ummihani.abuhassan@yahoo.com.my/ 2016

Pelajaran-Pelajaran Pertama di Korea

July 2, 2018

 

 Inilah Profesor Koh Young Hun, insan yang menghulur tangan, 'menarik' kami ke Korea.

 

(EPISOD TIGA)

 

Rindu memenuhi ruang hati. Kami belum dapat menghilangkan wajah sanak-saudara yang menghantar kami di KLIA. Wajah mak, abah, ibu mentua dan tokwan paling kuat di ingatan. Betulkah kami sudah berada di Seoul sekarang? Saya melihat Darda’ yang leka dengan permainannya. Bila ditanya, “Rumah Darda’ di mana?” Dia pantas menjawab, “Korea!”

Saya meluruskan niat. Kesusahan yang bakal kami alami adalah adat para penuntut ilmu. Kesusahan inilah yang akan memotivasikan saya untuk berusaha gigih.

 

Tidak mahukah saya merasai secubit nikmat ‘susah’ seperti yang dirasai para ilmuan Islam seperti Imam Syafie, Imam Nawawi ataupun Tok Kenali ketika menuntut ilmu? Bahkan, mereka tidaklah mempunyai bilik yang dilengkapi pemanas di musim sejuk, atau penghawa dingin di musim panas, dengan katil dan tilam yang empuk apatah lagi kemudahan internet yang pantas dan percuma! Ah! Ini bukan ‘susah’melainkan tarbiah daripada Allah SWT.

 

Suami memasukkan sampah sarap ke dalam plastik besar. Walaupun baru sehari menginap di bilik 605, bau sampah menyesakkan pernafasan. Faktor ruang yang terhad menyebabkan apa sahaja bau cepat menusuk ke hidung terutama lampin pakai buang Darda’. Suami menyarungkan baju tebal sebelum keluar dari bilik. Lima minit kemudian dia muncul semula di pintu dengan plastik sampah yang masih terjinjit di tangan.

 

“Abang kena tegur dengan pengawal keselamatan di bawah. Dia tak bagi abang buang sampah tanpa gunakan plastik sampah yang betul. Sampah-sampah ni perlu diasingkan dahulu mengikut jenis materialnya. Kalau tidak, memang tak boleh buang sampahlah kita!” kata suami. Dia kemudiannya membuka aplikasi penerjemahan di telefon bimbit. Cuba menerjemahkan ‘plastik sampah’ ke dalam bahasa Korea. Plastik tersebut perlu di beli di kedai serbaneka sekitar rumah. Nampaknya, buang sampah juga mempunyai kos yang tersendiri!

 

 

 

Tren dan Jalur Coklat

Seok bersendirian datang menjemput saya ke universiti. Sejak semalam, hati saya berdebar dan tidak sabar bertentang mata dengan Profesor Dr Koh Young Hun. “Saya akan mengajar ibu Ummi cara-cara memilih tren ke Hankuk University of Foreign Studies,” kata Seok yang berkaca mata besar, seperti lazimnya remaja Korea. Hari itu, secara rasminya bermulalah tugas saya sebagai mahasiswa, dan tugas suami sebagai pengasuh anak. Saya cium mereka sebelum meninggalkan rumah ‘bilik’ kami.

 

“Ibu Ummi akan banyak berjalan nanti. Stesen tren (subway) paling dekat di sini kira-kira 6 Kilometer.” Seok berbual mesra. Saya tahu dia berasa kasihan melihat saya yang sarat mengandung terpaksa menapakinya. Seok memperlahankan langkah apabila saya berhenti mengambil nafas. Cuaca sejuk menyapa kulit wajah kami. “Suami ibu sangat baik,” kata Seok lagi. Saya terseyum dan mengaminkan dalam hati. Barangkali Seok sendiri belum tentu dapat berkorban seperti suami saya (dengan berhenti kerja dan membantu isteri di rumah), jadi dia merasakan pengorbanan seperti itu sangat luar biasa. ‘Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada suamiku, aku tahu dia juga sedang berjuang dengan situasi baru ini,’ bisik hati saya.

