ummihani.abuhassan@yahoo.com.my/ 2016

Jodoh Ke Korea

June 29, 2018

(EPISOD SATU)

 

Jodoh Kami; Ajumma dan Ajossyi!

 

 

Jodoh kita akhirnya hanya sebagai sahabat jauh wahai Koreaku.

 

Hidup ini adalah kebesaran Allah SWT. Di langit yang luas terbentang, di bumi yang penuh ilham dan pada diri kita sendiri: seluruhnya adalah ciptaanNya. 

“Sungguh, pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang beriman.” Al-Jasiyah: 3

Hari ini sudah masuk 3 Ramadan 1436/2015 di Seoul, Korea. Saya merenung ke luar jendela, jalanraya sibuk dengan bas dan kereta. Ajumma (makcik) dan ajossyi (pakcik) berjalan laju ke tempat tujuan. Anak-anak muda berpakaian kemas berlari-lari anak menuju stesen subway. Mereka tidak tahu apa makna Ramadan. Kehidupan mereka adalah bekerja, mendapat wang dan hidup gembira.

Mengapa saya boleh berada di tengah kota Seoul, satu wilayah Korea Selatan yang kami gelarkan negara laut dan pulau ini? Barangkali banyak manfaatnya jika saya catatkan pengalaman ini. Bukankah kita semua adalah bukti kebesaran Allah SWT untuk saling mengiktibari dan diiktibari? Insha Allah, saya akan mulakan kisah berkelana dari Kodiang, Kedah ke Seoul, Korea.

 

‘Sila Keluar Dari Universiti Malaya!’

 

Awal 2013 saya menjalani temuduga untuk menjadi staf pengajar di Universiti Malaya. Skim ini memerlukan saya menyelesaikan Ph.D  dahulu seterusnya pulang berkhidmat sebagai pensyarah. Bidang yang ditawarkan adalah Sastera Melayu dan Penulisan Kreatif. Saya masih ingat tiga profesor dan dua pegawai yang menguji saya di bilik mesyuarat, Bangunan Canseleri UM.

“Apa yang boleh kamu berikan kepada universiti dan para mahasiswa jika kamu dilantik menjadi sebahagian daripada kami?” tanya seorang profesor. Saya menjawab dengan penuh semangat dan retorik! Saya akan jadi warga Universiti Malaya yang terbaik, aktif dan rajin.

“Kamu tahukan keperluan universiti sekarang ini adalah mengejar ranking dunia? Perkara ini memerlukan pensyarah menghasilkan penyelidikan yang berkualiti terutama artikel bertaraf ISI. Apa pandangan kamu?” terjah seorang profesor lagi. Saya mengangguk dan menjawab sebaiknya, tidak semangat seperti jawapan pertama. Saya tahu ianya bukan tugas yang mudah.

“Kamu ni Ijazah Pertama di UM, Master pun di UM, takkan Ph.D pun nak buat di UM? Kalau begitu, kamu tak dapat memberikan sesuatu yang baru kepada mahasiswa nanti. Kursus penulisan kreatif ni luas, di seluruh dunia ada!” kata seorang profesor pula, seolah memberi sedikit harapan ‘peluang’ kepada saya yang mula ‘kecut perut’.

Mereka berbisik sesama sendiri. Para pegawai Sumber Manusia UM juga memberi pandangan. Akhirnya keputusan disuarakan pada hari itu.

“Kami mahu Ummi Hani datang semula untuk temuduga kali kedua. Datang dengan surat tawaran dari mana-mana universiti luar negara. Kami hanya terima kamu menjadi warga Universiti Malaya jika kamu keluar dari sini. Pergilah ke luar negara!” kata seorang profesor diiringi anggukan yang lain. Saya menelan air liur! Allahu akbar!

Di luar bilik temuduga, orang pertama terbayang di mata adalah suami. Sebelum datang tadi, dia mendoakan saya yang terbaik. Dia amat menyokong saya menyambung pengajian. Tetapi, sekarang ini bukan sekadar menyambung Ph.D tetapi berhijrah ke luar negara. Perkara ini menuntut pengorbanan yang besar. Suami bekerja sebagai jurutera projek di ibu negara. Mahukah dia mengikut saya berhijrah?

 

Pencarian Jodoh

Suami bersetuju. “Abang akan berkorban untuk Ummi sehingga Ummi tamat Ph.D. Abang akan jaga anak-anak. Kita pernah merancang untuk berhijrah di usia muda. Nah! Inilah jalan yang diberikan Allah SWT untuk niat tersebut,” kata suami. Ya Allah Ya Allah. Kata-kata itu membuatkan saya bertambah malu dengan kasih sayang Allah. Cinta makhluk kepada kita secara tidak langsung adalah cinta Allah SWT terhadap hambaNya.

