ummihani.abuhassan@yahoo.com.my/ 2016

Sorga Yang Tak Dirindukan

March 5, 2019

 

 

 

 

 

 

 

Berulang-alik dari rumah sekarang ke tempat kerja menuntut sabar yang tinggi, apatah lagi suami saya yang bekerja di Cyberjaya , 80KM pergi-balik. Belum lagi cerita kesesakan jalanraya. Kami selalu berbincang untuk 'berhijrah rumah' lagi, tetapi solusinya akan berakhir; "Biarlah kita tinggal di sini dulu, di sini istimewa!"

 

Ya. Sungguh istimewa tempat tinggal sekarang kerana keluarga jiran yang seperti saudara; seorang suami, dua isterinya dan dua anaknya, tinggal dalam sebuah rumah. Kedua isteri tersebut amat baik terhadap saya dan anak-anak. Kadang terlalu baiknya mereka, saya kelihatan suka 'ambil kesempatan' kepada mereka pula. Misalnya, jika terlewat menjemput anak di sekolah, saya selalu minta tolong isteri kedua. Dia bukan sahaja jemput anak-anak saya sekolah, siap dimandikan Darda' dan Dawud, diberi mereka makan dan dipinjamkan sekali baju anaknya kepada anak-anak saya. Pada suatu petang, saya minta tolong lagi menjemput anak, Allahuakbar, tidaklah saya tahu hari itu yang menjemput anak-anak saya adalah isteri pertama yang juga tokoh hebat.

 

Sebenarnya saya selalu mahu ke rumah mereka. Melihat mereka pun saya sudah rasa baik, apatah lagi berkawan rapat, selalu ingat kebesaran Allah SWT melalui akhlak mereka. Tetapi saya malu, kerana nanti di rumah mereka, dijamu pelbagai makanan, diberi pula macam-macam buah tangan. 

 

Suatu waktu, saya makan bersama isteri pertama dan kedua. Saya bertanya bagaimana mereka boleh bermadu? "Hah, nak buat novel/drama la tu," kata mereka. Ya, jika diberi kekuatan semangat oleh Allah, saya mahu bukukan kisah mereka yang boleh dimanfaatkan seramai mungkin wanita.

 

Isteri pertama bercerita, dia tidak dikurniakan Allah Swt zuriat walaupun sudah lama berkahwin. Dia bersyukur Allah SWT memudahkan perjalanan ilmunya sehingga ke peringkat Ph.D. Dia mengambil Ph.D di luar negara, pergi sendiri dan suami tinggal di Malaysia. Pelbagai ujian ilmu diharungi selama di Jordan hingga hampir-hampir gagal mendapatkan Ph.D. Dalam kegusaran itu, dia dipertemukan dengan seorang gadis yang menaikkan semangatnya sehingga dengan izin Allah, dia berjaya meraih Ph.D.

 

 

 

 

 

Si gadis adalah mahasiswi ijazah sarjana muda dari Malaysia. Lalu dia berkongsi kisah hidupnya kepada si gadis, menanggung sabar tiada zuriat. Si gadis, secara bergurau menawarkan diri menjadi madunya. Dia mengambil serius gurauan itu; dia melamar gadis itu untuk suaminya! Rancangan itu tidak diketahui suaminya.

 

Apabila Ph.Dnya selesai. Dia pulang ke Malaysia. Suatu waktu, ketika suaminya mahu ke Mekah al-Mukarramah, diberikan surat istimewa kepada suaminya. Dipesannya kepada suami agar surat itu dibaca hanya ketika sudah berada di Mekah.Dalam surat itulah dia meminta suaminya mengahwini si gadis berhati mulia yang menjadi sahabatnya itu.

 

Demi janji dan harapan itu, si gadis berjuang memahamkan ahli keluarga terdekat. Berkahwin dan menjadi isteri kedua bukan perkara mudah dalam masyarakat hatta masyarakat Muslim di Malaysia. Apatah lagi, ada lamaran lelaki-lelaki bujang yang ditolaknya untuk membangunkan keluarga Muslim dengan sahabat baiknya dan suami sahabatnya. Syukurlah, selepas beberapa tahun, keluarga mengizinkan dia memasuki 'syurga yang selalu tidak dirindukan iaitu poligami'.

 

Begitulah kisah lamaran yang paling ajaib pernah saya dengar secara nyata. Bukan dari drama televisyen atau novel. Saya bertanya isteri pertama, apa yang paling manis sepanjang poligami. "Yang paling bahagia adalah apabila anak kami (anak suaminya dengan isteri kedua) menunggu saya pulang dari kerja dan memanggil saya mama.."

 

Dalam rumahtangga ada ujiannya, ujian berpoligami pasti lebih hebat. Tetapi jangan lupa, poligami adalah sunnah Rasulullah SAW yang jika dilaksanakan mengikut sunnah baginda SAW, kebahagiaannya tentu berganda, ada Allah dan rasul dalam setiap tindakan. Saya lihat mereka yang wajahnya jernih, tenang dan bahagia. 

 

Begitulah syurga yang tidak dirindukan (poligami). Ianya indah kita dengar, kita lihat dan maklum ganjaran syurganya. Tetapi ya Allah, bukan calang-calang wanita boleh melaksanakannya. 

 

 

Please reload

Featured Posts

I'm busy working on my blog posts. Watch this space!

Please reload

Recent Posts

September 3, 2019

July 21, 2019

April 29, 2019

April 24, 2019