ummihani.abuhassan@yahoo.com.my/ 2016

Cerpen: K- Isteri

April 29, 2019

Kira-kira 360 hari aku berada di negara kentang dan kubis ini, tidak ada yang paling kurasakan sulit melainkan memaksa diri menjadi ibu seperti ibu-ibu Korea.

 

Seoul, 2018. Aku datang ke Korea mengikut suamiku menyambung Ijazah Doktor Falsafah di sebuah universiti ternama di sini. Suamiku ingin mengejar cita-citanya menjadi pakar lokomotif. Aku, sejak melahirkan anak kedua kami, dengan senang hati meninggalkan pekerjaanku sebagai guru Matematik. Kebetulan pula, suamiku ditawarkan biasiswa oleh Kerajaan Korea. Kukira, tinggal di luar negara dengan hanya fokus kepada suami dan anak-anak, itu lebih membahagiakan daripada mendapat gaji setiap bulan.

 

Perkiraanku sedikit berkurangan ketika melewati hari ke 90 kami di daerah Taerung, kota kecil hujung Seoul. Suamiku mendapatkan rumah sewa yang paling cocok dengan wang biasiswanya iaitu satu kamar dengan sebuah bilik air. Kamar itu dikenali juga dengan nama ‘one room’. Menurut suamiku, kami bernasib baik kerana mendapat bilik yang lengkap alatan masak, peti sejuk, mesin basuh, katil kelamin, meja belajar dan ruang mandi sendiri. Jika bukan kerana statusnya sebagai mahasiswa ijazah tinggi, harga sewanya tentu lebih mahal. 200000 won atau RM800 sebulan sebenarnya layak untuk bilik dengan katil bujang dan bilik air dikongsi dengan penghuni ‘one room’ yang lain.

 

“Di mana anak-anak kita mahu bermain?” tanyaku sambil melilau ke atas dan ke bawah katil. Suamiku tidak sempat menjawab apabila suara anak sulung kami yang berusia 5 tahun kedengaran dalam bilik air. Suamiku menerpa sebelum bajunya basah di simbah anak kami dengan iringan ketawa nakal.

 

Belumpun bernafas tenang, suamiku mula sibuk di universitinya. Jam kerjanya di makmal universiti adalah 9.00 pagi, tetapi jam pulang, belum dapat dipastikan. Pada minggu-minggu pertama, dia pulang antara pukul 9 ke 10 malam. Masuk bulan kedua, aku sendiri berasa bosan melihat jam. Pukul 12 malam, 1, 2,3 atau 5 pagi. Sebenarnya, aku tidak perlu melihat jam lagi. Anak sulungku akan menyebutkan pada setiap kali jarum besar berada di bawah nombor 12, sehingga dia tertidur.

‘Rumah bilik’ kami berada di lingkungan bangunan-bangunan kedai. Ketika membuka jendela, yang pertama muncul di mata adalah warna awan yang tidak begitu biru. Aku dapat melihat wanita tua terbongkok-bongkok menjemur cili merah di loteng mereka. Pada suhu 18 celcius bulan September, cahaya matahari begitu mesra dengan angin. Terik tetapi nyaman. Ianya menarik hatiku berjalan-jalan di luar rumah. Kumasukkan anak pertama ke dalam kereta sorong, bayiku pula terlekap di badanku. Kami bertiga turun dari tingkat enam menggunakan lif.


“Annyeonghaseyo..!” kata pengawal bangunan yang kukira usianya 70-an. Aku teraba-raba mahu menjawab apa. Anak sulungku laju mengulangi, “Annyeonghaseyo…!!” menyebabkan pengawal itu ketawa. “Goo-derr,” katanya membuat tanda bagus. Baru kusedari, keputusanku turun bersiar-siar tanpa suami agak menyeramkan. Ia bukanlah kerana lorong-lorong di situ ada penjenayah melainkan mata-mata CCTV. Bukan juga dek sibuknya lalu lintas kerana setiap kenderaan lebih menghormati pejalan kaki. Tanpa lampu isyarat pun, jika pejalan kaki melangkah di tengah garis-garis putih, secara automatik kenderaan manapun berhenti. Sangat menyeramkan apabila ada banyak dinding kaca yang mempamerkan isi perutnya. Pintu-pintunya seperti binatang buas dengan indera hidu yang kuat. Ia terbuka secara semulajadi, mengalukan siapapun yang mendekat.

