top of page

Para Pencari Rumah

Oleh:

Ummu Hani Abu Hassan

Kami ‘para pencari rumah’ selalu mengelak diri untuk menjawab soalan, “Dari mana kamu datang?” oleh orang-orang yang kami temui di Masjid Itaewon, Seoul. Kami adalah para pendatang dari negara yang memiliki peradaban agung sebelum dirakus ketamakan kuasa besar. Lutfi dari Yaman, Yousef dari Syria, Iman dari Bangladesh dan aku sendiri dari Malaysia. Pertemuan kami akan berlaku sekali seminggu di Masjid Itaewon. Walaupun cuba mengelak dari soalan di atas, tetapi persaudaraan kami berempat turut bermula dengannya: “Dari (negara) mana saudara datang?”

Masjid Itaewon sungguh istimewa. Terletak atas bukit yang mengadap Sungai Han arah utara. Jemaah yang mendatanginya pelbagai bangsa, sebagaimana kos pembinaannya yang dibiayai banyak negara Islam. Aku melihat dari perspektif lebih tasawuf. Masjid ini umpama syurga yang dikelilingi kawah-kawah neraka. Antara bangunan paling dekat dengan masjid adalah hotel tempat para homoseksual berkumpul, kelab malam golongan transgender dan klinik penukaran jantina. Setiap jemaah pasti melalui tempat-tempat ini sebelum boleh menatap menara Masjid Itaewon. “Kita datang ke masjid dengan kekotoran, lalu bersih dengan solat tetapi sebelum sampai di ‘lubuk’, kita kotor lagi,” kata Yousef yang menggunakan kata lubuk bagi tempat tinggalnya selama di Korea Selatan.

“Ah, kita tidak pernah bersih di sini kecuali berada di masjid ini. Maksudku, jiwaku dikotorkan dengan perbuatanku sendiri. Menonton wanita cantik di jalanan, kadang-kadang juga lelaki ‘yang cantik’, mengutuk pemandu teksi dan menipu halmeoni (nenek),” sampuk Iman. Kami ketawa. Iman tidak seperti namanya, kadangkala menggunakan bahasa Korea yang dikuasainya untuk ‘menggoda’ nenek-nenek Korea dengan ayat-ayat seperti “Aku tidak pernah melihat wanita paling jelita dalam usia nenek ini kecuali nenek sendiri!” Lalu dia menerima beberapa ribu won, cukuplah membayar tambang subwayatau membeli kimbap jalanan.

“Bagaimanalah aku tidak kotor? Berkerja di kilang besi 15 jam sehari dengan peraturan tidak boleh menunaikan solat, bukan seluruh tubuh hitam dan berbau, hati juga kelam,” balas Lutfi, disokong aku kerana kami bekerja di tempat yang sama, secara haram. Biasanya, perkumpulan kami terjadi pada hari Ahad; satu hari kemanusiaan yang diberikan tauke-tauke kapitalis negara ini kepada para pekerja haram seperti kami. Satu-satunya tempat yang menjadi pilihan utama kami adalah Masjid Itaewon. Aku tidak tahu, nenek moyangku generasi ke berapakah yang mendoakan anak cucunya menjadi pencinta Tuhan. Sekurangnya, dalam hatiku ada rasa berdosa kerana sering terlewat solat. Di kilang yang dipenuhi bau mesin dan manusia marhaen, aku tetap mencuri solat hatta tempatnya adalah tandas. Pada hari Ahad dan cuti umum, aku mengambil subwayjalur 1 dan 6 dari Incheon untuk sampai ke Itaewon. Perjalanan kira-kira satu jam, tetapi kerana aku berasa nyawaku berada di masjid, wang upah dua jam berkerja sebagai buruh kilang besi kukorbankan.

Hari ini adalah hari kelima Ramadan 2019. Cuaca bulan Mei di bumi Incheon mencapai 27 celcius. Aku belum berhenti lagi mengangkat kotak-kotak besi ke sebuah kargo. Nafsuku memujuk untuk berhenti minum. Botol air putih diberikan kepada setiap pekerja. Malah ada nasi dan lauk termasuk telur dihidangkan secara pek. Dalam keadaan diri yang kehabisan tenaga, hatiku nakal menerbitkan dialog-dialog yang melogikkan aku berbuka puasa pada jam 12 tengah hari. Tetapi imanku berkata, “Mengapa kau sendiri memilih darurat sebagai tempat mencari rezeki?” Di kilang ini, para mandur menjerit kepada buruh-buruh seperti manusia menghalau anjing kurap. Pekerja yang lemah dan bendul sering mendapat balingan bola si mandur. Kami mengukur ketololan seseorang berdasarkan jumlah balingan yang diterimanya setiap jam. Dan biasanya, seseorang itu adalah dari kalangan para pendatang luar.

