top of page

Menjadi Menantu Yang Baik Itu Sukar..

  • Ummi
  • Mar 24, 2016
  • 2 min read

Gambar: Dawud dan Uwan

Hampir sebulan emak mentua tinggal bersama kami di Seoul. Ianya adalah tempoh paling lama sejak saya menjadi isteri anaknya. Emak mentua seorang yang baik, lembut dan peramah. Barangkali hati saya yang 'hodoh', kadangkala perasaan 'tidak enak' muncul juga.

Gara-gara emak mentua sering bertanyakan soalan yang saya istilahkan sebagai provokasi. Contohnya, jika saya memberitahunya, "Emak, saya nak bertemu rakan di universiti.." Bila pulang, emak mentua bertanya kembali, "Lelaki ke perempuan kawan tu?" (Hati saya kala ini cuba disabarkan). Saya jawab, "Perempuan mak, jika lelaki tak jumpa .."

Jika saya memasak, kadangkala, dia tidak makan (hanya sedikit), selepas itu baharulah dia memberitahu yang dia tidak begitu makan masakan itu. Saya mula memahami perbezaan negeri, persekitaran dan umur mencorakkan cara fikir seseorang. Tetapi emak mentua bukan seorang yang suka membebel dan mengumpat, saya kira dia memendam perasaan kurang senangnya kepada seseorang hanya dalam hati. Dia introvet, saya adalah ekstrovet, jika marah terus terserlah pada wajah. Suami saya banyak menurun sifat sabar ibunya.

Saya mengadukan kepada suami.

Saya: Emak entahkan fikir saya sering bertemu orang luar terutama lelaki, entah dia bimbang..

Suami: Taklah, emak bukan macam tu.

Saya: Tapi dia selalu tanya soalan (seperti yang saya tulis di atas)

Suami: Niat emak baik, dia hanya bertanya, bukan maksud apa-apapun. Tak baiklah fikir begitu.

Saya istigfar dan bercakap pada diri, jangan termakan hasutan syaitan yang mahu hati kita hitam, bersangka buruk. Saya melihat ke dalam diri, memang tidak mudah menjadi orang yang ikhlas daripada bersangka-sangka. Jujurnya, saya belum dapat merasakan emak mentua seperti ibu kandung. Ya Allah kurniakah hidayahMu bagi memandu hatiku.

Saya kenangkan yang emak bergelar janda di usia muda ketika anak bongsunya berumur 7 bulan. Sejak itu dia berjuang sendiri membesarkan anak-anaknya . Dia berhadapan ujian kehidupan lebih dahsyat dari saya.

Itulah, menjadi menantu yang baik 'prosesnya' panjang. Semoga saya dapat menjadi lebih baik buat insan paling istimewa dalam hidup suami.


 
 
 

Comments


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page