Anak sulungku dibaham oleh salah satu pintu tersebut. Dia masuk ke dalam perut kedai yang kukira sengaja dikacakan dindingnya. Tangan halus itu merakus ke balang-balang coklat. Si pelayan memberi senyum paling manis. Aku membalas jauh dari ikhlas. Jiwaku seram sejuk. Tempat ini menghidangkan pemandangan seram yang tidak ada dalam filem hantu atau pontianak. Aneh sekali coklat, gula-gua manis dan gula-gula getah di letak paling hadapan, hampir ke gigi pintu masuk. Di rak tengah pula, biskut-biskut dengan aneka corak dan bentuk saling berhadapan dengan keropok atau bahasa orang kampungku ‘jajan’. Terdapat makanan sejuk beku seperti kimbab berbentuk tiga segi, tteobokki, sundae dan fishcakes. Di bahagian sedikit tersorok, baharulah barang-barang harian seperti tisu tandas, tuala wanita dan peralatan lain disusun.

 

“Dalam coklat itu ada ‘oit!” kataku, membunyikan binatang yang paling digeli anakku. Kuharap dia akan faham walaupun yang sebenarnya aku tidak tahu tulisan Hangeul sehingga tidak dapat membaca kandungan coklat yang dipegang anakku.
“Bukankah tidak ada gambar ‘oit?” Anakku membelek-belek plastik coklat. Anak keduaku mula menangis, minta didukung. Pelayan Korea dengan mata besar tidak seperti kebiasaan orang Korea lain menghampiri.
“Kencanayo?” tanyanya. Aku hampir menggigil. Antara gugup dan marah.
“Hah! Dia panggil polis,” kataku dengan wajah memberi amaran. Melihat riakku, si pelayan seperti faham. Dia juga menggelengkan kepala. Mungkin di fikiran pelayan, aku seperti ibu-ibu biasa yang tidak memberi anak makan coklat kerana takut gigi mereka tidak cantik. Tetapi alasanku sebenarnya lain. 
Pada hari ke 300, suamiku perlu menghadiri seminar kejuruteraan di Brazil selama seminggu. Fikiranku melantun-lantun dari satu episod ke satu episod. Bermula dengan kesibukan suamiku yang terus-menerus sejak kami tiba di Seoul, kemudian sikap anak pertamaku yang semakin garang kepada adiknya, juga sikapku yang makin dingin kepada semua orang di rumah ‘comel’ kami. Suamiku memberitahu, dia berpapasan dengan jiran di sebelah bilik kami sedang mengangkut barang-barang rumah ke tingkat bawah. Si jiran tidak memandang wajah suamiku, terburu-buru masuk ke dalam lif sebelum suamiku bertanya apa-apa. 
“Mengapa dia berpindah agaknya?” tanyaku. 
“Mungkin bilik di tingkat bawah lebih besar,” jawab suamiku.
“Tidak, ini semua kerana suara Dani dan Danial. Melalak-lalak hingga ke tengah malam,” getusku.
“Juga suara ibu, ibu marah saya seperti suara harimau,” anakku menyampuk. Episod seterusnya tidak sanggup ku bayangkan; bagaimanalah aku akan menghadapi 168 jam dengan anak-anak yang ‘panjang akal’ ini tanpa suami? Berapa ramai lagi jiran yang akan berpindah bilik?