Tap! Satu balingan terkena di bahuku. Aku menoleh. Mandur mencekak pinggang dan mencarut-carut dalam bahasa ibundanya. Aku tidak faham tapi telingaku panas, hatiku terbakar. “Dia cakap kau lambat macam si tolol tak jumpa kalkulator!” bisik rakan buruh.

“Aku puasalah!” si rakan ketawa.

“Berhenti kerjalah kalau nak puasa!” balasnya. Tap! Satu lagi bola jatuh atas kepalaku. Aku cepat-cepat mengangkat kotak, berjalan laju dan menundukkan kepala kepada si mandur. Lihatlah! Dia membaling bola ke atas kepalaku, dan aku meminta maaf padanya. Celaka!

Dalam subwayjalur 1 dan 6, Lutfi tidak bercakap sepatah katapun. Dia melihat ke skrin telefon bimbit, mulutnya membaca ayat-ayat suci, perlahan tetapi khusyuk. Aku tidak jadi mengajaknya mengumpat tentang mandur kami. Rasa marahku sudah hilang. Aku tidak sabar sampai ke satu-satunya ‘rumah rehat’ kami di negara kimci. Aku mahu merehatkan seluruh tubuh dengan bersujud dan mengadu pada Tuhan.

“Kita sedang mendaki, untuk tiba di ‘syurga’,” kata Lutfi tidak menoleh bangunan-bangunan dengan papan tanda yang meraikan apa yang disukai umat Nabi Lut.

“Hidup kita seperti inilah kawan. Mahu tidak mahu, perlu keluar dari rumah untuk mencari rumah yang baru, yang menjanjikan harapan!”

“Apa yang kau faham tentang rumah?” Aku mengocak pertanyaan. Langkah kami diperlahankan sebaik melalui deretan kedai runcit dan restoran milik orang-orang Islam. Bau nasi beriani India menusuk hidung. Kurma-kurma percuma diletakkan di depan kedai. Kami mengambil dua kotak seorang.

“Tempat kita menjadi diri sendiri, itulah rumah. Sekarang di mana kau menjadi dirimu sendiri?” soal Lutfi pula.

“Di Masjid Itaewon,” jawabku, separuh yakin. Kami sudah berada di dataran masjid. Aku nampak Iman sedang membantu petugas masjid yang berbangsa Korea. Dia sudah memeluk Islam lebih 20 tahun. Wajahnya persis si mandur yang membaling bola kepadaku, tetapi kemanusiaan mereka seperti langit dan bumi. Yousef menepuk bahu kami.

“Kita duduk di tikar paling dekat dengan hidangan di sana, Iman sudah sediakan empat tempat,” katanya.

“Aku lihat ramai orang Malaysia di sini, rasanya mereka melancong atau trip bisnes. Kau tak mahu bersapa dengan rakan-rakan senegara?” Yousef menatapku. Aku menggeleng. Aku mengelak dari bertentang mata dengan orang yang kurasakan Melayu Malaysia. Aku tidak mahu ditanyakan soalan, “Dari mana kamu datang?”

Dataran masjid dipenuhi Muslim pelbagai bangsa, jumlahnya mungkin mencapai 500 orang. Dalam keadaan menahan lapar dahaga, para jemaah kurang bercakap melainkan tersenyum sahaja. Ada juga dua tiga orang yang menyapaku dengan soalan, “Malaysia?” lalu aku mengangguk tanpa diiringi soalan lain. Barangkali yang bertanyakan itu juga bekerja secara haram di sini, sepertiku. Hidangan berbuka adalah kurma, buah-buahan dan sekotak susu untuk setiap jemaah. Nasi beriyani atau nasi arab hanya dihidangkan selepas solat Magrib. Biasanya, kami berempat antara paling awal ‘terjun’ berbaris. Hanya di masjid, kami terutama aku dapat merasai lazatnya ayam. Walaupun aku bukan ustaz atau lulusan agama, tetapi selama hampir tiga bulan di Korea, aku belum menyentuh daging tidak halal. Iman, Yousef dan Lutfi pula sebaliknya. Sering menggunakan alasan darurat untuk membenarkan hukum yang asalnya haram.