Bermulalah pencarian kami. Negara mana yang menyediakan peluang untuk saya mendalami bidang Penulisan Kreatif dan Sastera Melayu? Pencarian saya tambah mencabar apabila pihak Sumber Manusia mengeluarkan syarat bahawa UM melarang bakal pelajar tajaan menyambung pengajian di UK, US dan Australia selain negara Asia Tenggara. Di manakah negara yang terbaik untuk bidang Sastera Melayu? 

Saya mencari tempat di banyak universiti luar negara (selain negara yang dilarang UM). Jerman, New Zealand, Singapura, Jepun dan Korea. Malah saya sempat bertanyakan kepada Prof Muhd Kamil Ibrahim jika ada tempat untuk wanita belajar di universiti di Madinah. Saya membayangkan betapa indahnya jika dapat tinggal di Mekah atau Madinah, dekat dengan Rasulullah SAW. Alhamdulillah, tidak sampai sebulan saya mendapat maklum balas daripada Profesor Dr Arndt Graf, profesor Pengajian Melayu dan Asia Tenggara di University of Frankfurt, Jerman. “Saya bersetuju menjadi penyelia Ummi Hani,” kata Prof Arndt Graf dalam surat rasminya melalui emel. Masya Allah, saya sujud syukur, menangis dan berserah kepada Allah SWT.

“Kita akan ke Jerman abang.” Suami juga gembira dan sujud syukur. Surat Prof Dr Arndt Graf saya serahkan kepada pihak Sumber Manusia, UM. Tidak lama kemudian, pegawai mengeluarkan surat bahawa Universiti Malaya bersetuju menghantar saya ke Jerman; belajar Sastera Melayu! 

Strand!

‘Strand’ (dengan sebutan se-te-gh’ean) bermaksud pantai dalam bahasa Jerman. Itulah antara kalimah Jerman pertama yang melekat di fikiran. “Susah juga bahasa Jerman ni ya,” kata saya pada suami. Saya menutup mulut mendengar suami menyebut patah-patah bahasa Jerman yang dimuat-naik di telefon bimbit. Terasa janggal dan lucu. Bahasa Jerman banyak disebut dengan huruf ‘Ghain’ dan ‘Zho’.

Saya dimaklumkan Prof Arndt Graf bahawa tesis boleh ditulis dalam bahasa Inggeris atau Jerman. Tesis perlu diterbitkan menjadi buku sebagai syarat lulus Phd. Ketika itu, kerana begitu semangat mahu ke luar negara, saya tidak terfikir bahawa syarat itulah yang menyebabkan ramai mahasiswa tidak beroleh Phd meskipun tesisnya selesai. Para pensyarah di UM mengucapkan tahniah. Bahkan Dekan di Akademi Pengajian Melayu, Dr Zahir Ahmad mengumumkan kepada semua pensyarah dan mahasiswa APM dalam satu majlis rasmi,” Ummi Hani akan jadi wakil pelajar kita di University of Franfurt tak lama lagi.”

Keluarga terutama abah, Cikgu Abu Hassan Morad juga gembira. Saya tahu riak wajah abah bangga ada anaknya akan berhijrah. Mungkin abah menyatakan rasa bahagianya itu kepada rakan-rakan di pejabatnya. Yang tidak gembira hanya dua orang iaitu tok dan tokwan saya di kampung. Tok amat sedih.

Saya dan suami membuat persiapan rapi untuk ke Jerman. Saya ambil ujian IELTS dan menghadiri Kursus Biro Tata Negara. Malah, sentiasa berhubung dengan Prof Arndt Graf dari masa ke semasa. Yang membuatkan  saya terharu, Prof Arndt Graf mengambil masa dalam beberapa jam sahaja untuk membalas setiap emel saya. Tiada jurang status yang tinggi, Dia begitu merendahkan hatinya untuk saya. Kami jangka hujung tahun 2013 atau awal 2014 kami akan terbang ke Jerman.

 

Ragu-Ragu..

Saban malam kami merintih kepada Allah SWT. Baik saya atau suami, tekad kami adalah sama, merantau dan menuntut ilmu semata kerana Allah SWT. Jauh sekali untuk berbangga diri. Dalam setiap doa saya akan selitkan, “Ya Allah, jika Jerman ini terbaik untuk kami, maka kau permudahkanlah kami ke sana. Jika sebaliknya, kami serah kepadaMu. Kasihanilah kami yang bercita-cita mahu melihat alam ciptaanMu yang luas dan indah, agar bertambahlah keimanan kami kepadaMu Ya Allah..” 