Suamiku terbang ke Brazil bersama pasukan penyelidiknya yang diketuai seorang Profesor Korea. Hasil penyelidikan mereka nanti akan dimuatkan dalam jurnal berimpak tinggi. Aku bertanya suamiku, apakah nanti dia akan mengharumkan nama tanah air kami? Dia menggeleng kepala. 
“Mengharumkan nama negara yang menaja beras kita selama di sini,” katanya. Dalam senyuman, aku terfikirkan betapa sayang sekali negaraku tidak memperhatikan orang cerdik seperti suamiku. Dia menghantar banyak permohonan untuk mendapatkan biasiswa termasuk ke pejabat zakat. Kata seorang pegawai zakat di situ, “Maaf tuan, tuan belajar bukan bidang agama, tidak layak memohon!” Kami benar-benar tidak melupakan ayat itu, walaupun sekarang wajah si pegawai sudah kami lupa. Mahu sahaja aku menulis surat kepada si pegawai, apakah air yang diminumnya diambil dari sungai? Di mana sumber udara dingin ketika dia bekerja jika bukan dari penghawa dingin? Mampukah dia menemui asnaf zakat jika bukan dipercepatkan dengan kenderaan dan telefon bimbit? Revolusi industri membuatkan pengamalan agama menjadi lebih tersusun dan bermanfaat sebanyak mungkin. Bidang suamiku bukan bidang Al-Quran secara khususnya, tetapi secara umumnya, dia sedang memudahkan perkara-perkara baik untuk manfaat manusia, yang diseru dalam Al-Quran. Ah! Jikalau aku boleh bertemu lagi dengan pegawai zakat itu. Syukurlah, rezeki suamiku tersurat di negara kentang dan kimchi. Tuhan lebih tahu rahsiaNya mengapa didatangkan orang bukan Islam membantu kami di sini.

Aku sudah tahu satu jenama snek dan aiskrim Korea yang boleh dimakan ketika suamiku membawa pulang sebelum ke Brazil. Pertama sekali yang kulakukan adalah memotret gambar pembungkus makanan ringan itu. Ini sebagai persediaan jika anakku dibaham lagi mulut-mulut kedai 24 jam yang bersusun di bawah rumah kami. Ternyata, perkiraanku benar. Aku membeli dua aiskrim melon dan sekotak kek berbentuk ikan. 
“Ini sahajakah tidak ada ‘oit?” tanya anak sulungku. Aku mengangguk, tahu ianya satu pembohongan ‘yang baik.’ Kami menyelusuri rel kereta api yang dijadikan laluan pejalan kaki. Bunga kosmos menenggelamkan rona klasik Ilalang. Aku terlupa seketika bahawa suamiku ada 96 jam lagi masa di negara paling banyak spesis monyet. Anak sulungku berlari ke arah sekumpulan kanak-kanak Korea yang bermain belon air. Aku menyorong si kecil mengikut langkah abangnya.

Seorang wanita sebayaku menghulurkan botol berisi air sabun. Dia bercakap Korea tetapi kutahu, dia menyuruh anakku mengambilnya. 
“Kamsahammida,” jawab anakku. Wanita itu teruja. Ketika anakku mula bermain dengan anak-anak Korea lain, kami berbual.
“Saya baru tahu wanita Malaysia memakai seperti wanita Arab Saudi. Saya fikir kamu orang Arab,” katanya dalam bahasa Inggeris yang baik. Buat pertama kali, aku menerangkan perbezaan wanita Melayu dengan Arab Saudi. Kami terus ke inti perbualan.
“Saya guru pusat asuhan anak yang dipanggil orinijib. Anak-anak itu sedang menunggu ibubapa mereka untuk pulang ke rumah.”
“Sehingga jam?”
“7 malam,” jawabnya. Aku terbayang, jika sampai jam 5 petang si sulung di orinijib, sudah cukup membuatkan pinggangku lurus di atas tilam. 
“Kamu berminat?”
“Berapa yurannya?” tanyaku cepat.
“Tidak mahal. Hanya 350,000 won sebulan. Yang paling murah di kawasan ini. Lihatlah anakmu, dia sudah cocok dengan anak Korea lain. Dia sungguh comel, matanya bulat. Siapa namanya?”
“Dani. Ya, dia sangat bahagia bertemu teman-teman. Sudah 10 bulan dia hanya bermain dengan saya dan bayi ini. Ayahnya sungguh sibuk,” kataku, jujur.
“Oh, kasihan. Besok datanglah ke pusat asuhan di situ.” Wanita itu menunjuk ke arah sebuah banglo dua tingkat di depan kami. Dinding banglo dipenuhi lukisan watak-watak Kartun Pororo.
“Tetapi suami saya tidak ada di Seoul sekarang, saya pergi bersamanya nanti,” kataku.
“Oh, jika kamu mahu tahu lebih banyak tentang aktiviti kami, telefon saya.” Wanita itu mengeluarkan telefon tangannya, kami bertukar nombor.
Aku mengajak si sulungku pulang, dia berat hati.
“Annyeongg..Daum mannayo!” kata wanita itu, menepuk-nepuk bahu anakku. Anakku mengangguk
“Wow! Sungguh hebat. Anakmu faham bahasa Korea. Cepat hantar dia pada kami,” kata wanita itu sebelum berlalu bersama kanak-kanak lain.
“Dani faham makcik Korea itu cakap?” tanyaku, berdebar juga jika dia benar-benar faham.
“Tak faham,” balas si sulungku. Aku senyum, bunga-bunga kosmos juga tersenyum.

