ummihani.abuhassan@yahoo.com.my/ 2016

Anak Kodiang Masuk Seoul

July 1, 2018

 (EPISOD DUA)

 

Mata Kami Menyambut Cintamu

 

Pesawat semakin tinggi di awan. Hati saya makin tunduk dengan kemurahan Allah SWT. Saya kenangkan kembali doa-doa lama yang telah dimakbulkanNya.

Sewaktu kanak-kanak, ibu saudara sering membelek tahi lalat di kaki saya. Ada tiga! “Bila besar nanti Ummu akan banyak berjalan (ke luar negara),” kata Maksu Ani, menilik. Sebenarnya, dia bukanlah serius tetapi kata-katanya itu menjadi doa.

 

Di waktu yang lain, ketika cuti akhir tahun sekolah menengah, saya tinggal dengan Maksu Ani dan suaminya, Paksu Nik di Perumahan Staf Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Sewaktu menyidai pakaian di belakang rumah mereka, saya sering melihat pesawat yang berulang-alik di atas awan. Hati saya berdoa, “Ya Allah, bawalah aku berjalan-jalan melihat kebesaranMu. Aku teringin sekali nak belajar di luar negeri!” Saya berusia 16 tahun ketika mengucapkan doa itu. Pada umur 22 tahun, mulailah Allah SWT membuka ‘pintu musafir’ kepada hambaNya ini. Bermula dengan negara Thailand, Myanmar, Syria, Jordan, Indonesia, Singapura, Bangladesh, Mekah, Madinah, London, Brunei dan kini, Korea!

Ya Allah! Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Musafir ke Korea benar-benar berbeza. Saya kerling suami dan anak yang berada di sisi. Mereka akan menjadi peneman di rantauan selama empat tahun. Allah SWT menghadirkan mereka untuk melengkapkan musafir saya di dunia yang singkat.

 

Awan gemawan dirempuh pesawat. Saya memeluk anakanda, jemari menggenggam tangan suami. Kami bersatu hati meredah gelombang hijrah. Tekad ini sesungguhnya tidak memadamkan cinta kepada orang-orang yang kami tinggalkan; ibubapa, datuk dan seluruh ahli keluarga di tanah air. Diam-diam saya terus berdoa kepada Allah SWT: Ya Allah, Kau Yang Maha Pemurah, Kau memakbukan permintaan kami untuk berhijrah, Kau berikanlah kami peluang untuk pulang ke tanah air ketika cuti semester. Semoga dengan itu, kesunyian ibu, ibu mentua dan datuk dapat kami leraikan.

 

Saya terus-menerus menjadi tamak untuk meminta-minta kepada Tuhan Yang Maha Agung.

 

Korea Kami 

Kami menjadi penumpang paling akhir keluar pesawat. Saya berkata pada suami, “Kita sudah sampai di Korea. Kita bukan melancong ke sini, Korea akan menjadi rumah kita! Tak perlu tergesa-gesa..” Anakanda Darda’ sudah tidak sabar berlari. Enam jam dia ‘dipaksa’ duduk dan tidur. Suami tidak mahu melepaskan jemarinya; akan huru-hara jika Darda’ berlari ke tempat juruterbang nanti.

 

Udara sejuk serendah 1 Celcius menusuk kulit. Darda’ mengamuk tidak mahu disarungkan jaket dan stoking tebal. Suami memujuknya dengan sabar. Saya menggelengkan kepala. Namun, berkat membawa anak kecil, kami diberikan lorong khusus oleh pegawai imegresen Korea. Saya berdebar-debar, sudah dapat menangkap perbezaan besar bakal kami lalui terutama bahasa Korea dan tulisan Hanggul. Tiada satupun yang kami faham! Bahkan, pegawai imegresen lebih berminat untuk bercakap bahasa ibunda mereka berbanding Bahasa Inggeris.

 

Dari papan tanda yang tergantung banyak, saya mengandaikan cara fikir orang Korea. Mereka berfikir hal yang besar dahulu baharulah hal yang kecil. Misalnya, tarikh akan ditulis tahun, bulan dan hari (di Malaysia bermula dengan hari, bulan dan tahun). Pada alamat pula ditulis negara, negeri, daerah, jalan dan terakhir baharulah nama dan nombor rumah! (Di Malaysia, alamat kita bermula dengan nombor dan nama rumah, daerah, negeri dan negara). Begitu juga di papan tanda promosi. Diskaun akan bermula dengan nombor yang besar dahulu seperti 70% sehingga 30% misalnya (sebaliknya di Malaysia bermula 30% sehingga 70%). Perbezaan nombor juga terdapat pada umur. Setiap orang yang datang ke Korea akan menjadi tua setahun. Di Malaysia, saya berusia 32 tahun pada 2015, tetapi di Korea saya sudah dikira 33 tahun! Ini kerana, bagi orang Korea, sebaik bayi membesar dalam kandungan, mereka sudah dikira berumur setahun.

