top of page

Cinta Fahri dan Tulip Taean


Musim bunga 2016 mendatangi Korea dengan lebih cepat. Sakura berbibit di pohonan awal April, lebat pada minggu kedua dan gugur pada minggu-minggu berikutnya. Setelah sakura hilang, bunga-bunga lain muncul; gaenari, plum blossom, magnolia dan mawar. Saya melihat wajah-wajah masyarakat Korea lebih ceria, seperti kelopak bunga yang indah. Di universiti, para mahasiswa tidak berjalan laju-laju, mereka lebih santai, bergurau-senda di jalanan sambil telefon bimbit tidak lepas memotretkan bunga-bunga yang beruntaian. Benarlah, melihat perkara-perkara indah membuatkan manusia terlupa seketika masalah mereka.

Membaca AAC 2 di Korea

Saya menikmati Novel Ayat-Ayat Cinta 2 (AAC2) ketika bunga-bunga tumbuh galak. Novel setebal 690 halaman dengan latar negara minoriti Muslim di Scotland dan England mengutarakan tiga lapisan cinta: Cinta Allah SWT, cinta manusia dan cinta suami-isteri. Fahri menunjukkan qudwah bagi semua cinta ini dengan seimbang. Cinta kepada Allah SWT memberi nafas untuknya berkelakuan baik dengan manusia: Muslim atau non Muslim. Saya cuba memfokuskan hubungan baik Fahri dengan jiran-jiran non-Muslimnya yang beragama Yahudi dan Nasrani. Banyak dalil dikemukakan pengarang, Ustaz Habiburrahman el-Shirazy tentang berkelakuan baik terhadap seluruh manusia. Misalnya, Fahri membantu jirannya, Nenek Catarina yang beragama Yahudi tentang masalah rumah. Malah, ketika Nenek Catarina meminta tolong Fahri membawanya ke Sinagog (rumah ibadah Yahudi), Fahri menunaikannya. Dengan Kiera, jiran Inggerisnya yang sangat membenci Muslim, Fahri bertambah-tambah baik walaupun rumahnya sering menerima surat cacian Kiera yang berbunyi: Muslim = monster, Islam = satanic, Muslim terrorist, go hell!. Adik Kiera bernama Jason pula sengaja mencuri di kedai Fahri dan mendendami lelaki itu gara-gara keluarga mereka yang terkorban dalam pengeboman London dipercayai telah dilakukan militant Islam. Fahri tidak sedikitpun membalas dengan kejahatan hatta sekadar menunjukkan wajah yang masam kepada jiran non-muslimnya.

Dia sabar dan terus berbuat baik. Kata Fahri, “Dalam catatan sejarah, orang yang masuk Islam karena kelembutan budi itu jauh lebih banyak dibandingkan peperangan. Terbukanya Kota Mekkah dan berbondong-bondongnya penduduknya masuk Islam itu karena halus budinya Rasulullah SAW. Tidak ada adu pedang dalam penaklukan Kota Mekkah yang sangat bersejarah tersebut. Itu adalah penaklukan dengan kebesaran jiwa dan akhlak Rasulullah SAW.” (AAC 2, 133)

Entah mengapa, hati amat tersentuh dengan teladan yang ditunjukkan dalam novel AAC2 tatlala saya sendiri berhadapan dengan masyarakat non-Muslim sekeliling. Seolah-olah novel itu memujuk saya bersabar dan terus berbuat baik kerana itulah dakwah. Di zaman Islamopobhia tajaan barat, Islam diviralkan sebagai agama berbahaya. Tidak sedikit kalangan masyarakat Korea yang berasa aneh dengan cara hidup Islam. Pernah, rakan seuniversiti saya beragama Islam disuruh menanggalkan tudung oleh seorang lelaki tua Korea. Barangkali dia berfikir, tudung itu ketinggalan zaman. Waktu yang lain, ramai juga bertanya tentang Islam, malangnya masalah bahasa menjadi asbab utama untuk menyampaikan tentang Islam lebih baik. Justeru, akhlak mulialah yang paling penting apabila hidup dalam kalangan komuniti non-Muslim.

Tulip Taean

Musim bunga di Korea adalah musim festival dan cuti umum. Kebiasaannya, kerajaan Korea menggalakkan masyarakatnya bercuti dan melawat tempat-tempat menarik dalam negara mereka dengan tujuan merangsang ekonomi. Justeru, tidak hairanlah seluruh Korea dipadati pameran atau acara musim luruh yang hebat, sesuai dengan cuaca ‘tidak panas dan terlalu sejuk.’ Orang-orang Seoul akan menjengah luar kota, orang di daerah luar Bandar berderu mendatangi Seoul dan bandar besar lain untuk bercuti. Kami memilih Taean, bandar yang terletak di selatan tengah Korea, kira-kira dua jam perjalanan dari Seoul. Gara-gara sebuah laman web yang mengisytiharkan Taean sebagai antara lima ‘rumah tulip’ terbaik di dunia!

Kami bersama dua keluarga Malaysia (yang tinggal di Korea) meredah lebuhraya selatan yang dikelilingi gunung dan hutan. Cuaca hangat menyegerakan pokok-pokok menjadi hijau dan pawana. Subhanallah, sebaik tiba di Taean dalam provinsi Chungnam, diri berasa takjub dengan ciptaanNya yang unik. Kami berada atas jalanraya dengan dua pemandangan berbeza, di kanan jalan adalah sawah padi yang luas, di kirinya pula adalah lautan biru dari Laut Kuning Korea Selatan. Beberapa kilometer di depan, kami dihidangkan dengan 1.2 juta dari 300 jenis tulip pelbagai warna, Allahuakbar!

Secantik Tulip

Anak-anak berlari girang di ladang tulip yang luas, tidak mengerti jenis bunga ‘cantik’ yang mereka lihat. Saya pula sibuk memfoto pemandangan yang pertama kali dilihat dengan mata. Warna-warni tulip indah mempesonakan pandangan, namun sayangnya, ia tidak berbau. Sehingga kami pulang, saya tidak dapat menerangkan bau tulip seperti apa, cuma perkataan ‘cantik’ terlantun di bibir. Benarlah, ciptaan Allah SWT mempunyai maksud perbandingan bagi manusia. Orang yang cantik, tanpa akhlak mulia dapat dikatakan seperti tulip; bahan hiasan dunia yang sampai waktunya akan layu dan hancur di tanah.

Musim bunga ini, saya mendapat dua inspirasi besar: Novel Ayat-Ayat Cinta 2 dan tulip di Taean.


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page