“Kau menipu kami,” Lutfi tersenyum sinis padaku. Kami sedang berbaris seperti para pelarian perang menanti makanan. Solat Magrib tadi seperti hembusan yang membelai-belai jiwaku. Serasa mahu berlama-lama di depan mihrab, namun kerana perutku sudah lebih 17 jam kosong, terpaksalah aku berjalan, berlari anak dan terjun sedikit dari tangga masjid untuk berbaris. “Masjid Itaewon bukan rumahmu lagi. Buat apa kau menyorok dan mengelak dari para pelancong negaramu? Kau lebih mahu mereka tahu kau adalah Yaman? Bangladesh? Atau Syriakan? Tapi wajahmu seperti orang Nepal!” ketiga-tiga rakanku ketawa. Mereka benar. Aku adalah pelarian dari sebuah rumah bernama Malaysia. Nampaknya, walaupun sekarang aku jauh dari negaraku, tetaplah juga aku bertemu rakyat senegaraku. “Kau sepatutnya lari ke Puncak Gunung Everest ..” kata Yousef.

“Ah tak perlu begitu jauh mendaki, ubahlah wajahmu menjadi Lee Min Ho!” rakan-rakanku terus ketawa sambil menyuap makanan. “Lihatlah kami, juga pendatang sepertimu. Tetapi kami tidak menyorok-nyorok lagi di sini, kami sudah tiba di destinasi! Walaupun di sini bukan lagi rumah impian yang dibayangkan. Cukuplah mendapat gaji dan menghantar wang kepada ibubapaku. Sekurangnya mereka tidak mati kelaparan di tanah air,” kata Yousef. Pemuda itu berasal dari Halab, Syria. Rumah dan perniagaan keluarganya hancur dibedil peluru pemimpin negaranya sendiri. Bapanya menjadi buta. Yousef memohon kad pelarian, menceroboh masuk ke beberapa negara Eropah dan kejayaannya tiba di Korea adalah seperti mimpi walaupun hampir sebulan tidak dibenarkan keluar dari Lapangan Terbang Incheon. Bekalannya cuma dua, doa dan tawakal!

“Kau tidak dengar ceritaku lagi. Anakku mati terkena wabak taun di Yaman. Walaupun kami bermazhab Sunni, tetapi kerana majoriti kejiranan adalah Syiah, maka kami dinafikan hak. Pemerintah bimbang kami pemberontak. Anakku mati kerana kami tidak ada wang membeli ubat! Aku berusaha keluar dari ‘rumah’ supaya isteri dan tiga anakku lagi bisa bertahan hidup. Di sini, kad pelarianku masih boleh memberikan wang bulanan walaupun kewarganegaraanku hilang. Ia tidak apa-apa, nyawa keluargaku lebih penting,” kata Lutfi. Dia menyapu air mata, terkenang bayinya yang meninggal dunia. Kami yang lain tidak meneruskan kata.

Ketika solat terawih, imam membacakan Surah al-Hujurat ayat 13 yang mengandungi maksud manusia itu sama dalam perbezaan jantina, warna kulit dan bangsa tetapi tidak sesekali melebihi keistimewaan orang yang bertaqwa. Lutfi dan Yousef menangis, begitu juga Iman dan aku. Bagaimanalah masjid tidak menjadi rumah kami? Masjidlah satu-satunya tempat yang masih memancarkan cahaya kemanusiaan, keyakinan diri, mengancam segala ego dan rakus dunia. Di luar masjid, orang-orang miskin tertindas oleh sistem yang meletakkan orang kaya selama mungkin menguasai mereka. Ada si kaya yang membayar zakat, tetapi berapa ramaikah yang seperti Nabi Muhammad SAW, bergaul dengan orang miskin seperti keluarga sendiri?

