top of page

Proses Menjadi Padi

(Setelah 4 tahun 6 bulan di Korea, dengan pelbagai ujian, jatuh bangun dan godaan, sehingga kami takut jauh 'lagi' dari Allah SWT; meminta, merayu dan menangis padaNya, kami menyimpulkan perjalanan hijrah ilmu di sana adalah proses pelenturan jiwa supaya lebih tunduk seperti resamnya padi).

Akhir tahun 2017, saya bersemangat menghantar tesis yang telah dibaiki kepada penyelia Ph.D. Semangat itu ada kaitannya dengan ‘surat cinta’ daripada Bahagian Sumber Manusia, Universiti Malaya. Saya telah diminta pulang ke UM dengan ijazah Ph.D selewatnya pada Ogos 2018. Lalu surat itu saya sampaikan kepada penyelia yang masih mahu saya ‘berlama-lama’ lagi mengutip pengalaman di Seoul.

“Oh, jika begitu tesis ini perlu dihantar dulu kepada para penilai luar, jadi selepas mereka berkomentar, ummi baiki dan viva!” putus penyelia saya, maklum bahawa sudah sampai masanya saya pulang ke tanah air pada tahun 2018. Penyelia langsung menghubungi para penilai luar, seorang dari Indonesia dan seorang dari Malaysia. Sejak itu, semangat saya jadi kuncup, berdebar menanti komentar penilai.

Hari-hari di Korea terasa lambat bergerak. Saya tidak mahu berfikir lagi, yang tahun ini ‘mungkin’ tahun terakhir di sini. Saya mahu menghayati desir angin dari gunung utara dan timur Seoul. Serta kocakan Sungai Jungnang, pada setiap petang di sana. Serasa sayangnya semua yang terdampar di mata. Sayang seorang asing kepada tanah tempat dia merantau. Pada waktu-waktu tesis saya dibaca penilai, saya bertenang-tenang dengan perasaan dan persekitaran. Hampir tiada buku ilmiah dan jurnal yang saya baca.

Akhirnya, para penilai memberi komen. Tepatlah seperti yang saya rasa dan fikir iaitu pembetulan major! Pada suatu acara anjuran Jurusan Melayu-Indonesia, saya nampak kelibat Profesor Lim Kim Hui. Beliau adalah penilai dalam tesis saya. Beliau senyum dan menggeleng kepala. Saya pergi dekat padanya dengan perasaan malu yang datang tiba-tiba.

“Ummi, nampaknya kamu lama lagi di sini,” katanya, mengusik. Usikan itu petanda bahawa tesis saya ‘gagal’ untuk maju ke depan. “Dr Lim apa yang patut saya baiki?” tanya saya. “Banyak,” jawabnya spontan, terus menggeleng.

Pertemuan hari itu kemudian berlanjutan di kedai kopi pada malam besoknya. Profesor Lim Kim Hui mahu memberikan naskhah tesis yang telah ditanda kesilapan dan cadangan. Saya menelan liur melihat tanda pembetulan dari halaman pertama hingga ke bahagian akhir tesis. Di kedai kopi malam itu, berlakulah ‘syarahan perdana’ Profesor Lim Kim Hui kepada saya. Kesimpulan pertemuan kami, saya nekad untuk menukar ‘enjin’ tesis saya iaitu teori. Walaupun terpaksa masuk semula ke gua ilmu, tetapi saya tahu inilah sahaja jalannya untuk ‘tidak malu’ di kemudian hari. Saya betulkan semula niat, saya datang ke Korea untuk mencari ilmu, dah prosesnya belum selesai.

Kerjasama Suami

Suami terus-menerus memberikan sokongan. Waktu malam adalah waktu saya bersendirian di perpustakaan depan rumah. Suami melayan dan menidurkan anak-anak. Saya merangka semula teori baharu yang dirasakan cocok dengan bahan kajian. Angin sejuk akhir tahun menjadi sedikit panas dengan keadaan hati yang ‘bersemangat’. Saya juga bersyukur, seorang pensyarah di UPM bermurah hati berkongsi tesis Ph.Dnya dengan saya malah menyokong jika saya menggunakan teorinya yang seliran dengan novel-novel kajian saya. Benarlah, jika menyerahkan urusan pada Allah dengan usaha tanpa jemu, Allah akan memudahkan urusan. Bahagialah para penuntut ilmu yang tujuannya adalah kerana menaikkan agamaNya di muka bumi.

