top of page

Garang si Gadis Korea


Ini Maklong Melayu

Saya selalu terilham melihat wanita-wanita di Korea. Ada pelbagai bentuk imej mereka. Suatu ketika dalam tren di Kota Seoul, saya tersentak oleh ketawa sekumpulan wanita yang berpakaian hampir seragam: topi, jaket nipis, seluar dan beg tangan yang semuanya berwarna-warni. Rambut mereka yang sedikit berjurai dari topi kelihatan sama: kerinting. Wajah mereka melambangkan kekentalan Korea yang asli, tidak terusik oleh pembedahan plastik, ada kedutan tetapi ceria. Suara mereka gamat, tidak menghiraukan siapapun yang berada dalam tren. Mereka bercerita, ketawa dan bercerita lagi, terus ketawa tanpa henti. Sebagai pengembara baru, saya tertanya-tanya sendiri, siapakah kumpulan wanita ‘pelik’ ini?

Rupanya, pada hari-hari yang lain, bukan sahaja dalam tren, tetapi di pasar, di taman atau dalam bas, saya bertemu lagi kumpulan seperti ini. Sewaktu mahu melintasi jalan, saya lihat seorang wanita, walaupun tidak dalam kumpulan, imejnya sama. Dia mengayuh basikal dengan baju dan topi berwarna pink. Agakan saya umurnya seperti kumpulan wanita yang saya jumpa, 50-an ke 60-an. Di pasar, melihat kedai-kedai pakaian yang berderetan, minda sudah dapat mengagak ‘untuk siapa’baju, topi, kasut, seluar dan aksesori itu dijual jika desain dan warnanya terang begitu? Akhirnya, saya menjumpai perkataan yang sesuai merujuk kepada wanita-wanita ‘khas’ ini. Mereka digelarkan ‘ajumma’ (yang bermaksud makcik) di Korea.

Tidak semua wanita Korea mahu digelarkan diri sebagai ‘ajumma’ walaupun mereka adalah ‘makcik’. Ajumma terkenal dengan sifat berani, banyak mulut, berterus-terang, keras hati dan bergerak dalam kumpulan. Pakaian dan aksesori mereka sama. Uniknya mereka ini sehingga seorang penulis Korea menyebutkan dalam tulisannya: Ada tiga jenis manusia di Korea. Pertama lelaki, kedua perempuan dan ketiga Ajumma!

Gadis Korea Yang Garang

Dalam bas pagi itu, saya memilih berdiri sepanjang perjalanan ke universiti. Ada satu kerusi kosong di tempat duduk belakang, sebelah wanita ‘ajumma’. Tetapi berat hati saya mahu duduk di situ. Bas mengambil penumpang di satu hentian, seorang gadis Korea yang sedikit gempal naik dan terus memilih duduk di sebelah ajumma di belakang. Malangnya, kerana badan gempalnya itu, dia tersinggung tubuh ajumma yang lebih kecil. Itulah permulaan ‘perang mulut’ pagi itu sepanjang saya ke universiti.

“Kamu duduklah baik-baik, tengok beg saya pun dah jatuh!” jerit ajumma kepada si gadis. Kuat. “Ajumma, saya tak sengaja. Janganlah marah!” jerit si gadis, lebih kuat. “Kamu ni kurang ajar betul. Lain kali minta maaf!” jerkah ajumma. “Saya tak sengajalah ajumma. Janganlah menjerit!,” balas si gadis dalam nada tinggi. Mereka terus bergaduh tanpa menghiraukan penumpang bas lain. Hal ini mengingatkan saya kepada satu peristiwa dalam kelas di semester kedua.

“Saya pelik bagaimana kamu boleh belajar di Korea tetapi tidak tahu berbahasa Korea?” jerit rakan wanita saya. Kelas kami sedang berhenti rehat. Profesor Lee yang duduk di tempatnya hanya memandang, tidak memberi sebarang respon. Beliau adalah pakar Sastera Perancis, tidak mahir berbahasa Inggeris dan menyampaikan kuliahnya dalam bahasa Korea. “Saya dimaklumkan tidak perlu bahasa Korea kerana saya dalam bidang Sastera Melayu-Indonesia,” jawab saya. “Kamu sepatutnya pergi belajar bahasa Korea dulu kemudian baru sertai kelas ini,” katanya lagi. Seorang rakan wanita lain turut menyokong, mereka berdua menjerit-jerit ‘meleteri’ saya hari itu. Ya, di depan profesor. Kemudian, saya keluar dari kelas dengan luruhan air mata. Peristiwa itu membuka mata saya bahawa gadis Korea ‘bukan sebarangan beraninya!’

Hati Yang Baik

Peristiwa gugur air mata itu saya ceritakan kepada suami. “Semoga inilah kali terakhir saya jumpa mereka di Korea,” kata saya yang kecewa. Suami memberi semangat, menyuruh saya berdoa yang baik-baik untuk orang lain. Doa saya dimakbulkan Allah Swt pada semester ketiga, saya tidak sekelas dengan gadis-gadis ‘garang’ itu lagi.

Sebaliknya, pada semester keempat saya tiada pilihan. Rupanya Allah SWT tempatkan saya dengan dua gadis ‘yang memarahi’ saya dulu dalam satu kelas. Ya, hanya kami bertiga. Saya kuatkan hati. Ini adalah semester terakhir kelas, selepas ini saya dan mereka akan membawa haluan ‘tesis’ masing-masing. Tidak saya jangka, mereka ‘berubah angin’ dan begitu baik terhadap saya.

Saat saya ingin menduduki peperiksaan akhir kelas Phd, merekalah yang menghubungi pihak pengurusan peperiksaan agar menyediakan soalan dalam bahasa Inggeris. Salah-seorangnya mencarikan soalan-soalan ‘target’ dan menerjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Malah begitu sungguh-sungguh membantu.

“Ummi, kamu tak dapat mesej saya?” si gadis Korea ini menelefon saya beberapa hari sebelum peperiksaan.

“Maafkan saya Onyi (kakak), nombor telefon saya sudah tukar. Jadi, saya tak terima mesej kamu,” terang saya.

“Oh, saya dapat nombor baru kamu ini daripada orang lain. Begini, saya mahu hantar soalan target kepada kamu, berikan emel segera. Kami mahu kamu berjaya, jangan putus asa,” katanya, membuatkan saya terharu. Begitu sekali mereka menyokong saya. Syukur, soalan target yang mereka berikan itulah yang terbit dalam peperiksaan.

Semakin kerap bertemu, makin erat hubungan kami. Kadang-kadang mereka membelikan saya kopi dan kuih, saya membalasnya dengan roti. Saya sudah melupakan riak wajah mereka yang ‘garang’ dulu kerana gadis-gadis Korea suka berterus-terang. Mereka bukan marah tetapi sebenarnya prihatin.

Sporting

Sewaktu ayah saya mencari orang Korea yang mahu berlakon dalam Drama Cinta Teruna Kimci sebagai nenek dan ibu, saya adukan kepada guru bahasa Korea. Dia kemudiannya memberitahu, “Ummi, saya dan ibu saya sendiri akan berlakon watak itu. Ini sungguh luar biasa kepada kami. Pengalaman pertama yang sangat menarik. Kami mahu cuba!”

Begitulah beberapa kisah saya dengan wanita-wanita Korea. Mereka berani dan suka berterus-terang. Mereka jarang ‘malu’ dalam perkara yang mereka fikirkan baik. Semua ini saya lipatkan dalam almari pengalaman.

Benarlah Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mendalam PengetahuanNya


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page