Sejak diberitahu suamiku nilai 350,000 won adalah bersamaan RM1225, aku menjadi pemikir. Di mana logiknya aku menghabiskan wang sebanyak itu setiap bulan untuk seorang anak kecil berumur 5 tahun? Sedangkan bilik yang kami duduki ini lebih murah daripada itu? Aku tahu, jika mengharapkan biasiswa suamiku, adalah mustahil anakku dapat memasuki orinijib. Tetapi tergamakkah seorang ibu menghalang perkembangan anaknya dalam umur terhebat mereka?

“Saya ingin menggunakan sebahagian simpanan saya untuk tadika Dani,” kataku pada malam suamiku tiba di Seoul.
“Betulkah?” tanya suamiku, tidak percaya. Dia tahu aku yang sangat kedekut dan kaki menyimpan wang. Dia belum berjaya mengusik wang simpananku sejak kami berkahwin.
“Kita cuba dahulu setahun, kira-kira RM14700,” kataku.
“Banyak betul wang simpanan kamu. Berapa jumlah yang tinggal?”
“Rahsia negara.” 
“Duit abang pula rahsia Allah!”
“Allahuakbar!”

Anakku Dani memulakan sekolah pertamanya di Seoul. Keterujaannya bertemu rakan sebaya menenggelamkan semua ketakutan. Dia melambai kami; ayah, ibu dan adiknya yang akan meninggalkannya selama 9 jam di orinijib. Senyumannya menjadi jawapan kepada persoalan bolehkah dia memahami percakapan guru dan kawan-kawannya? Bagaimanakah kalau tiba-tiba dia mahu ke toilet? Dia belum pernah membasuh najis dengan tisu. Bagaimana kalau guru tetap memberi ayam, daging atau khinzir walaupun lebih 30 kali aku memberitahu guru yang anakku seorang ‘vegetarian’? Bagaimana jika ada pelajar lain mengejeknya, seorang wegugin (orang asing)?

“Mulai esok, saya akan masakkan Dani seperti menu sekolah,” kataku kepada suami. Kebimbanganku terhadap apa yang anakku makan di orinijib melebihi perkara lain.
“Kamu tahu bahan-bahannya?” tanya suamiku.
“Saya akan ambil tahu,” balasku, merangka akan menelefon guru Dani setiap hari. Petang itu, anak sulungku memberikan sebuah buku. Luar biasa, buku itu mengandungi menu makanan anak-anak orinijib selama sebulan. Si guru membulatkan semua menu yang mengandungi daging dan gelatin. Aku akan mengubah-suai menu tersebut dengan daging halal. Melalui Youtube, mulalah aku belajar membuat kimbab, kimci chigae, albab, bibimbap, dan samgyetang. Demi mencuba makanan Korea ‘halal’ itu, suamiku sanggup menjaga bayi di rumah. Aku tidak bertanya apakah alasan yang diberikan kepada profesor Koreanya. Perjanjiannya, aku akan membuat bekal makanan Korea untuk dua orang setiap pagi, untuk suami dan anak.