 

Dengan menitik-beratkan hal yang besar, menjadikan mereka masyarakat yang berkerjasama. Orang Korea tidak bersikap individualistik terhadap urusan bangsa dan negara. Mereka bersatu-hati dalam soal pendidikan, bahasa dan ekonomi. Sebab itu, jatidiri mereka masih kuat walaupun budaya Amerika meresapi akar kemodenan Korea Selatan.

 

 Ibu Ummi Apa Khabar?

Profesor Dr Koh Young Hun, penyelia saya (yang belum kami temui) mengarahkan dua mahasiswanya menyambut kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. Seok dan rakannya menaikkan kertas yang tertulis ‘Ummi Hani’. Kami menghampiri mereka. “Apa khabar ibu?” Tanya mereka dalam bahasa Indonesia yang fasih. Kami tersenyum senang. Manakan tidak, boleh bercakap bahasa Indonesia (yang mirip bahasa Melayu) dengan orang Korea! Barang-barang kami dimasukkan dalam sebuah van. Cuaca sejuk makin menggigit sebaik kami keluar dari lapangan terbang. Bibir Darda’ kelihatan bergetar. Dia sudah tidak mengamuk lagi ketika disarungkan penutup muka dan tangan. Si kecil tiga tahun ini mula terasa ‘bahaya’nya tidak dibalut pakaian tebal.

 

Van mulai bergerak. Hati saya menangis keharuan. Allah ya Allah, betapa Maha Pemurahnya Allah SWT. Tuhan yang mendengar dan memakbulkan doa-doa kami. Wahai Ummu Hani! Lihatlah alam ciptaanNya yang hebat di sini. Bukankah itu yang kau minta dalam doamu? Gunung-gunung dan laut seolah tersenyum pada kami. Seperti berkata, “Selamat datang ke Korea dan kau perlu teguh seperti kami walau apapun yang terjadi.”

 

Rupanya tiada satu negarapun yang boleh datang ke Korea Selatan melalui jalan darat dan laut. Selepas Korea terpisah menjadi dua, bangsanya turut pecah. Orang Korea Selatan seolah tidak menyedari kewujudan saudara sebangsa mereka di Korea Utara. Mereka dihalang berhubung dengan apa cara sekalipun. Bahkan jika berhubung di internet, mereka boleh disumbat di penjara ‘Korea’ masing-masing.

 

“Maafkan kami, bahasa Indonesia kami belum bagus,” kata Seok. Mereka nampak sopan dan malu. Saya tidak banyak bercakap. Suami lebih ramah. Fikiran saya membayangkan sosok Prof Dr Koh Young Hun. Allah SWT memudahkan laluan kami menjadi warga Korea melalui beliau. Dialah yang mencarikan biasiswa Hankuk University of Foreign Studies buat saya (tanpa melalui proses interview hanya rekomendasi daripadanya sebagai profesor!), beliau mencarikan rumah universiti (yang lebih murah tentunya) untuk kami anak-beranak. Bahkan mendahulukan bayaran awal di universiti. Tentu orangnya ramah dan tidak sombong. Berapakah umurnya? Bagaimanakah wajahnya? Soal saya dalam hati.

 

Bilik 605  

Kami melangkah masuk ke bilik 605: kediaman kami di Korea. Ianya seperti sebuah bilik hotel yang dilengkapi tandas, kabinet dapur, mesin pencuci dan almari pakaian, meja belajar dan paling mengharukan, wifi percuma! Ada dua katil bujang dan tilam. Peralatan dapur seperti pinggan, kuali, pisau, periuk elektrik dan cawan turut disediakan. Tiada bilik atau ruang tamu. Nampaknya, Darda’ hanya boleh turun dan naik katil untuk bermain. Sewa bilik adalah 200 ribu won (kira-kira RM600).

 

Saya dan suami membawa sedikit duit simpanan namun apabila ditukar ke nilai matawang Korea, jumlahnya menjadi sangat kecil. “Cukupkah duit kita ni abang?” tanya saya, bimbang. “Insha Allah cukup, nanti adalah rezeki dari Allah kat mana-mana. Doa musafir itukan mustajab.” Suami tidak pernah luntur keyakinannya kepada Allah SWT. Melihatnya tenang begitu, kebimbangan saya hilang.

 

“Petang ini kita pergi ke Masjid Itaewon dulu. Kita mulakan kehidupan di Korea dengan sujud di masjid, semoga Allah SWT menjadi sebaik-baik Penjaga kita di rantau orang.” Cadangan saya dipersetujui suami. Di balik cermin tingkap, saya melihat bangunan-bangunan tinggi yang mengepung bilik kami. Awan putih yang kami tinggalkan sejak mendarat, tersenyum. Awan itu seperti berpesan kepada saya:

 

“Jadilah manusia yang seperti air mengalir, bukan bertakung dan terkepung di lubuk. Kerana air yang mengalir itu menyucikan makhlukNya, tetapi air yang bertakung akan busuk dan akhirnya membawa penyakit kepada makhluk.”

 

BERSAMBUNG

 

 

 

 

Please reload

Featured Posts

I'm busy working on my blog posts. Watch this space!

Please reload

Recent Posts

September 3, 2019

July 21, 2019

April 29, 2019

April 24, 2019