top of page

Perjuangan Kaki dan Fikiran

Gambar: Nenek Korea menyapa Dawud dalam tren. Tahun 2014.

EPISOD LAPAN

‘Rumah bilik’ kami berada di lingkungan bangunan-bangunan kedai daerah Taerung. Ketika membuka langsir, yang pertama muncul di mata adalah warna awan yang tidak begitu biru. Burung-burung jarang terbang kerana tiada tempat selamat membina sarang. Bertentangan bangunan pula, saya dapat melihat wanita tua terbongkok-bongkok menjemur cili merah di loteng mereka. Pada suhu 18 celcius bulan September, cahaya matahari begitu mesra dengan angin. Terik tetapi nyaman.

Hari ini saya akan memulakan semester kedua dengan perasaan lebih ghairah, walaupun tanggungjawab bertambah. Anak yang dulunya ‘bersama’ saya sepanjang mengharungi semester pertama, kini sudah keluar dari perut. Kami menamakannya Ahmad Abu Dawud. Dalam usia dua bulan, kami membawanya terbang ke langit Incheon, menjadi sebahagian penghuni perut Seoul. Saya keluar meninggalkan tiga lelaki tercinta untuk menghadiri kelas, yang terletak kira-kira 5km dari rumah.

Cuaca semester kedua tidak seperti sebelumnya. Tanpa baju tebal berbulu, saya buru-buru masuk ke pintu lif. Sebaik kaki menapak ke lorong stesen subway berdekatan, ahjusyyi (pakcik) penjaga bangunan sudah menang senyum dan menundukkan sedikit kepalanya. Kami seakan serentak berkata, “Annyeonghaseyo.” Rupanya perkataan pertama ini, seperti dijangkakan menjadi perkataan lazim dan perkataan ‘satu-satunya’ yang menghubungkan senyuman kami. Dia tentunya mempunyai pelbagai pertanyaan untuk saya, sama seperti saya yang terfikir, ‘jika dapat berbual-mesra dengan si ahjussyi, mungkin kandungan penulisan lebih mantap.’ Tetapi itu terbang bersama debu-debu dari tayar kenderaan yang bertali arus di jalanan.

Gambar: Antara cabaran ke kelas adalah terpaksa meninggalkan si comel ini.

Saya menapak di jalan lurus, yang berada di lorong belakang bangunan. Dari situ akan terus masuk ke pintu 4 stesen subway jalur 6 (si coklat). Kira-kira 0.3 km berjalan kaki jaraknya. Namun, kaki menjadi lelah kerana pintu 4 berjarak jauh dari tempat menunggu subway. Saya perlu menyambung jalan kaki kira-kira 0.2 km lagi untuk ke ruang masuk subway. Aduhai, saya baharu sahaja lepas pantang bersalin, terasa urat badan sedikit menegang. Demi ilmu, jangan mudah patah langkah!

Dalam tren pagi itu, kepala saya tidak lagi memikirkan mengapa manusia-manusia Korea begitu cepat berjalan, dan cepat pula menoleh apabila dipanggil. Saya tidak lagi menghitung-hitung berapa agaknya gaji para pemuda Korea yang baru lulus universiti, atau berapa kali wanita-wanita Korea membuat rawatan wajah setiap bulan? Saya menolak untuk merenung betapa susahnya menjadi gadis Korea yang berbadan besar dan berjerawat. Fikiran saya hanya mahu tahu jadual kelas semester ini dan jam berapa paling cepat saya boleh pulang menyusukan bayi di rumah?

Di Stesen Subway Seokgye, saya menyambung langkah 0.1 km lagi untuk menukar tren jalur satu yang berwarna biru pekat. Saya cuba mengendurkan rasa lelah dengan memikirkan acara hari minggu nanti, di mana saya dan suami boleh membawa anak-anak berjalan? Saya juga sempat berfikir, makanan apa yang akan saya masak malam ini? Kaki berjalan dan mendaki tangga, fikiran terbang ke langit keluarga. Dawud sudah bangunkah? Darda’ sudah mengganggu adiknyakah? Ayah mereka masih boleh tersenyumkah?

Sebelum ini, apabila masuk ke tren jalur satu, saya tidak ada masalah tempat duduk. Ruang untuk ibu mengandung jarang diusik punggung penumpang. Kali ini, tubuh telah mengecil, tiada siapa peduli saya baru lepas bersalin atau tidak. Jika penuh, wajiblah saya berdiri, mengadap cermin kereta api yang menyajikan pemandangan sungai, pokok dan bangunan-bangunan rumah. Berbeza dengan tren jalur 6 yang pemandangan luar cerminnya adalah gelap, seperti kubur. Tren jalur satu adalah kereta api pertama di Korea. Landasannya dibina atas tanah dan sungai. Lebih tradisional dan alami menurut saya. Dalam tren jalur satu hari itu, ada banyak mata memandang saya terutama golongan tua yang tidak mesra telefon bimbit. Mereka memaknai rasa dan sensitiviti terhadap sekeliling. Cara mereka memandang orang lain, terlihat aneh. Seorang lelaki tua yang merenung saya, mungkin sedang bertanya, “Mengapa dia berseorangan? Dia dari negara mana? Di mana suaminya? Orang Koreakah?” Saya bertentang mata dengan nenek yang mungkin berusia 80-an, tetapi tidak banyak kedutan wajah. Dia barangkali sedang memikirkan ‘mengapa parut-parut jerawat di wajah saya tidak dihilangkan? Apakah saya tidak tahu produk dan teknologi kecantikan terkini? Ah.. malang sekali, umur masih muda, wajah tidak dijaga baik.’ Ya! Mungkin mereka berkata begitu, kerana pandangan yang tajam dan janggal. Ada seorang tua yang lain tersenyum. Dia juga memandang saya. Apakah dia sedang berfikir tudung saya cantik?

Perjalanan dari Stesen Seokgye ke Stesen HUFS (Hankuk University of Foreign Studies) melalui satu stesen sahaja iaitu Stesen Sinimun. Sebaik keluar dari perut kereta api, fikiran juga berhenti bersangka-sangka. Saya menuruti ratusan kaki yang lain, berjalan laju ke tangga. Wajah pertama di mata sekarang adalah wajah Profesor Koh Young Hun. Dia akan menetapkan subjek apa yang perlu diambil saya semester ini. Di luar Stesen Hufs, matahari memancar dengan gemalai angin. Nenek tua menjaja buah-buahan di jalanan, Mereka juga berjuang, sama seperti saya yang mula teringatkan Darda’ dan adiknya di rumah.

BERSAMBUNG


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page