Bahasa Korea anakku belum baik. Di orinijib, dia hanya tersenyum dan membuat bahasa isyarat. Guru kelas menulis mesej kepadaku, bimbang apakah anakku dapat memahami pengajarannya atau tidak. Dia mencadangkan aku bercakap Korea dengan anak-anak di rumah. Oh Tuhan, begitu tinggi harapan si guru mahu melihat anakku fasih berbahasa Korea dalam tempoh tiga bulan. Malam itu, selepas suami dan anak-anak tidur, aku membuka Youtube lagi. Mulailah aku mengenal huruf Hangeul dan belajar membunyikannya. Aku menulis nama-nama barang yang ada di rumahku dalam bahasa Korea di kertas, lalu kutampal pada setiap satunya. Tujuannya, aku dan anakku sama-sama dapat bercakap Korea.

Aku mendaftarkan diri ke kelas Bahasa Korea. Jadualku berubah padat. Jam 5 pagi, aku sudah beraksi di dapur, menyediakan nasi bulgogi, kimbab atau sundobu yang menjadi kegemaran suami dan anakku sekarang. Selepas Subuh dan membaca Al-Quran, aku membuka buku Bahasa Korea, menuliskan ayat-ayat pendek untuk anakku. Dia perlu menghafalnya sebelum bertemu guru dan rakan-rakan orinijib. Setelah menghantar si sulung ke orinijib, aku mengendong bayiku ke stesen subway dan mengambil masa 10 minit perjalanan ke kelas Bahasa Korea yang terletak di Seokgye. Sambil menyusukan bayi di balik jilbab, aku mengikuti bahasa Korea tahap pertama yang berlangsung 2 jam. Selepas kelas, biasanya aku berbual dengan rakan-rakan warga asing sepertiku.

“Suamimu orang Korea?” tanya seorang rakan baruku dari Filipina. Dia berkahwin dengan orang Korea dan tinggal bersama keluarga suaminya di Seoul.
“Suami saya orang Malaysia, dia belajar di sini,” balasku.
“Oh, syukurlah bukan orang Korea..” balas si teman.
“Maksudnya?” aku tidak mengerti.
“Mentuaku, dia membuatku berasa seperti pembantu rumah, bukan menantunya,” kata si teman.

Apabila aku bercerita kepada suami tentang perbualan itu, dia menggeleng kepala.
“Cukuplah hanya belajar Bahasa Korea, bukan bergosip dalam bahasa Inggeris selepas kelas,” katanya.

Disember datang dengan bilahan cuaca yang tajam. Sebaik desir menyentuh kulit mukaku, terasa di hiris pisau ilusi. Anak-anakku mengalami batuk dan selsema. Anak sulungku makin petah bercakap Korea. Intonasinya kedengaran seperti ahjusyi penjual ikan ketika marahkan adiknya. Suaraku pula seperti ahjumma penjual buah ketika memarahi anak sulungku. Bayiku yang akan berumur 12 bulan juga sering menjerit ‘Andey..andeyy’ yang bermaksud jangan..jangan. Dia selesa memanggilku ‘omma’ bukan ibu lagi. Anak sulungku akan mencari chopstik untuk makan, tidak mahu menggunakan tangannya sendiri. Perubahan yang mendadak.

“Tidak mahu menghantar bayimu ke orinijib juga? Dia sudah besar, perlukan kawan. Kamu bebas membuat perkara lain jika dia di sini,” soal guru anak sulungku.
“Berapa yurannya?” memang itulah satu-satunya soalan di fikiranku ketika itu.
“Jika bayi 450,000 won sebulan, mahal sedikit dari anak tadika,” balasnya.
“Oh, nanti saya memberitahu suami..” kataku, berbasa-basi. Mustahil aku akan membayar RM1600 sebulan untuk penjagaan bayi.
“Di Korea, apabila usia bayi 12 bulan, ibu-ibu akan menghantar bayi ke orinijib agar mereka bebas. Kasihan selama 12 bulan pertama, ibu tidak boleh berehat. Oh ya, di Korea kami mempunyai adat penting untuk bayi yang akan masuk usia setahun. Ibubapa membuat majlis dan anak kecil dipakaikan hanbok mewah. Anak kecil akan diberikan pelbagai hadiah. Jika dia memilih wang, dia mungkin menjadi orang kaya. Jika dia memilih buku atau alat tulis, mungkin bayi akan menjadi cendiakawan,” kata si guru, mengusap-usap pipi bayiku.
“Er..di mana boleh membeli hanbok?” tanyaku.
“Di pasar ada, saya boleh bawakan kamu ke kedai hanbok yang bagus..”
“Harganya?” tanyaku lagi.
“Biasanya hanbok bayi 50,000 won sehingga 70,000 won, tidak mahalkan?” si guru tersenyum lagi. Ketika aku menyorong anak-anakku pulang ke rumah, aku terbayang hanbok bayi yang comel dan harga kentang di pasar yang tiba-tiba naik mendadak, tiga kali ganda. Daripada menghabiskan duit sebanyak RM300 untuk pakaian bayi, lebih baik aku membeli stok kentang selama musim salji. Logikku menjalar di fikiran.

