ummihani.abuhassan@yahoo.com.my/ 2016

Aku Belajar Darimu, dan Kamu Belajar Dariku.. (Kisah Suami Isteri)

May 31, 2019

 

 

 

Beberapa hari lalu, saya berasa dekat dengan maksud Surah Al-Asr :

 

'Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan  kebaikan, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

 

Tegur-menegur antara kami  suami-isteri setiap hari berlaku. Selalunya dalam keadaan tenang, dan selalu juga dalam keadaan emosi yang kemudian disusuli dengan maaf-bermaafan. Saya akui, sebagai anak sulung 11 beradik, dan suami anak bongsu, yang hanya dia seorang lelaki, tentulah saya banyak 'menegurnya' bak 'kakak sulung' kepada 'adik bongsu'. Tetapi syukurlah kerana bekalan ilmu agama yang dipelajari sejak kecil hingga ke universiti, saya pohon Allah bantu gantikan 'keegoan anak sulung' dengan rasa hormat, takut dan yakin sepenuhnya kepada suami. Ia bukanlah proses yang mudah, tetapi Kalam Allah menjadi 'maps dan GPS' yang tidak pernah mengecewakan.

 

Beberapa hari ini, saya kerap juga menegur suami agar lebih mengambil-berat tentang ibunya. Dia seorang anak yang baik, tetapi kesibukan menyebabkan seorang anak lelaki sering terlupa untuk menghubungi ibunya setiap hari. Lalu saya bertanya, apakah hari itu dia sudah menelefon ibunya, dan biasanya soalan saya akan disusuli nasihat panjang kepadanya, "Abangku, jika kamu mahu menjadi manusia yang hebat dalam bidang apapun, maka jagalah tiga hubungan yang pertama dalam hidup kita 1. Allah 2. Rasul 3. Ibu. Cintailah ibu lebih dari cinta kepada isteri. Tolonglah ambil berat, telefonlah dia setiap hari walau bertanyakan 'Mak masak apa hari ini?"

 

Begitulah anak lelaki, sering berasa emak mereka baik-baik sahaja di kampung. Dapat telefon emak sekali dua dalam seminggu dirasakan cukup. Mereka bukan anak derhaka, tetapi seni memahami perasaan wanita tua perlu dibantu oleh isteri. Jiwa keibuaan isteri adalah sama dengan jiwa ibu kepada suami kita.

 

Dalam hal yang lain, suami pula banyak menegur saya. Dari pengurusan sistem kerja dan belajar sampailah cara berbahasa dengan orang lain. Dua hari lepas, saya mengadu kepada suami tentang sikap-sikap orang yang tidak menyenangi saya (yang saya fikir) di tempat kerja. Lalu suami tidak pula menambah 'perasa bawang' bila saya emosi. Dia akan memujuk saya tidak perlu fikir yang negatif. Sebaik saya tenang dia berkata, "Ummi bagilah hadiah kepada kawan yang tidak senang dengan Ummi tu ya.." Ya Allah, saya mahu menangis kerana Allah telah mengirimkan seorang pasangan hidup yang hatinya baik pada orang lain.

 

Begitulah, waktu saya menasihati suami, saya bukanlah sempurna. Waktu suami memberi nasihat kepada saya, dia pun bukan paling sempurna.

 

Ianya bunga-bunga kehidupan yang Allah telah terangkan dalam Surah Al-Asr bahawa manusia itu akan terjamin kebahagiaan dan kebaikan mereka hanya sahaja mereka perlu 'berpesan kepada benda yang baik dan bersabar dalam musibah.

 

Semoga pasangan kita adalah sahabat kita seperti dalam Surah Al-Asr, menemani kita di dunia untuk Bersama kita di Syurga Firdaus. Amin

Please reload

Featured Posts

I'm busy working on my blog posts. Watch this space!

Please reload

Recent Posts

September 3, 2019

July 21, 2019

April 29, 2019

April 24, 2019