top of page

Hakikat 'Latar'


Diriku di sebuah latar yang terus 'mangganggu' hidupku sekarang. (Pocheon, 2016)

Latar adalah ruang, tempat atau tempoh dalam sesebuah karya sastera terutama cerpen dan novel. Pemilihan latar sama pentingnya dengan pemilihan watak mahupun tema. Bahkan latar dapat menjelaskan dengan lebih baik sesebuah tema dan watak. Kita tidak pelik mengapa seorang lelaki tua sangat teruja apabila anaknya membeli telvisyen dalam Novel Tivi karya Shahnon Ahmad. Sebuah televisyen kelihatan istimewa bagi penduduk kawasan pedalaman tahun awal 1990-an di Kedah. Inilah latar tempat dan masa novel ini. Sekiranya tidak dijelaskan latar, maka pembaca pada abad yang berbeza tidak dapat memahami keselarasan watak dengan isu-isu yang wujud dalam karya.

Latar memaklumkan pembaca tentang imej luaran dan dalaman watak. Sebahagian besar pembaca, memilih karya kerana watak. Mereka mencari 'makna kehidupan' di sebalik perjalanan kisah watak. Ketika kecil, saya suka membaca buku-buku yang wataknya adalah perempuan, cantik, kaya dan bahagia. Sekiranya watak itu dilahirkan miskin seperti Cinderella, tetapi dia berakhir dengan menjadi isteri raja. Latarnya jelas. Ketika Cinderella kecil, dia tinggal bersama ibu dan kakak-kakak tiri di sebuah rumah yang besar tetapi bilik Cinderella buruk. Pakaiannya juga buruk. Kesan dari latar itu, emosi Cinderella sering jatuh. Dia menangis dan kecewa, Sebagai pembaca, saya juga sedih dan marah. Begitu dia pergi ke istana, dirinya menjadi mewah dan jelita. Emosinya juga gembira. Dia seolah menjadi wanita paling bahagia apabila semua di istana termasuk putera raja terpegun padanya. Faktor latar mengubah emosi si Cinderella.

Sama seperti kehidupan kita yang sebenar, kita bertindak dan menyelesaikan masalah bergantung kepada tempat kita berada. Misalnya, cara kita melayan anak kecil kita lapar di masjid dengan di rumah amat berbeza. Di masjid, kita perlu memujuk mereka, menyuruh mereka sabar dan menghormati jemaah lain. Di rumah, mungkin kita terus melayani lapar mereka dengan memasak dan menyuap makanan. Dalam novel Bumi Cinta karya Habiburrahman El-Shirazy, sikap watak utama Ayyas terhadap wanita-wanita sekelilingnya turut dipengaruhi latar. Penulis menempatkan Ayyas tinggal serumah dengan dua pelacur Rusia. Justeru, bagi menjaga dirinya, Ayyas begitu tegas dengan wanita, Dia lebih gemar menyendiri dalam bilik dan mengelak untuk berduaan dengan teman serumah. Sebaliknya di universiti, Ayyas amat mesra dengan pembimbing wanitanya. Mereka berdiskusi dan bertukar pandangan tentang pelbagai hal termasuk agama. Latar turut menjadi ukuran bagi watak; bagaimana seharusnya dia bertindak kepada orang lain?

Latar adalah rakaman sejarah. Sebuah rumah yang digambarkan dalam novel dapat menjelaskan keadaan psikologi dan sosio ekonomi watak-watak yang tinggal di rumah tersebut , tanpa perlu menunggu novel selesai dibaca. Saya cuba mengingatkan bagaimana ketika mencari latar yang menarik bagi novel Surat Ibu Dari Penjara; Seorang pengarah penjara, tinggal di rumah agam , mempunyai isteri yang baik dan seorang anak remaja yang mahu lari dari rumah mereka. Di mana hubungannya antara latar penjara dengan rumah yang besar bersama anak bermasalah? Hubungannya adalah sebuah diari milik seorang banduan akhir yang kemudian menukar emosi rumah si pengarah penjara. Anaknya pulang ke rumah, memohon maaf dan berjanji akan menjadi remaja yang baik. Lalu, si pengarah membawa anaknya pulang ke desa; latar yang memanusiakan dirinya. Dia menunjukkan kepada si anak pokok padi. Latar sawah menjadi gambaran falsafah hidup manusia yang tawadhuk dan rendah diri. Kepelbagaian latar membantu penulis meluaskan lagi fikiran yang mahu disampaikan kepada pembaca.

Insha Allah, saya akan cari ruang untuk menulis tentang latar lagi.


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page