Beberapa bulan saya jarang berfikir hal di luar perbatasan Ph.D. Saya baharu merasakan saya benar-benar fokus dan meredah apa sahaja lintasan negatif. Proses menganalisis novel kajian tidak membebankan sebaliknya hati berasa lapang dan semakin memahami apa yang ingin disampaikan penulis. Malam-malam di meja perpustakaan bagai satu pesta tersendiri. Perpustakaan Hankuk University of Foreign Studies dibuka 24 jam. Pada jam 1 pagi atau 2 pagi, saya melihat anak-anak muda Korea masih tekun belajar. Jika mengantuk, mereka keluar ke kedai kopi, kemudian membawa masuk kopi ke perpustakaan. Saya berjangkit hal yang sama. Jika dihitung wang membeli kopi, mungkin lebih RM100 seminggu. Tetapi kerana mata mahu berjaga, duit jatuh ke tangan penjual kopi.

Sebulan sebelum Ramadan 2018, saya menyerahkan tesis yang telah dibaiki kepada penyelia. Beliau telah menetapkan proses viva akan berlangsung pada Mei 2018. Viva dijangka berlaku selama 3 kali, sama seperti universiti lain di Korea. Saya yang sudah melalui pelbagai proses ilmu di Hufs selama 4 tahun ini sudah tepu perasaan. Kelas 4 semester, peperiksaan subjek wajib 4 peperiksaan, disusuli peperiksaan bahasa Inggeris dan Arab sebanyak 3 kali kemudian, menulis tesis 2 kali akhirnya viva 3 kali! Allahuakbar, begitulah manisnya perjalanan ilmu di Korea bagi yang kuat jiwa.

Ramadan 2018 Yang Diberkati

Saya menghadiri acara Viva Ph.D pada minggu pertama Ramadan 2018. Suami banyak memberi galakan dan doa. Begitu juga keluarga di Malaysia terutama ibubapa dan ibu mentua. Masing-masing mengharapkan saya lulus dan cepat pulang ke Malaysia. Viva adalah tangga pertama untuk berjaya naik ke pentas konvokesyen. Sedangkan pada saya, viva seperti menguji apa yang saya faham selama 4 tahun melakukan penyelidikan. Sejujurnya, saya belum benar-benar faham kerana fikiran sentiasa menemukan ilmu-ilmu baharu. Hari itu, saya sangat kecewa dengan cara saya membentangkan kajian. Sungguh kaku, Allahuakbar! Saya malu jika diminta mengingatkan balik apa yang saya bicarakan depan 5 orang profesor penilai, 3 daripadanya adalah orang Korea. Kerana terlalu gugup, saya hanya membacakan slide bukan membentang!!

Akhirnya saya diminta untuk menghadiri viva kedua yang dijangka dua minggu lagi. Saya pulang dan memberitahu suami, betapa kecewanya saya pada diri sendiri. Walaupun keputusannya positif pada viva kedua, tetapi saya geram, mengapa saya tidak membentangkan dengan baik? Saya berazam, di pembentangan kedua nanti, saya mahu lakukan yang terbaik.

Viva kedua lebih memfokuskan kepada komentar para penilai. Saya bersyukur kerana di saat akhir, Profesor Koh Young Hun menetapkan hanya dua viva sahaja yang akan saya lalui. Bermakna hari itu, keputusan saya lulus atau gagal Ph.D akan diputuskan. Saya diminta masuk ke bilik dan menjawab setiap pertanyaan para penilai. Saya mendapat 4 pertanyaan. Saya menjawab sehabis yakin tanpa slide lagi, semuanya bergantung pada ingatan. Kemudian, saya diminta keluar dari bilik itu. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua profesor penilai dengan tidak sengaja, turut menjatuhkan air mata depan mereka. Lalu saya keluar dari bilik.

Kemudiannya, saya dipanggil semula ke bilik tersebut dengan ketua penilai membacakan keputusan; saya lulus dengan sedikit pembetulan. Ya Allah, besarNya nikmatMu. Hari itu, saya merasakan indahnya Ramadan dengan bisikan-bisikan kasihNya pada setiap wajah yang senyum, dan pada setiap bibir yang bertahmid syukur.

Ph.D bukanlah jalan mencari kepandaian tetapi Ph.D hanyalah lorong kehidupan untuk lebih dekat kepada Allah SWT.


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page