top of page

Jiran Kami Mr Brandon


Gambar: Jiran kami dari seluruh dunia

Sudah setahun kami berjiran dengan keluarga Mr Brandon, warga Amerika yang berkahwin dengan wanita Korea. Rumahnya terletak atas rumah kami. Dia suka menanam sayur-sayuran di beranda rumah. Ruang yang kecil tidak membataskan minatnya. Sering buah terung yang ditanamnya berjuntai masuk ke ruang beranda kami. Melihat ungu terung itu, saya senyum menggeleng kepala. Jangan buah labu sudah!

Mr Brandon dan isterinya mempunyai dua anak perempuan yang memiliki wajah Amerika dengan sepasang mata Korea. Anak-anaknya bercakap Korea dengan ibu mereka, dengan Mr Brandon mereka bercakap Inggeris gara-gara si ayah tidak tahu berbahasa Korea walaupun berpuluh tahun tinggal di sini. Sebenarnya, Mr Brandon seorang Profesor Pengajian Antarabangsa di universiti saya namun dia melarang kami memanggilnya Prof atau Dr. “Panggil saya Brandon saja,” pesannya. Kesederhanaannya terlihat juga pada kereta yang dipandunya hujung minggu; sebuah kereta Sonata lama yang agak uzur. Dia ke universiti hanya menggunakan tren dan bas awam. Kami juga tahu dia memakai hp yang ‘ketinggalan zaman’ dibandingkan dengan ‘trend’ masyarakat Korea.

Beliau bukan sebarangan orang di universiti. Suatu ketika, saya membelek majalah rasmi universiti kami, terlihat namanya sebagai Ketua Editor. Beliau memilih hidup seadanya walaupun gaji profesor sangat tinggi di Korea (dengan cukai yang juga tinggi). Isteri dan anak-anaknya juga tidak mewah. Dia mempunyai karakter ‘khusus’ bila berhadapan dengan kanak-kanak; seolah-olah dia adalah guru tadika. Darda’ senang dengan Mr Brandon tambahan pernah dihadiahkan siput babi (snail) oleh lelaki tinggi berkacamata itu.

“Setiap kali membuka tingkap, saya terbau masakan dari rumah kamu. Saya teringin tahu apakah masakan itu,” kata Mr Brandon suatu hari kepasa saya dan suami. Inilah permulaan kami menghantar makanan yang dimasak kepada keluarga Mr Brandon. Saya mula rasa bimbang ketika mahu memasak. Pertanyaannya, ‘apakah bau masakan akan sampai ke rumah jiran kami nanti? Aduhai..

Makanan Malaysia seperti sambal tumis, gulai dan nasi goreng hampir setiap minggu ada di rumah kami. Aromanya tidak boleh disekat. Kadangkala, saya menggoreng juga ikan masin atau pekasan yang dibawa dari Malaysia. Mungkin amat lazat kepada kami, tetapi busuk kepada jiran-jiran kami dari seluruh dunia. Beberapa hari lalu, suami menghantar laksa dan nasi lemak kepada keluarga Mr Brandon. Katanya, masakan itu sangat enak. Semoga dia tidak ‘beretorik’ menjaga hati kami. Kami juga berdoa mereka sekeluarga dikurniakan hidayah dari Allah SWT suatu masa nanti.


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page