ummihani.abuhassan@yahoo.com.my/ 2016

Ph.D (dengan) Fibroid III

February 24, 2019

 

 

Ujian, seperti juga kita melihat air hujan. Lebatnya hujan menyebabkan kita tidak mahu berjalan di bawahnya. Kita fikir, kita sakit bila badan lencun di bawah hujan. Waktu kita ada pilihan, kita menunggu hujan teduh dulu, atau kita meredahnya dengan payung melindungi tubuh. Kadang, di saat luar jangka, hujan turun lebat, kita pula perlu cepat, tanpa ada pilihan selain meredahnya hingga ke destinasi yang dituju, mungkin dekat, mungkin jauh. Di akhirnya, kalaupun sakit, kita masih selamat. Kadang dengan rahmatNya, kita selamat bahkan sihat!

 

Begitulah saya melihat fibroid ini. Ianya bukan penyakit. Ianya seperti hujan lebat yang tiba-tiba turun ketika kaki perlu meredah tanpa sebarang payung dan baju basahan. Tetapi dengan rahmat Allah SWT, para pembawa fibroid insha Allah akan selamat, majoritinya dengan cara pembedahan, dan sebahagian dengan cara alami.

 

Saya menerima panggilan dari Hospital Besar Temerloh di suatu petang, kata doktor pelatih itu, tarikh pembedahan saya perlu dianjakkan kerana bilik pembedahan hospital akan ditutup selama dua minggu; proses hujung tahun. Saya menghantar mesej kepada Dr Rukayyah.

"Makda, tak boleh ye saya bedah 14 Disember ?"

"Ya Ummu. Kita kena decide tarikh baru. 14 Januari boleh?" tanya Dr Rukayyah.

"Oh, boleh saja."

"Tapi jika Ummu nak buat lebih awal, Makda boleh keluarkan surat rujuk ke PPUM, boleh buat di PPUM," katanya, mencadangkan. Saya minta masa untuk fikirkan.

 

Entah kenapa, hati saya kuat mahu dibedah oleh Dr Rukayyah, insan yang saya lihat amat solehah, dan amat menjaga kebajikan ibu yang sudah tua. Saya rasa ada keberkatan, bila berdekatan dengannya.

 

"Makda, Ummu buat dengan Makdalah. confirm 14 Januari," kata saya.

"Ok, nanti 13 Januari boleh datang ke wad terus. Bagitau nama kat staf nurse di wad," katanya.

 

Saya dengan fibroid ini mengundang pelbagai persepsi orang. Ramai berkata saya mengandung. Malah, waktu saya letak gambar di Facebook, ada rakan-rakan 'membawang' bahawa besarnya perut saya mungkin 'dia mengandung' atau 'buncit'. Tetapi mereka tidak mesej personal kepada saya. Waktu saya mengajar di kelas, ada mahasiswa sangka saya akan cuti bersalin tidak lama lagi bila saya memberitahu, akan bercuti panjang. Sebenarnya, dengan fibroid juga, saya gagal  mengandung lagi.

 

Ada hikmahnya tarikh dilewatkan, walaupun tubuh makin resah. Saya kerap buang air kecil, sukar tidur dengan satu posisi dan cepat 'marah'.  Kelewatan itu membolehkan saya menghadiri beberapa majlis ilmu antaranya mendengar bicara al-Fadhil Dr Afifi al-Akiti, seorang ilmuan muda yang amat saya kagumi.  Dapat menadah ilmunya secara 'talaqi' adalah hadiah buat saya. Pulang dari majlisnya, saya membuka Youtube, mencari kuliah-kuliah beliau dan mendengar. Satu kuliahnya yang menusuk jiwa adalah huraian doa ini:

 

 

يَا أَمَانَ اْلخَائِفِيْنَ  ءَامِنــَّـا مِمَّا نــَخَافُ

يَا أَمَانَ اْلخَائِفِيْنَ  سَلِّمْنــَا مِمَّا نــَخَافُ

يَا أَمَانَ اْلخَائِفِيْنَ  نــَجِّنــَا مِمَّا نــَـخَافُ

 

Wahai (Tuhai) Yang Memberikan Keamanan Kepada Sesiapa yang takut,

Berikanlah kami aman (di dunia) terhadap apa sahaja yang kami takut..

 

Wahai (Tuhan) Yang Memberikan Keamanan Kepada Sesiapa yang takut,

Berikanlah kami sejahtera (di akhirat) terhadap apa sahaja yang kami takut..

 

Wahai (Tuhan) Yang Memberikan Keamanan Kepada Sesiapa yang takut,

Keluarkanlah kami dari apa sahaja yang kami takut..

 

 

Saya mengulangi doa ini sepanjang masa sehingga tarikh 14 Januari 2019.