 

Kami turun tangga perlahan-lahan. Seok kemudiannya membawa saya ke ruang peta perjalanan tren. “Jalur tren di sini dipanggil jalur 6. Ibu hanya perlu ingat warnanya coklat. Kita akan gunakan tren ini dan turun di Stesen Seokgye. Di sana, ibu tukar ke jalur 1 yang berwarna biru tua terus ke Stesen Hankuk University of Foreign Studies,” terang Seok. Di kiri kanan kami manusia Korea berjalan laju mengejar tren. Saya berasa betul-betul berada di Seoul melihat cara mereka yang kelam-kabut, tidak bercakap mahupun senyum kepada orang lain. Serius.

Apabila tren jalur coklat tiba, kami masuk. Ada ruang kerusi kosong, tetapi tiada seorang pun yang ‘berani’ duduk. Mereka sanggup berdiri daripada duduk di ruang tersebut. “Ibu, itu kerusi untuk orang tua, kanak-kanak dan ibu mengandung,” jelas Seok. Saya dapat memahami daripada gambar yang terpampang di dinding ruang itu. Tulisan Hangul terasa seperti objek  tanpa makna.

 

Tren mula bergerak. Para penumpang duduk sambil kepala mereka tertunduk ke bawah; ke skrin telefon bimbit. Orang di sekeliling tidak dihiraukan. Cuma, ada penumpang warga emas yang asyik melihat saya dan Seok. Mungkin banyak persoalan timbul di fikiran mereka melihat cara pakaian saya (terutama bertudung litup), wajah saya yang tidak ‘Korea’ dan bahasa perbualan saya dengan Seok dalam bahasa Indonesia. Bahkan, mungkin antara mereka menerka apa hubungan saya dengan pemuda Korea ini, melihat saya yang berbadan dua. Semoga Allah SWT memelihara fikiran mereka daripada hasutan syaitan. Saya juga berharap, selepas ini ada mahasiswa wanita yang akan membantu saya bukan Seok lagi. 

 

Kami berjalan lagi untuk menukar tren jalur biru tua. Saya kira, saya sudah menyelesaikan perjalanan 20 Kilometer pagi ini, itupun belum tiba lagi di destinasi. Wajah tren jalur 1 kelihatan berbeza. Nampak lama dan padat dengan orang tua. Saya dimaklumkan, inilah jalur tren yang pertama di Korea pada 1974. 40 tahun selepasnya, tren yang dikenali sebagai Seoul Metropolitan Subway ini mempunyai 18 jalur merentasi lebih 350 stesen seluruh Seoul dan bandar sekitar kira-kira 983 km perjalanan sehari. Dengan luasnya penggunaan subway ini, CNN dan BBC menggelarkannya sebagai subway terbaik dunia dan lebuhraya terhebat.

 

“Ibu Ummi boleh menggunakan tren ini jika mahu ke universiti. Masih ingatkan caranya?” tanya Seok. Saya angguk walaupun tidak begitu yakin. Saya akan mencuba lagi nanti. Saya juga sudah nekad pulang ke rumah sendirian, tanpa mahu ditemani Seok. Tren menjadi pilihan utama penduduk Seoul yang berjumlah 10 juta orang.Harga tiketnya relatif sangat murah. Untuk 10 km perjalanan, penumpang hanya perlu membayar 1,050 won (RM4.70) dan perlu menambah 100 won (30 sen) untuk 5 km berikutnya. Kanak-kanak diberikan diskaun separuh harga, manakala orang kurang upaya tidak dikenakan bayaran.

 

 HUFS 

 

Kami keluar dari stesen jalur satu. “Ibu Ummi, di depan itu universiti kita. Cuba lihat ke bangunan tinggi itu!” Arah Seok. Saya berhenti, mengucap tahmid di dalam hati. Ya Allah, di sinilah rupanya taman ilmu yang kuharapkan selama ini di luar negara. Kaki saya tidak sabar mendekati bangunan universiti. Rasa penat hilang begitu sahaja. Saya minta Seok merakamkan gambar saya di depan universiti. Saya mahu tunjukkan kepada suami dan seluruh keluarga; inilah Hankuk University of Foreign Studies.

 

Dan pagi itu, tanpa saya sangka, salji halus jatuh mengusapi pipi saya buat pertama kalinya. Salji menyambut kedatangan saya dengan ceria.

Allah ya Allah. Saya tidak akan lupa kata-kata Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya ! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur  (ingkar) sesungguhnya azabKu amat keras.

 

 bersambung

Please reload

Featured Posts

I'm busy working on my blog posts. Watch this space!

Please reload

Recent Posts

September 3, 2019

July 21, 2019

April 29, 2019