top of page

Rumah Yang Bukan 'Rumah'


(Ramadan 2018 adalah kenangan manis terakhir kami berpuasa di rumah kakitangan HUFS, aduhai rindunya)

Rumah. Saya berterima kasih kepada Profesor Dr Lim Kim Hui kerana menghantar satu artikel istimewa 'Understanding Home: a Critical Review of the Literature' oleh Shelley Mallet pada 17 November 2017. Sebenarnya, beliau bukan menyuruh saya mengkaji tentang konsep rumah melainkan melihat kaedah penulisan Shelley dalam menulis sebuah 'Literature Review'. Sebagai penilai dalaman tesis Ph.D saya, beliau 'tidak' berkenan dengan cara saya menulis yang disifatkannya tidak kritis.

Setelah membaca artikel Shelley, saya bukan sahaja terpesona dengan kaedah LR beliau, saya terfikirkan terus tentang pemahaman rumah kepada setiap individu. Shelley membuka tulisannya dengan berkongsi 'rumah idamannya':

Sometimes when I am lying in bed at night awake and restless I play a game to induce sleep. I imagine all the houses I have lived in since I was born. My imaginary journeys invariably begin and end with a stroll through my childhood home – a place that I lived in for the first 18 years of my life, a place my family left nearly 20 years ago. Starting at the front door I proceed through all the rooms in the house. As I walk I try to remember the house fittings and furnishings in each room. Memories of my early life, our family life, flood back to me as I move through the space. These memories show no respect for chronological time. Nor do they come with an accompa- nying autobiographical narrative. A certain equality prevails in this remem- bered world. Eventful moments in my family life hold equal sway with the mundane activities of domestic life. More recently these imaginary journeys have taken me to places beyond our house, to our street, and the park across the road. Sometimes I see myself playing with friends and neighbours, going to kindergarten, catching the train to school, and walking along the pier or on the sand at the local beach. I observe myself in these places, but mostly the places and me seem as one. Are these happy memories? Perhaps they are best described as benign. Here in this imaginary terrain painful memories are leached of their power. I feel comfortable and secure. I am at home. Sleep comes quickly.

Rumah idamannya adalah ruang kenangan di mana umur kanak-kanak dan remajanya dihabiskan dengan perasaan gembira. Saya pernah membaca autobiografi seorang pelumba motor negara. Katanya zaman kanak-kanaknya menyedihkan. Ibubapanya bercerai. Dia yang berusia 11 tahun ketika itu diminta memilih sama ada mahu mengikut ayah atau emak? Soalan yang dirasakan paling susah (dan paling dibenci) di dunia. Dia mahu mengikut kedua-duanya, tetapi itu mustahil. Lalu kebencian terpaksa memilih 'rumah' ibu atau ayah menyebabkan dia memilih motorsikal sebagai 'rumahnya'. Di atas motosikal yang laju, dia berjaya menerbangkan masalah untuk memilih 'rumah ibu' atau 'rumah ayah'.

Justeru, bukan semua rumah idaman itu adalah rumah di mana kita tinggal waktu kecil seperti Shelley. Perkara ini saya bawa sebagai isu perbincangan dalam kelas. Anak-anak murid Korea antara yang saya ingat Jongik, Dha Wee, Yeyin, Herlin, Min Soo, Piljun dan Jun memberikan makna rumah kepada diri mereka dalam perspektif berbeza. Ada jawapan berhubungan dengan bidang psikologi, sosio-budaya, ekonomi dan sejarah. Saya sendiri hari itu mengatakan rumah kepada saya adalah di mana kita menjadi diri kita sendiri. Di luar rumah kita memakai pelbagai 'alat' untuk menutup identiti sebenar kita, tetapi dalam rumah, kita secara automatik, membuang 'alat-alat' untuk menjadi diri yang sebenar. Jawapan yang berfalsafah.

Konsep rumah terus berlegar di fikiran apabila saya membaca cerpen terjemahan Korea-Indonesia dengan judul 'Ke Toserba' karya Kim Ae Ran. Cerpen ini sedikit memahamkan saya cara fikir generasi 1980-an sehingga 2000-an di Korea Selatan. Banyak anak-anak Korea lepasan sekolah menengah berhijrah ke Seoul untuk menyambung pengajian dan bekerja. Di Seoul mereka tinggal di bilik sewa dan menjadi individualistik akibat masa yang padat sehari-hari. Mereka hampir mengabaikan diri sendiri (apatah lagi orang sekeliling) kerana rutin persaingan kapitalisme. Kecuali satu hal yang dianggap seperti 'permata dari langit' iaitu kehadiran kedai 24 jam seperti 7 Eleven, LG 25, Family Mart dan Q Mart. Fenomena kedai 24 jam pada 2003 dianggap penulis menjadi 'keselamatan jiwa' masyarakat Seoul. Orang-orang mula memindahkan perasaan 'berada dalam rumah sendiri' ketika masuk dalam kedai 24 jam. Di sana, mereka bertemu segala macam keperluan dari syampu rambut ke pengepit kuku kaki, dari makanan segera pelbagai jenama sehingga ke tisu toilet, termasuk perkhidmatan mengecas telefon bimbit dan memanaskan makanan. Oleh kerana banyaknya pilihan kedai 24 jam di kawasan-kawasan perumahan menyebabkan, jika seseorang tidak suka kepada satu kedai, dia boleh 'memindahkan perasaaan rumah' ke kedai yang lain.

Yang menarik perhatian saya adalah sikap watak utama yang tidak suka 'pertanyaan' daripada orang sekeliling terutama pekerja atau pemilik kedai 24 jam. Bukan hanya soalan berat seperti "umur kamu berapa untuk beli kondom?", malah pertanyaan-pertanyaan sederhana seperti "belajar di mana?" "belajar bidang apa?" tidak disukai watak utama. Akhirnya, dia memilih kedai 24 jam Q-Mart. Perasaannya ke Q-Mart digambarkan dalam kata-kata "Dengan pergi ke sana (Q-Mart), aku merasa dapat membeli kehidupan sehari-hari..". Alasan utama untuk perasaan itu adalah pekerja Q-Mart, seorang lelaki muda tidak pernah bertanya langsung kepada watak. Sifat diam dan hanya melakukan tugas sebatas pekerja kedai menyebabkan watak utama merasa nyaman.

Dari hal ini saya berfikir bahawa anak muda Korea berbeza dengan anak muda Malaysia yang masih lagi ramah. Kim Ae Ran memposisikan sikap individualistik dengan jujur. Rumah bagi kebanyakan anak muda Korea bukan lagi rumah yang penuh keramahan dan ambil berat melainkan rumah yang sunyi dan bebas dari pertanyaan. Rumah di mana cara fikir dan cara tindakan individu berlaku sesuai kehendak nafsu mereka sendiri.

Malam 12 Oktober 2018. Saya bersembang lagi dengan Prof Dr Lim Kim Hui dan Dha Wee di The Coffee Bean depan HUFS. Penutup bicara kami adalah pertanyaan, konsep rumah pada hari ini bermula dari soalan 'Dari mana kamu datang" atau 'ke mana kamu pergi?" Melihat situasi banyak orang sekarang terpaksa mencari rumah mereka di negara-negara luar khususnya para pelarian perang. Di tempat lain, mereka akan dapat rumah tetapi mungkin 'bukan rumah' seperti yang perasaan mahukan.

Saya sendiri sekarang, berasa tinggal di 'rumah' sendiri dalam rumah yang dimiliki orang lain. Rumah saya pula, saya sedang mencari orang menghuninya...


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page