ummihani.abuhassan@yahoo.com.my/ 2016

Kelihatan Sahaja Biasa Tetapi..

July 3, 2018

 

 Dr Lim Kim Hui dan anak-anak muda Malaysia-Korea (2018).

 

 

(EPISOD EMPAT)

 

Diam mengalir

Dari Hari ke Hari

Suam Mengalir 

Dari Jari ke jari

Di sini aku perlu

Terus Berdiri

 

Lim Kim Hui, Seoul, 25 Disember 2012.

 

 

Begitulah jiwa sosok yang kami jumpai ini. Diamnya membuatkan saya (salah-seorang) yang tidak perasan kehadirannya dalam dunia kesusasteraan dan pemikiran di Malaysia. Dia megah dalam buku-buku besar yang ditulisnya, hanya sahaja bukan arus populis yang disukai anak-anak muda termasuk saya.

 

Pengenalan kami berlaku tidak sengaja. Sewaktu saya mencari-cari tempat belajar di Jerman (seperti yang diceritakan di bahagian satu), Puan Nor Azah Aziz, bekas editor kanan Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad memberikan nama Dr Lim Kim Hui kepada saya. Menurut Puan Nor Azah, Dr Lim Kim Hui membuat Ph.D dalam bidang falsafah Melayu di Hamburg, Jerman. Maka saya cari-cari Dr Lim Kim Hui di laman Facebooknya. Ternyata, beliau begitu ramah melayan setiap mesej saya, cepat pula balasannya!

 

Dr Lim Kim Hui menjawab pertanyaan saya tentang belajar di Jerman, kemudian memberi infomasi juga tentang peluang di Seoul. Beliau memperkenalkan nama Profesor Dr Koh Young Hun sebagai ketua di Jabatan Melayu -Indonesia, Hankuk University of Foreign Studies. Entah mengapa, tergerak hati saya menghantar proposal Ph.D ke emel Profesor Dr Koh Young Hun, walaupun hati saya berat mahu ke Frankfurt.  Tangan mengetik 'percubaan' melamar tempat belajar di Hankuk University of Foreign Studies, tetapi hati terbang ke langit kota terbesar Jerman yang meneduhkan Goethe University, Frankfurt. Dalam doa, saya berharap Allah SWT memudahkan perjalanan ilmu ke negara yang sesuai dengan kemampuan diri.  

 

Tuhan menjawab rayuan saya. Perjalanan ilmu ke Hufs, Seoul lebih terbuka luas. Saya dihubungi Profesor Koh Young Hun melalui emel dan telefon. Beliau mahu merekomendasikan saya ke pihak Hufs untuk menerima biasiswa program Ph.D Sastera Bandingan (Malaysia-Indonesia). Saya dan suami nekad terbang ke Seoul. Dr Lim Kim Hui menjadi jambatan kami ke sana.

 

Tanggal 4 Mac 2014, di bilik 605, Taereung, Dr Lim Kim Hui datang bertemu kami. Mahu membawa ke destinasi penting selama kami di Seoul iaitu Itaewon. Walaupun bergelar profesor, tetapi sikapnya sederhana. Kami bersembang dalam loghat utara. Dr Lim Kim Hui orang Alor Setar, anak bongsu daripada 11 saudara. Saya orang Kodiang, anak sulung dari 11 saudara. Bezanya, pengalaman dan ilmunya luas, pengalaman dan ilmu saya kecil. Ketika berbicara, pasti ada ketawa yang meletus. Retorik beliau tinggi.

 

Perjalanan ke Itaewon pada hari pertama tiba di Seoul ditemani juga Profesor Tengsoe Tjahjono dan isterinya. Mereka baru tiba dari Indonesia. Rumah mereka terletak berhadapan rumah Dr Lim Kim Hui di Hwarangdae. Kami bertujuh, termasuk Darda’ yang dikendong suami menapak ke Stesen Subway Taereung. “Mudahlah nak ke Masjid Itaewon kerana hanya satu jalur dari sini,” kata Dr Lim Kim Hui kepada suami. Lebih 10 stesen kami lalui, baharulah tiba di kota kecil Itaewon yang aneh. Anehnya kerana, papan tanda kedai-kedai di situ tidak menggunakan bahasa Korea sebaliknya bahasa Inggeris dan pelbagai bahasa lain. Itaewon bersifat antarabangsa.

 

Dr Lim Kim Hui membawa kami memanjat bukit Usadan, terus ke lorong paling atas. Saya sudah melihat menara masjid. Hati berdebar. Kami tiga beranak masuk ke gerbang masjid, mahu menunaikan solat. Manakala Dr Lim Kim Hui, Profesor Tengsoe dan isterinya mengitari kedai-kedai runcit sambil menunggu kami. Usai solat dan membeli barang, Dr Lim Kim Hui berkata kepada kami yang baru tiba, “Saya belanja makan kebab Turki, sebagai tanda selamat datang ke Korea..”

 

 

Hari pertama di Korea, lelaki yang ternampak biasa, dengan wajah serius dan senyum yang bersilih, menghulur waktunya. Lelaki itu bukan biasa-biasa dalam bicaranya, selalu ada kritik, jarang sekali pujian. Hari pertama itu rupanya, menjadikan hari-hari yang lain tidak sukar. Sebelum kami kenal jalur subway dan harga tiket, dialah menjadi tongkat. Memperkenalkan kami dengan kawasan-kawasan pertama; Seoul Children Park, Pasaraya Save Zone di Hagye, Bukchon, Insadong dan Muzium Nasional. Saya dan suami meramahinya di perjalanan. Jauh di sudut hati berasa kerdil; mengapa dia terus menjelmakan dirinya seperti seorang pakcik 50-an yang lokek membeli beg dan kasut?

 

 

BIODATA PROFESOR DR LIM KIM HUI

 

Lahir pada 21 Julai 1962 di Ayer Hitam, Kedah. Ijazah Pertama dan Keduanya di Universiti Malaya. Pada tahun 1999-2002, beliau meraih biasiswa penuh selama tiga tahun daripada Deutscher Akademischer Austauchdienst (DAAD) bagi menyiapkan Ijazah Doktor Falsafah di Universitaet Hamburg, Jerman. Tesisnya dianugerahi Hadiah Preis der Deutsch-Malaysischen Gesellschaft (2003) daripada German-Malaysian Society kerana sumbangan tesisnya berkaitan falsafah puisi Melayu  membuka lembaran baru bagi dunia Barat melihat dunia Melayu. Buku-bukunya antaranya Kembara Fikir di Tanah Senja (2007), Globalisasi, Media dan Budaya: Antara Hegemoni Barat dengan Kebangkitan Asia (2007), Pemikiran Retorik Barat: Sebuah Pengantar Sejarah (2007), Seni Pemikiran Kritis: Suatu Pendekatan Logik Tak Formal (2009), Teori Kesusasteraan Cina (Penerjemah) dan Sejarah Ringkas Falsafah Cina (Penerjemah). Beliau memenangi pelbagai anugerah sastera sejak tahun 1987 sehingga kini.

Please reload

Featured Posts

I'm busy working on my blog posts. Watch this space!

Please reload

Recent Posts

September 3, 2019

July 21, 2019

April 29, 2019

April 24, 2019