top of page

Daraengi Village


Orang-Orang Datang Kepadamu Untuk Memandang..

Suatu hari di musim bunga tahun 2014, saya memasuki sebuah kedai lusuh depan HUFS. Dari luar kedai, saya menerbak itu adalah pusat sewa VCD dan komik. Sebagai mahasiswa semester kedua yang serba tidak tahu bahasa Korea, saya beranikan diri masuk ke kedai itu. Mulalah saya mencari-cari VCD filem-filem Korea sebelum 2014. Ada banyak. Tuan kedai itu mengatakan jika membeli, harganya jatuh 4000 won (Kira-kira RM15) satu. Saya berasa cukup membeli satu dahulu.

Begitulah pertemuan luar jangka saya dengan Kampung Daraengi dan Kota Namhae. Ia menjadi latar bagi VCD yang saya beli hari itu. Filem Barefoot Ki-bong (맨발의기봉이) ditayangkan pada 2006, kira-kira 8 tahun lalu. Tenyata, tahun tayangan tidak melunturkan kesan estetik filem tersebut. Saya tenggelam dengan jalan cerita, akting dan lokasi filemnya. Filem itu membuatkan hati saya ‘pasrah’ berjodoh dengan Korea.

Di semester kedua, genaplah lima bulan kami sekeluarga tinggal di bilik kecil, Taereung. Walaupun Taereung adalah kota yang sibuk kerana menjadi pintu keluar Seoul ke Wilayah Gangwon dan Gyeonggi, tetapi bagi saya dan suami waktu itu, daerah ini seperti gua tanpa cahaya. Sebaik kaki menjelajahi jalanan dan lorong, mata kami ditutupi debu-debu hampa. Tiada satupun huruf Hangeul yang kami mengerti, apatah lagi percakapan orang-orang di situ. Tetangga yang paling hampir pun hanya menggunakan isyarat senyuman sebagai sapaan salam. Hidup kami, walaupun dipisahkan gunung dan laut dari Malaysia, tetapi perasaan dan sikap seolah di negara sendiri. Saya tidak suka bau kimci, makan beras Melayu dan sakit kepala mendengar orang Korea berteriak-teriak di tengah malam dek penangan Soju. Akhirnya, VCD saya beli itu melunturkan sikit ‘ketanah-airan’ dalam diri sendiri.

Mulalah saya memasang impian; yang sebenarnya seperti membuat istana pasir di pantai. Cantiknya lokasi filem ini. Di mana Namhae? Di mana Kampung Daraengi tempat si OKU Ki-Bong itu lahir?

Filem yang saya pilih itu tidak popular di kalangan penggemar biasa filem Korea khususnya penggemar luar negara. Filem ini diangkat dari kisah benar. Tiada watak pemuda kacak yang kaya, tiada gadis elit tinggi lampai. Apa yang diistilahkan dengan 3S wajib (sexy, smart dan success) pada karakter utama langsung tidak ada. Ki-Bong lakonan Shin Hyun Joon hanya pemuda lurus bendul, terencat akal dan miskin. Dia menjaga ibunya yang uzur. Dalam filem ini, rumah mereka terletak di lereng Kampung Daraengi, Namhae.

Ki-Bong, 40-an menghabiskan seluruh masanya untuk ibu. Setiap hari, dia bangun awal daripada ibu untuk menyediakan air bersih, supaya ibunya dapat mencuci muka dan kencing. Walaupun kejadian sebenar bukan berlaku di Namhae, penerbit filem sengaja memanipulasi latar Kampung Daraengi yang terletak di laut selatan Korea. Kampung ini terkenal dengan padi dan sayuran bukit yang menghubungkan gunung dan laut. Watak Ki-Bong yang gemar berlari antara rumahnya dengan kawasan-kawasan penting untuk membantu ibu sesuai terjadi di lerengan Daraengi. Penonton akan asyik melihat matahari menyirami pohon-pohon hijau, riak laut berkemilau ditambah senyuman Ki-Bong yang lucu. Justeru, setiap babak Ki-Bong berlari di lereng-lereng bukit seperti mengiklankan ‘inilah tempat antara tercantik di Korea!’