Saya selak buku-buku tentang Jerman. Saya lihat alamnya yang indah. Sebuah negara yang bersih, berdisplin dan kuat tradisi budayanya. Jerman mempunyai sisi pemikiran moden yang berbeza dari Amerika atau Inggeris. Mereka ada jatiditi moden yang tersendiri. Aura Hitler tertanam dalam gerak kerja dan disiplin hidup mereka. Bersediakah saya menjadi sebahagian daripada semua itu?

“Jerman adalah negara yang baik membesarkan anak-anak. Sistem pendidikannya percuma. Insha Allah, Darda’ boleh membesar dalam persekitaran sivik yang sempurna,” kata saya kepada suami. 

Suatu hari saya bertemu dengan seorang sahabat yang menyambung Ph.D Bahasa Arab di Jerman. Pertemuan yang membibitkan rasa takut untuk menjadi warga Frankfurt.

“Ummi, sekiranya ada pilihan negara lain untuk sambung belajar, pergilah. Jangan buat Ph.D di Jerman. Nanti selesai Ph.D di negara lain, datanglah buat penyelidikan susulan di Jerman. Ph.D di sana sangat sukar. Profesor memang sangat baik tetapi dalam soal akademik, mereka tiada tolak-ansur, mereka mahukan kesempurnaan dan ianya tidak mudah!” kata teman ini yang sudah masuk tahun kelima melakukan Ph.D di Jerman. Dia pulang menghantar isteri dan tiga anak (termasuk anak yang dilahirkan di Jerman) ke Malaysia dan akan kembali ke Jerman seorang diri. Wajahnya membayangkan kesukaran yang tinggi akan saya hadapi jika saya mengikut langkahnya.

Saya dan suami tidak membuat keputusan walaupun hati kami mulai ditimpa ragu-ragu. Saya memperdalamkan doa kepada Allah SWT. Berilah kami petunjukMu ya Allah.

 

BTN dan Mengandung!

Ramadan 2013 saya mengirimkan permohonan rasmi ke University of Frankfurt. Ketika sampul mahu diberikan kepada pihak kurier, saya berdoa dalam hati: Ya Allah, jika di sana memudahkan aku meraih ilmu dan kehidupan, maka bantulah aku. Izinkanlah kami merantau ke Jerman.

 

Selepas Hari Raya Aidilfitri 2013, saya diarahkan pihak UM menghadiri kursus BTN selama 4 hari. Di sana, saya bertemu rakan-rakan dari seluruh IPTA Malaysia yang akan menyambung pengajian di luar negara. Apabila ditanya mereka, “Ummi nak sambung belajar di mana?” saya jawab, “Jerman.” “Bidang apa?” tanya mereka lagi. “Sastera Melayu!” Masya Allah, jawapan saya membuatkan ramai mereka membulatkan mata dan tersentak. “Rupanya ada bidang sastera Melayu di Jerman,” kata mereka.

Setiap kali ingin melelapkan mata, saya mempersoalkan diri, “Betulkah aku akan terbang ke Jerman?” Ya Allah, lorongkan aku negara yang terbaik. Aku ingin sekali menyahut seruanMu agar meneroka alam ciptaanMu. Setelah berserah diri kepada Allah SWT, baharulah hati kembali tenang.

 

Sekembali dari program BTN, saya mendapat dua khabar; suka dan duka. Saya mulai dengan khabar suka dahulu. Saya disahkan mengandung anak kedua! Entah mengapa saya tidak perasan hal tersebut kerana sepanjang program BTN, saya ikut dalam semua aktiviti termasuklah aktiviti lasak dan berkawat. Alhamdulillah, Darda’ yang berusia tiga tahun akan menjadi abang long!

Berita duka: saya mendapat emel dari Prof Arndt Graf bahawa ijazah sarjana saya tidak melayakkan saya menyambung Ph.D di Jerman. Ini kerana, saya mempunyai sarjana dalam bidang Pengajian Islam bukan Sastera. Menjadi dasar pendidikan Jerman, jika saya ingin membuat Ph.D Sastera maka saya perlu mempunyai kelulusan sarjana sastera. Sebaliknya, jika saya ingin melakukan Ph.D dalam Pengajian Islam, tentu dibolehkan.

Saya meraup muka. Ini adalah jawapan dari Allah SWT. Tiada air mata kesedihan bahkan satu ketenangan. Suami juga menerima dengan redho. Kami akan menyampaikan khabar ini kepada semua yang maklum bahawa kami akan ke Jerman.

Ya Allah, ke manakah Kau mahu tempatkan kami?

