ummihani.abuhassan@yahoo.com.my/ 2016

Zaman Remaja Usah Dibiar Berlalu Begitu..

July 2, 2018

 Gambar Hiasan (hahaha)

 

 

Saya bukanlah remaja teladan. Saya nakal. Ada banyak sebab kenapa saya nakal, salah satunya kerana 'mahu mengisi masa'. Waktu saya membesar, tidak ada gajet, laptop dan internet. Televisyen ada di rumah orang lain, tetapi bukan rumah kami. Abah 'bermusuh' dengan televisyen, kami dipaksa memusuhi benda itu juga.

 

Saya mengisi masa dengan rutin yang fitrah kanak-kanak tidak suka; menjaga adik. 7 tahun dengan lima adik begitu menjerut emosi. Oleh itu, pelbagai perkara yang saya lakukan bagi mengelak tugas 'maha berat' itu. Saya mahu berlama-lama di sekolah. Saya sanggup menjenguk ke bilik guru, menawarkan diri kepada mereka jika ada 'acara' yang boleh saya sertai; bernasyid atau berlakon. Atas sikap 'tidak malu' ini, saya sering dipilih guru menjadi 'ahli persembahan pentas.' Aktiviti besar ketika berusia 7-8 tahun adalah dapat berlakon sebagai anak kecil dalam Persembahan Kebudayaan Nada Murni di Sg Pencala. Nasyid Ibu Mithali yang dimainkan oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim.  

 

Ketika usia 9 tahun, saya dan rakan-rakan sepengajian dipilih menganggotai Kumpulan Mawaddah. Kami rakam album di Studio OVA.  Lebih dua minggu berkampung dengan ustazah dan rakan-rakan, berjarak dengan mak, adik-adik (yang kecil-kecil). Saya kira, dunia saya beralih banyak ke luar rumah. Apabila pulang ke rumah, dibebani tanggungjawab jaga adik-adik dan talong mak, saya mula resah.

 

Saya mula menulis diari sejak umur 9 tahun. Pelbagai benda saya catat. Kata-kata motivasi yang saya jumpa di sekolah (walaupun waktu itu belum faham benar), rusuh jiwa kepada emak (yang geram melihat dingin saya pada adik-adik), rajuk dengan kawan sekolah dan angan-angan mempunyai sahabat pena di luar negara. Di manakah saya mendapat idea menulis? Dari majalah-majalah yang abah beli untuk saya antaranya yang paling kerap (hampir setiap bulan) Majalah Kuntum, Bujal, Bintang Kecil dan Dewan Pelajar. Ada majalah yang menjadi urat fikiran kami, saya dan anak-anak rakan seperjuangan abah iaitu Majalah Anak Soleh. Abah terlibat langsung dalam penerbitannya. Jika difikirkan semula, lekanya saya dengan majalah-majalah itu seperti lekanya anak-anak sekarang dengan telefon bimbit. Emak pernah juga minta saya berhenti membaca untuk membantunya di rumah. Selepas membaca, saya kerap berangan-angan. Kadang watak abang dan kakak dalam komik, menjadi kakak dan abang saya di alam realiti. Jaga adik atau kemas rumah sambil bercakap seorang diri memang pernah. 

 

Beranjak ke remaja belasan tahun, saya lebih agresif. Mula pandai mengumpul gambar artis yang saya suka. Dari yang baik-baik hingga yang tidak begitu baik seperti KRU dan Backstreet Boys. Yang baik seperti Kumpulan Nasyid Saujana. Saya rajin juga menulis surat dan cari sahabat pena. Berkajang surat jika dapat sahabat pena yang sekepala. Di asrama, dengan rakan sebilik pun bertukar-tukar surat. Kådäng menulis cerita di buku kemudian berikan pada rakan sekelas yang rajin membaca. 

 

Dalam perjalanan remaja, ada pasang surutnya. Jiwa yang kosong kadang diisi hal yang baik, ada juga tidak baik. Ada yang dilakukan dengan berfikir dulu, ada yang tidak fikir sehingga mendapat padah. Di sekolah menengah, banyak kali saya dipanggil guru disiplin akibat kenakalan. Dan di sekolah menengah juga, saya pernah duduk di bilik guru kerana bertugas sebagai kolumnis majalah sekolah. Kita begitulah, jahat tidak selamanya, baik juga tidak sentiasa.

 

masuk ke universiti, dunia remaja lebih menarik, lebih mencabar. Syukur, Allah selalu memberi pengajaran-pengajaran yang walaupun ada yang pahit, akhirnya saya tahu Allah sedang menegur dan sayang hambaNya. Allah memberi peluang saya meneroka jalan menjadi penulis. Saya bertemu orang-orang yang hebat di mata saya, sehingga saya mahu seperti mereka. Saya berkayuh perlahan-lahan dengan dorongan abah dan emak. Dunia remaja saya dipayungi mereka. 

 

Saya jatuh sakit. Teruk.

 

Saya sembuh dari sakit. Bangkit.

 

 

Sesungguhnya masa remaja adalah yang paling mahal sekali dalam takah hidup manusia. Kini, di usia 35 tahun, saya masih mengimpinkan kembali ke zaman remaja saya dahulu.

 

Saya sedih melihat adik-adik muda yang hanya leka dan ralit sendiri. Lebih parah banyak tidur dan tidak bersosial. Mungkin zaman sudah berubah. Orang menjadi senyap kerana mereka sibuk, dalam bersendirian. 

 

 

 

 

Please reload

Featured Posts

I'm busy working on my blog posts. Watch this space!

Please reload

Recent Posts

September 3, 2019

July 21, 2019

April 29, 2019

April 24, 2019