Filem ini menggoda kita dengan peribadi dua beranak. Setiap makan nasi, ibu Ki-Bong akan kelelahan. Ruang tekaknya tersiksa menelan nasi. Ini diakibatkan oleh giginya yang tinggal beberapa batang. Ki-Bonglah yang selalu mengusap belakang ibu. Waktu itu, wajah Ki-Bong tidak lagi senyum. Ki-Bong melakukan pelbagai kerja untuk menyara ibu. Menanam sayuran, menternak lembu dan pembantu kedai. Tugasan ini menjelaskan sebehagian sumber pencarian warga Daraengi. Apabila ada sedikit wang simpanan, Ki-Bong membawa ibunya ke klinik yang terletak di Kota Namhae. Perjalanan ke sana memakan waktu 30- minit dan perlu naik bas. Panorama sepanjang jalan begitu asyik. Gunung, sawah, batu dan laut. Saya terbuai kenangan waktu naik bas di Danau Toba, Medan 26 tahun lalu.

Nasihat doktor menjadi pemula konflik filem ini. Doktor menasihatkan Ki-Bong membelikan gigi palsu untuk ibunya. Di mana Ki-Bong boleh mendapatkan duit untuk wanita paling dicintainya itu? Bermulalah pengembaraan Ki-Bong untuk meraih juara Marathon Korea secara serius. Pelbagai tekanan dan peristiwa lucu muncul, termasuklah kehadiran wanita jelita ke sisi Ki-Bong.

Filem ini mempergunakan Kampung Daraengi dan Namhae dengan sehabis-habisnya. Penonton dipaksakan menikmati panorama desa berpenduduk 180 orang ini ketika subuh, tengah hari, senja dan malam. Iaitu waktu Ki-Bong membuat latihan Marathon dengan pengerusi ‘JKKKnya’. Apabila musim beralih dingin, Daraengi terlihat usang. Ilalang jadi coklat dan liar, tetapi senyum Ki-Bong lebih manis. Separuh masa kedua filem ini, gadis jelita lakonan Kim Hyo Jin muncul menemani Ki-Bong yang kian giat berlatih Marathon. Gadis itu memanggil Ki-Bong ‘Ahjusshi’ yang bermaksud ‘pakcik’. Memberitahu penonton bahawa hubungan si jelita dengan si terencat bukan cinta, tetapi kasih kemanusiaan.

Saya tertanya mengapa pengarah, Kwon Soo Kyung memilih musim salji sebagai latar masa utama? Kerana menyebabkan lunturnya pencahayaan alami Namhae. Sawah padi mati, pohonan kusam dan tinggal batang. Laut kaku. Namun, kesan terhadap Ki-Bong mengkin berbeza. Bawah rintik salji, Ki-Bong mempergiatkan latihan sehingga ke puncak gunung. Melambangkan dia mempertaruh nyawa untuk bergelar juara Marathon sekorea, dengan matlamat membeli gigi palsu ibu. Kesungguhan yang menyebabkan sekampung memberi semangat kepada Ki-Bong. Ramai-ramai menghantar Ki-Bong ke Seoul. Perjalanan dari Namhae ke Seoul kira-kira 7 jam dengan mobil. Ianya melelahkan terutama musim dingin yang panorama gunung terlihat murung.

Seperti dijangkakan, Ki-Bong tidak berjaya meraih juara. Dia hanya berjaya menghabiskan sesi Marathonnya dalam keadaan perit. Bagi OKU sepertinya, itu adalah sesuatu yang membanggakan. Ibunya datang jauh-jauh untuk menghalang Ki-Bong, akhirnya turut kagum dengan semangat si anak. Yang paling penting daripada hasil usaha adalah usaha itu sendiri!

Saya menonton filem ini lebih tiga kali. VCD yang saya beli itu berbaloi, terutama apabila kali kedua mahu membeli, kedai itu sudah tutup. Kesan yang kuat waktu itu adalah “Mahu ke Namhae..” Kota ini tidak sepopular Jeju di kalangan orang-orang Malaysia. Beberapa teman yang saya jumpa bertanya, “Di mana Namhae?” “Apa ada di Namhae?” “Cantik sangatkah?”

Saya tidak tahu, tetapi berdoa dan berzikir di telinga suami, “Sebelum kita pulang ke Malaysia, marilah kita ke Namhae..” Alhamdulillah, 29 Julai lalu, ALLAH SWT bawa kami ke Namhae, melewati gunung dan laut hingga ke Daraengi. Saya tidak tahu persis rumah Ki-Bong yang ada di filem, tetapi menatap kampung itu, sayup bersetuju dengan CNN yang menuliskan Namhae adalah 50 lokasi wajib jika anda datang ke Korea Selatan, terutama di musim panas.

Orang-orang datang ke situ, sekadar mahu memandang anugerah alamNya.


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page