top of page

Rumahtangga, Kilang Pahala Kita


Saya dihubungi seseorang yang agak rapat, meminta bantuan yang saya kira 'sukar' untuk ditunaikan. "Tolonglah nasihatkan dia, dia kini berhubungan 'rapat' dengan suami orang," kata sahabat saya itu. Saya kemudian bertanya pandangan suami, apa yang perlu saya lakukan? Menegur seorang yang sudah berusia dan dihormati tidak boleh secara 'direct', tambahan individu itu banyak berjasa kepada saya dan keluarga. Lalu, saya mencadangkan sahabat itu meminta bantuan orang terdekat dan dihormati pula oleh si dia yang tersalah langkah.

Walaupun begitu, saya terus memikirkan dalam diri saya pula, bermuhasabah dan mengaitkan dengan persekitaran. Rumahtangga, semakin lama semakin membosankan atau membahagiakan? Ianya bukan jawapan matematik.

Dalam kelas Dr Seo Myengkyo, dua tahun yang lalu. Beliau pernah mengutarakan kepada kami pandangan yang lucu tetapi serius. "Saya percaya, ramai suami isteri jika diberikan peluang untuk mengulangi semula perkahwinan, mereka tidak mahu pilih pasangan yang mereka ada sekarang!" katanya bersambut ketawa rakan-rakan lain, tetapi bukan saya. Saya geleng kepala, dan berkata, "Suami saya terbaik buat saya."

Mustahil di dunia ini, rumahtangga hanya dihiasi kebahagiaan tanpa dilapisi ujian, masalah dan proses kematangan. Allah SWT berfirman bahawa perkahwinan adalah kerehatan jiwa bagi manusia. "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”(Ar-Rum: 21)

Fitrahnya, isteri adalah kerehatan bagi suami, dan suami adalah pelindung bagi isteri. Saling membahagiakan dan membangunkan.

Namun, prosesnya tentu berbeza antara satu sama lain. Ada yang mengambil masa yang lama dan beranjau liku. Ada pula sebaliknya tetapi diuji dengan kesakitan pasangan, kemiskinan atau pasangan meninggal dunia lebih awal. Ujian adalah peperiksaan kita menjadi orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT.

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ’Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi ?Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah al-Ankabut: 2-3)

Bayangkan dua manusia yang tumbuh dalam perut wanita berbeza, dibesarkan dalam keluarga berbeza, persekitaran dan pemikiran berbeza kemudiannya disatukan menjadi suami isteri. Saat suami pertama kali menghubungi saya lewat mesej Facebook untuk berkenalan (setelah disuruh oleh ustaznya iaitu bapa saudara saya) saya membalas mesejnya"Jika saudara serius mahu berkenalan, datanglah bertemu ayah dan ibu saya kerana saya tidak mencari teman lelaki, tetapi suami!" Kami sama-sama mempertaruhkan masa depan kerana Allah SWT. Saya tidak pernah mengenalinya, begitu juga dia. Dua bulan kami mengusahakan segala prosedur untuk berkahwin, hanya kepadaNya kami berserah. Saya berdoa kepada Allah SWT, "Ya Allah, jika dia memang jodohku, maka Kau permudahkanlah perkahwinan kami.." Ternyata, penyatuan kami mudah kerana dia sememangnya dijodohkan untuk saya.

Hari-hari awal bergelar suami-isteri saat yang manis dan 'masam' juga. Bercinta selepas kahwin adalah syariatNya dan pasti ada berkat. Tetapi saya tidak lupakan 'proses' untuk mendapat kebersamaan itu. Saya anak sulung 11 beradik, dia anak bongsu empat beradik dengan tiga orang kakak. Dia dibesarkan dalam kesusahan, anak yatim sejak usia 7 bulan dan banyak bersabar. Saya sudah dibiasakan abah dan emak untuk hidup selesa walapun tidak mewah. Abah dan emak banyak memberi kebebasan untuk saya meneroka sesuatu yang baik. Paling berani, adalah pernah pulang dari Syria ke Malaysia seorang diri. Saya sudah biasa berdikari dan membuat keputusan. Hal ini rupanya dalam rumahtangga tidak mudah. Seorang isteri perlu mendapat keizinan dan redho suami dalam apa sahaja perkara (kecuali yang yang wajib diperintahkan Allah SWT).

Sifat-sifat bertentangan, buruk-baik suami isteri itu adalah untuk melengkapkan satu-sama lain. Jika suami kurang peka pada kebersihan, maka isteri perlulah bersabar dan kekalkan kebersihan tersebut. Jika isteri suka mengumpat, suami perlulah bersabar, nasihat dan lakukan sesuatu yang mendidik isteri menjadi orang yang tidak bercakap hal orang lain, prosesnya mungkin lama.

Isteri mungkin tidak pandai memasak untuk tiga tahun pertama perkahwinan, tetapi selepasnya mungkin dia menjadi chef terbaik di dapur rumah selepas belajar dari ibu mentua, ipar duai, rakan-rakan atau Google. Suami mungkin seorang yang bengis dan meninggalkan solat, tetapi berkat pulang dari Mekah, dia bertukar menjadi insan soleh, lebih baik daripada isteri. Ingatlah, ujian pasangan terhadap kita, atau kita terhadap pasangan semuanya tidak terlepas dari kekuasaan Allah SWT. Pandanglah dari sudut positif, yang mendekatkan kita kepadaNya. Berdoa dan minta ampunlah pada Allah SWT. Sebelum kita memaksa pasangan menjadi terbaik untuk kita, berusahalah diri menjadi terbaik kepada pasangan. Mintalah ganjaran dari Allah di kala pasangan terlihat masih kekal buruk.

Elakkan mengadu kepada orang luar terutama yang berlainan jantina tentang hal rumahtangga. Syaitan telah berjanji menyesatkan manusia, jadi ada banyak cara syaitan boleh menyesatkan kita untuk meruntuhkan masjid yang kita bina. Godaan yang terbisik di hati itu perangilah dengan zikrullah dan ikhlas. Pandanglah dunia sebagai jambatan ke akhirat. Jambatan yang bengkok dan mulai rosak itu usahakan kembali elok, berupaya membawa kita ke akhirat dengan selamat. Jauhilah jalan-jalan yang kita nampak indah dan boleh menyelamatkan tetapi hakikatnya itulah pemusnah dunia akhirat kita. Allah.. Allah.. Allah matlamat kita!


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page