 

Tok Meninggal Dunia

Walaupun kami sudah yakin bahawa Jerman bukan tempat tujuan, saya dan suami nekad pulang ke Kedah. Rumah kami di Damansara Damai kami sewakan. Kami yakin pasti ada negara yang lain buat kami. Universiti Malaya memberikan peluang untuk saya terus mencari tempat pengajian terbaik di luar negara. 

Di kampung, kami menjalani rutin hidup yang baru. Tok dan tokwan bahagia sekali melihat kami tiga beranak di depan mata. Tok sering merenung saya. Bila saya melihat anak matanya, dia senyum. Ya Allah, beberapa minggu selepas itu, Allah SWT mengambil tok kembali ke sisiNya. Tok meninggal dunia akibat serangan strok tiba-tiba. Dia meninggal dunia dengan anak cucu di sampingnya. Begitulah suratan Allah SWT membawa kami pulang ke kampung untuk berada dekat dengan tok yang akan pergi buat selama-lamanya. Sejak itu, saya melihat kesunyian tokwan yang telah menjaga tok lebih 10 tahun. Saya tahu tidak tertanggung rindunya pada arwah tok kalau bukan keimanannya kepada Allah SWT.

Saya jadi berdebar dan runsing. Saya berkata pada suami, “Bagaimana kita batalkan rancangan ke luar negara? Ummi sambung belajar di Malaysia sahaja.” Kata-kata saya membuatkan suami sedih. “Abang telah berhenti kerja dan ikut Ummi pulang ke kampung. Abang telah niat untuk berhijrah bersama Ummi. Kita telah minta pada Allah SWT, yakinlah Allah akan menjawab permintaan kita,” balas suami. Saya kembali kuat. 

Akhirnya saya mendapat emel dari seorang profesor Korea (saya telah menghubunginya di awal-awal proses mencari tempat pengajian). Beliau mengeluarkan surat persetujuan menjadi penyelia saya di Hankuk University of Foreign Studies. Kami sujud syukur.

“Ummi boleh tak datang secepat mungkin ke Korea? Saya mahu Ummi mulakan kelas semester depan. Saya boleh dapatkan biasiswa di sini untuk Ummi dengan syarat Ummi datang dan belajar,” kata Prof Dr Koh Young Hun melalui telefon. “Baiklah Prof. Saya akan tanyakan pada Universiti Malaya dulu.”

Saya menghubungi pihak Sumber Manusia UM. Saya maklumkan saya perlu bertolak awal ke Korea. “Jika mengikut skim ini, kamu tidak boleh pergi sekarang,” kata pegawai tersebut. “Bagaimana jika Hankuk University of Foreign Studies mahu memberikan biasiswa yuran kepada saya, bolehkah UM bagi wang sara hidup?” tanya saya lagi. “Boleh tetapi wang sara hidup tidak banyak hanya untuk puan sahaja, kira-kira RM2800 sebulan,” balas si pegawai. Saya akhirnya bersetuju. (Rupanya persetujuan ini membuahkan hikmah yang amat besar di kemudian hari, insha Allah akan saya ceritakan nanti).

Allah Ya Allah. Terasa sangat pantas dan mudah urusan kami ke negara Korea. Seperti sepasang kekasih yang mempunyai jodoh. Tidak sampai dua bulan urusan visa dan persiapan, kami akhirnya dihantar ahli keluarga dan teman-teman rapat ke KLIA. Tarikh itu adalah 4 Mac 2014.

“Jaga diri. Yakinlah dengan Allah SWT,” pesan abah. Saya menangis ketika memeluk emak, emak mentua dan tokwan. Saya tahu ini kehilangan kedua buat tokwan walaupun bersifat sementara.

“Pergilah, untuk menuntut ilmu tokwan relakan.” Tokwan tahan air matanya. Kami melambai tangan buat semua yang mengiringi di KLIA. 

Maka, bermulalah jodoh kami dengan Bumi Arirang, bumi Korea Selatan yang kami cintai (sedikit demi sedikit, bertambah setiap hari). Berkelanalah kami; saya, suami, Darda’ dan bayi dalam kandungan dengan janji bekalan wang RM2800 (yang belum diberikan lagi) oleh Universiti Malaya. Dengan gaji itulah bakal menyara kami hidup di Seoul!

Ya Allah, tapi kami yakin bahawa rezekiMu di mana-mana, rezekiMu tidak ditentukan oleh manusia. Sebab itulah kami terus dengat niat berhijrah, mencari ilmu dan keimanan.

 

Kami serahkan diri padaMu Ya Allah.

 

(BERSAMBUNG)

 

Please reload

Featured Posts

I'm busy working on my blog posts. Watch this space!

Please reload

Recent Posts

September 3, 2019

July 21, 2019