Selepas terawih, kami berempat tidak terus pulang ke ‘lubuk’ masing-masing. Malam itu kami berjalan dari Itaewon ke Menara Namsan. Iman yang selalunya ceria, kelihatan suram. Berlawan arus dengan neon malam Ahad di Itaewon. Suara muzik dari kelab-kelab malam, para pemuda dan gadis berpakaian menjolok mata, berdansa dan mabuk. Iman nampak tidak terpengaruh oleh semua itu. “Aku teringat zaman kecilku tidak mengenal kasut, baju dan ubat gigi apatah lagi buku dan beg sekolah. Aku adalah generasi ketiga keluargaku yang meminta sedekah. Di Bangladesh, kalian boleh mencium bau pengemis sebaik keluar dari pintu utama airport! Tetapi kuasa Allah memakbulkan doa ibuku agar aku dibawa pergi ke tempat yang lebih baik, bekerja dan mengeluarkan keluargaku dari menjadi tangan di bawah. Syukur, sekarang ibuku membuka kedai hasil pemberian gajiku setiap bulan. Itulah aku selalu ke masjid, hanya untuk bersyukur pada Allah,” kata Iman.

Bayu malam mendesir damai. Kami memandang ke seluruh kota Seoul yang dapat ditangkap dari atas gunung Namsan. Kelip-kelip lampu menjadikan Seoul bak gadis jelita. Kota yang melimpahkan orang kaya di puncak dengan kaum pekerja menatang mereka. Kemewahan Seoul melangkakan tapak-tapak kaki para gelandangan yang tidur berbumbungkan langit. Cerita teman-temanku sungguh luar biasa. Seperti malam ini, aku dapat melihat kerlipan bintang, bukan bau tengik dan suara-suara raksasa yang mengulit mimpiku setiap malam di ‘lubuk’.

“Aku akan pulang ke Malaysia minggu depan, selepas mendapat gajiku terakhir!” kataku.

“Semestinya. Kau tidak seperti kami. Kau bukan pelarian kawan. Negaramu jauh lebih baik dari kami, lebih baik dari negara kimci, pulanglah!” kata Lutfi. Iman dan Yousef memandangku tidak berkerdip.

“Misiku telah selesai. Aku datang ke sini untuk bekerja walaupun banyak risikonya. Caraku salah dan aku mungkin tidak dibenarkan masuk ke Korea lagi. Tetapi aku terpaksa..” kataku.

“Hah anak muda. Kau datang ke sini, bekerja secara haram untuk membayar hutang pengajian universiti kau dulukan?” Lutfi menepuk bahuku. Aku mengangguk. Wajah emak dan ayah bersilih-ganti di fikiranku. Ayah diberhentikan kerja akibat ekonomi negara yang memburuk. Emak terus berjualan kuih. Siapa lagi yang mereka harapkan kalau bukan anak yang berkelulusan kejuruteraan elektrik ini? Setahun aku mencari kerja, kecewa.

“Aku dipertemukan dengan kalian di Masjid Itaewon. Soalan pertama kita sama, “Kau dari mana?” Yousef membangkitkan ingatan.

“Kawan, soalan itu tidak ada apa-apa kepada orang biasa. Tetapi kepada kita yang ‘lari’ dari negara untuk mencari hidup lain, ianya menikam. Kita para pencari ‘rumah’ yang belum pasti..” balas Iman. Benar kata-kata itu. Bukan aku malu menjadi orang Malaysia, tetapi aku tidak sanggup ada yang tahu aku bekerja tanpa undang-undang di sini.

“Musa..” ketiganya memanggil namaku.

“Kau sudah menanggung perasaan para pengungsi seperti kami. Tetapi syukurlah, kau tidak perlu kepada soalan kedua yang lebih berat dijawab,” Lutfi senyum.

“Soalan apa?” tanyaku.

“Ke (negara) mana lagi kamu akan berlindung diri selepas ini?” balas Yousef. Aku memejam mata. Soalan itu tidak perlu kujawab tetapi ianya bergentayangan sebagaimana burung-burung yang kembali ke Masjid Itaewon pada ketika buah persimmons mulai masak.

Biodata Pengarang

Ummu Hani Abu Hassan adalah graduan Ph.D dalam Sastera Bandingan dari Hankuk University of Foreign Studies, Seoul. Kini beliau adalah pensyarah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di ummihani.abuhassan@yahoo.com.my.


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page