 

 

 

Masuk Hospital

 

Kepada anak-anak saya berpesan jangan nakal. Mereka tinggal dengan ibu mentua sepanjang saya masuk wad nanti. Sahabat dan jiran kami, Kak Ummu Assiem telah menyenaraikan beberapa barang yang perlu saya bawa ke hospital. Dia dan adiknya  pernah menjalani pembedahan  membuang fibroid. Pengalaman mereka diturunkan kepada saya. Pagi Ahad, 13 Januari, suami yang turut mengambil cuti (Alhamdulillah, suami kembali bekerja sebagai jurutera senior di syarikat robotik Bumiputera di Cyberjaya) menghantar saya ke hospital. Kami singgah membeli kasut dan bekas air panas. Dalam kereta, saya memohon maaf dari suami, sungguh banyak dosa saya padanya. Dosa selalu berdebat dan membantahlah paling banyak. Itulah cabaran belajar tinggi, makin bijak berhujah dan kebanyakan hujah digunakan dalam percakapan dengan suami. Aduhai.

 

Wad Kenanga adalah wad wanita. Penyakit berkaitan rahim akan dikumpulkan dalam wad itu. Waktu saya masuk, semua katil penuh, hanya ada katil sementara. Bau wad sahaja sudah cukup mendebarkan, belum lagi saya berganti pakaian hospital yang berwarna pink. Saya teringat tahun 2011, saya 'check in' di Hospital Besar Melaka juga pagi Ahad, 10.7.11 tarikhnya. Saya menjalani pembedahan melahirkan anak pertama kerana kedudukan bayi songsang. Waktu itu saya ditempatkan dalam bilik khas, wad kelas pertama.

 

Hari itu, suami bertanya pihak jururawat jika saya boleh ditempatkan di wad kelas satu atas GL sebagai pensyarah IPTA. Jururawat menggeleng kepala. Katanya bukan saya tidak layak, tetapi bilik itu jauh. Selepasnya baharulah saya tahu, saya bakal diletakkan di katil bahagian paling dekat dengan jururawat dan doktor bertugas kerana pembedahan saya adalah 'MAJOR SURGERY' dan BESAR (LAPAROTOMI). Jadi mereka perlu pantau saya 24 jam selepas bedah.

 

 

Saya berganti baju seragam pesakit Wad Kenanga. Wajah-wajah di katil pesakit melihat saya, ramai memberi senyum, dalam kesakitan. "Sakit apa?" itulah soalan pertama. Bukan lagi 'Nama apa?" atau "Dari mana?" seperti di tempat selain hospital. "Fibroid," balas saya. "Oh, itu fibroidlah, ingatkan mengandung."

 

"Dr mahu scan puan," kata jururawat. Suami menunggu seketika, tidak boleh lama kerana wad perempuan. Beberapa orang pakar dan doktor pelatih mengerumuni saya sebaik saya baring di katil bilik pemeriksaan. Ada seorang Dr pakar lelaki, saya segan tetapi pasrah. 

"Size fibroid 12 cm, kita bedah menegak. Insha Allah tidak ada apa," kata doktor pakar lelaki, kelihatan paling senior di situ. "Esok kawan saya yang bedah puan, saya tak ada sebab ke sekolah anak," katanya. Di luar bilik, suami berbual dengan Doktor itu. Saya tiada 'perasaan' untuk berbual, masya Allah takut. 

 

Kemudian, saya dan tiga wanita diarahkan ke bilik pakar bius untuk dinilai, apakah kesihatan kami membolehkan kami dibedah pagi esok. Saya mendapat giliran pertama pembedahan iaitu jam 8 pagi, 14 Januari 2019. Sewaktu berjalan ke bilik pakar bius, saya bertanya tiga wanita tadi. Soalan lumrah, "sakit apa?" Dua wanita berusia 50-an, seorang lagi lewat 20-an, saya kira. Tiga daripada kami ada masalah fibroid, si adik disyaki mengidap kanser rahim. Allahuakbar, ujian si adik lebih hebat. Saya insaf, berdoa pada Allah moga tidak ditimpakan ujian yang tak mampu saya tanggung.

 

Hasil pemeriksaan doktor bius, saya dibenarkan menjalani pembedahan. Doktor menerangkan risiko pembedahan 1. tumpah darah. 2. Serangan kuman di paru-paru yang boleh mengakibatkan koma dan meninggal dunia. Allahuakbar. KepadaMu Allah aku bertawakal. Saya perlu berpuasa malam itu, dan diberikan ubåt mengosongkan usus.

 

 

(bersambung)

 

 

(Bersambung)

Please reload

Featured Posts

I'm busy working on my blog posts. Watch this space!

Please reload

Recent Posts

September 3, 2019

July 21, 2019

April 29, 2019