gara, tidak mahu banyak berjalan kaki kerana bas biasa berhenti di pintu utama. Sejak itu, saya setia memanjat tangga bas yang lebih pendek berbanding tangga di stesen subway yang tinggi dan melelahkan. Namun, seorang profesor telah membuka pandangan saya terhadap ‘berjalan dan memanjat.’ “Saya suka berjalan dan naik tren daripada naik bas. Setiap hari saya akan pastikan saya berjalan sekurangnya 1000 langkah kerana itulah terapi kesihatan saya,” katanya. Baharulah saya tahu betapa ‘bernilainya’ berjalan kaki dan memanjat tangga kerana ia umpama vitamin berharga ribuan ringgit. Hanya orang yang menghargai kesihatan akan sanggup berbuat apa sahaja untuk kekal sihat terutama apabila usia mencecah 50-an ke atas.

 

 

Budaya Memanjat Gunung

 

Saban minggu kami melihat orang tua, lelaki dan wanita dalam pakaian sukan warna terang akan menggalas beg belakang bersama tongkat pendakian. Mereka baru pulang dari memanjat gunung di sekitar Seoul. Ramai rakan Korea saya, apabila ditanya apakah aktiviti lapang mereka, pasti jawapannya mendaki gunung. Saya membuat sedikit pembacaan, mengapa orang Korea suka memanjat gunung? Jawapannya kerana memanjat gunung adalah salah-satu tradisi agama Buddha. Air di puncak gunung dipercayai akan memberikan kesihatan dan usia panjang kepada si pendaki. Di zaman moden, kebanyakan orang muda memanjat gunung sebagai aktiviti kesihatan. Oleh kerana negara ini dikelilingi gunung, ianya dapat menjadi tempat rekreasi yang menyihatkan. Hari ini, terdapat penerbangan langsung setiap hari dari Seoul ke Kota Kinabalu oleh pesawat Korea, Easter Jet. Salah satu sebabnya adalah di sana terdapat Gunung Kinabalu dan pantai yang indah.

 

Cerita Dari Tangga

Di semester keenam ini, cerita-cerita di tangga subway atau bangunan kelas masih terus unik. Di situ kita akan melihat semangat dan matlamat ‘keras’ seseorang untuk sihat. Tatkala escalator tinggi masih berfungsi, saya ternampak wanita separuh baya sengaja memilih tangga biasa untuk dipanjat. Gila! Fikir saya, namun dari sudut yang lain, saya lihat kekuatan dalaman si wanita ‘pemanjat’ ini begitu luar biasa. Dia tidak mahu mengambil jalan mudah, kerana kakinya bergerak lelah untuk sebuah kesihatan yang diidamkan!

 

Di tangga juga, saya melihat nenek tua dengan tongkatnya susah-payah menghayun langkah tetapi anehnya, tidak mahu orang lain membantunya. Suatu hari, saya pergi ke Kedai Buku di Stesen Jonggak, di sana saya melihat ramai pengemis tidur di tangga. Pengemis-pengemis Seoul, mereka berjuang untuk sesuap nasi di negara serba mahal. Mereka tidak meminta duit daripada orang ramai tetapi bekerja sebagai pengutip sampah. Di malam hari, kerajaan memberi ruang mereka tidur di beberapa steses subway asalkan tidak membuat kacau. Dan tangga menjadi katil bagi para pengemis Seoul.

 

 

Waktu pulang dari kuliah, dalam keadaan lapar dan penat, tidak ‘suka’ melihat tangga. Sebagai terapi, setiap kali memanjat, saya bertasbih dan berdoa dalam hati. Mudahan susah-payah ini dinilai Allah SWT sebagai amal jariah di perjuangan ilmu. Saya juga berkata pada diri, inilah cara senaman terbaik buat yang tidak gemar bersukan seperti saya.

Please reload

Featured Posts

I'm busy working on my blog posts. Watch this space!

Please reload

Recent Posts

September 3, 2019

July 21, 2019

April 29, 2019

April 24, 2019