“Ibu..kawan saya pergi ke kelas robot dan Taekwando. Dia ajak saya ke sana. Bolehkah saya ikut?” tanya anakku. Aku berhenti jalan. Berfikir bahawa aktiviti yang disebutkan si sulung itu sangat baik dibandingkan jika anakku menonton kartun-kartun di Youtube. Kusegera mengeluarkan Hp dan mendail nombor guru semula.
“Benarkah ada kelas robot dan taekwando untuk anak-anak berusia lima tahun? Anak saya mahu ikut..” tanyaku.
“Ya ada puan, bagus jika Dani ikut” balas guru tadika Korea itu.
“Err..ianya percumakan?” aku mengetap bibir.
“Maaf puan, kelas itu dibuat oleh syarikat luar. Yurannya 80,000 sebulan untuk satu kelas,” balas guru.
“Saya akan pertimbangkan dulu, terima kasih.” Aku menutup hp. Kami meneruskan langkah, fikiranku mula bekerja, menimbang antara menambah bayaran RM320 sebulan dengan anakku menghabiskan hari minggunya dengan kartun di Youtube. RM1545 sebulan boleh kulaburkan untuk membesarkan seorang anak lima tahun di Seoul, dengan syarat aku tidak boleh berganti pakaian baru, berjalan-jalan ke luar kota dan paling sedih, tidak ada lagi simpanan duit tiket untuk menziarahi keluarga di Malaysia. Solusi yang sedih.

Malam itu, aku membiar anak-anak melompat-lompat di katil, kemudian berlari dalam ruang 12x12 kaki. Aku terbaring, melihat kosong ke syiling. Suamiku entah bila akan pulang ke rumah, tidak mustahil selepas Subuh pagi esok. Hampir 12 bulan kami di Korea, kami belum berjalan-jalan kecuali ke pasar ikan. Satu keberuntungan aku boleh menaiki subway sendiri, melihat orang-orang tua yang mandiri, itulah hiburanku. Apakah aku bahagia di negara ini? Anak pertamaku menjerit kuat. Aku membuka mata.
“Astagfirullah..” Aku bingkas bangun melihatkan darah mengalir di bibir anak sulungku. Adiknya menujah kereta mainan ke mulut abangnya. Aku menarik anak sulungku ke bilik air, membasuh mukanya dan memeluknya. Bayiku pula menangis, cemburu.
“Ya Allah..” aku pejam mata, air jernih jatuh ke pipi. Kupeluk anak sulungku, dan kubiar bayiku menarik-narik bahu dan rambutku. Kuberdoa anak sulungku tidak perlu ke klinik.Kami belum ada ansuran lagi. Biayanya boleh jadi sampai beribu ringgit.

Negara yang berpangkal K dalam banyak hal, benar-benar menjadi K iaitu kertas duit. Menjadi seperti ibu Korea, adalah menjadi ibu yang ada kertas duit dalam dompetnya. Kecuali K-pop, ramai yang tidak tahu hakikat 'K-isteri.'

Glosari:
Annyenghaseyo: ucapan selamat 
Ahjussyi: Pakcik
Ahjumma: Makcik
Daum mannayo: Jumpa lagi nanti
Hanbok: pakaian tradisional Korea
Kamsahammida: Terima kasih
Kencanayo: Tidak ada masalah
Oit: Khinzir
Orinijib: pusat asuhan anak

Please reload

Featured Posts

I'm busy working on my blog posts. Watch this space!

Please reload

Recent Posts

September 3, 2019

July 21, 2019