top of page

Menjadi Orang Miskin di Seoul


Gambar: Tahun kedua di Korea, Dawud sudah lahir, rezeki makin bertambah Allahuakbar. Anak adalah rezeki.

(EPISOD LIMA)

Beberapa minggu berlalu, kami menyedari wang simpanan menyusut dengan cepat. RM10000 hanya bernilai RM3500. Barang-barang harian pula tiga ke empat kali lebih mahal dari Malaysia walaupun pada kuantiti dan jenama yang sama. Saya resah kerana wang biasiswazah dari Universiti Malaya belum muncul di akaun. Biasiswa HUFS hanya menaja pembayaran yuran sahaja. Akhirnya, saya menghantar emel kepada pegawai berkenaan. Namun, jawapan daripada pegawai tersebut menyebabkan hati saya menangis pilu.

“Puan, kami mohon maaf kerana borang biasiswazah puan masih belum dibawa ke mesyuarat pentadbiran.”

Ya Allah, saya seperti mahu terbang ke Malaysia. Bagaimana saya mahu meneruskan kehidupan di Seoul yang serba mahal ini? Tetapi perasaan itu sedikit kendur apabila melihat wajah suami yang tenang. Dia menasihatkan saya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Allah SWT yang menjalurkan ujian, Dia juga Yang akan menurunkan bantuan, manusia hanya sebagai perantara.

Saya melihat wajah Darda’ yang berusia tiga tahun. Saya bayangkan juga wajah bayi yang bakal lahir. Kedua mereka telah disuratkan rezeki masing-masing sejak dari Luh Mahfuz, Allah SWT Maha Pengasih, Maha Penyayang. Bukankah dalam setiap perkara, kita semua membaca Bismillahirrahmanirrahim yang bermaksud; Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang? Saya imani dengan kuat kalimah itu.

Kelas Dalam Bahasa Korea

Petang itu, saya hadir ke kelas Profesor Kim Wok Dong buat kali pertama. Dia seorang pakar sastera bandingan Korea yang meraih Ph.Dnya di Amerika Syarikat. Dia boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan mengalukan saya menyertai kelasnya.

Saya berasa lega melihat buku rujukan yang diberikan beliau dalam Bahasa Inggeris (bersama rujukan dalam Bahasa Korea). Ada tiga pelajar Ph.D lain, semuanya perempuan dan berbangsa Korea. Mereka senyum dan hairan melihat saya apabila mengetahui saya tidak pandai berbahasa Korea. Rupanya, kehairanan mereka benar-benar berbaloi kerana Prof Kim Wok Dong tidak menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran. Ya Allah, satu jam lebih saya membuka telinga tanpa dapat memahami apa yang diterangkan pensyarah. Rasanya seperti mahu menangis tetapi saya pujuk hati, pengalaman ini boleh saya kongsikan dengan anak-anak murid saya nanti.

“Ummi, melakukan Ph.D di Korea ini tidak sukar. Kamu hanya perlu rajin sahaja,” pesan Profesor Dr Lim Kim Hui sentiasa saya pegang. Ya, jika ada tiga undang-undang untuk berjaya di Korea ini, undang-undang tersebut adalah:

  1. Rajin!

  2. Rajin!

  3. Rajin !

Begitulah syaratnya. Saya hanya perlu mengikut apa sahaja arahan para profesor, jangan cepat memberi alasan dan tekun. Dalam kelas hari itu, saya bersabar walaupun perit hati melihat rakan-rakan dapat berdialog, bertanyakan soalan dan ‘bergurau’ dengan profesor dalam bahasa ibunda mereka. Saya seperti orang asing dari bumi yang lain. Malah, jika saya tidak mengangkat tangan atau bertanyakan soalan dalam Bahasa Inggeris (tentulah soalan yang dibuat-dibuat agar pensyarah memberi ‘sedikit’ perhatian kepada saya), mungkin saya hanyalah patung ‘bernyawa’ kepada mereka.

Ia sesungguhnya pengalaman yang menarik dan menyakitkan hati. Saya mendapat idea nakal. Suatu masa nanti, jika ada pelajar asing yang mahu belajar sastera (tidak kiralah sastera Inggeris atau Rusia sekalipun) di Malaysia, jika gurunya adalah saya, pasti saya akan ‘memaksanya’ belajar Bahasa Melayu dengan cara yang telah dilakukan Profesor Kim Wok Dong dan anak-anak muridnya ini.

Profesor Koh Young Hun, Profesor Soh Byung Kuk, dan Profesor Seo Myengkyo, mereka semua amat prihatin kebajikan kami sekeluarga selama di Korea. Ya Allah, balaslah sebesar kebaikanMu pada mereka.

Mahu Bersalin di Mana?

Jadual Allah SWT penuh hikmah. Saya bakal melahirkan anak kedua pada bulan Jun 2014. Ianya bertepatan dengan cuti semester yang berlangsung sehingga hujung Ogos 2014. Selepas melakukan pemeriksaan kandungan di klinik berdekatan rumah, saya memujuk suami untuk pulang bersalin di Malaysia.

“Kos bersalin secara normal kira-kira RM3000 belum termasuk kos penginapan di hospital. Jika pembedahan lebih mahal, tidak kurang RM5000 ke atas. Tidak ada hospital kerajaan di Korea. Semuanya telah diswastakan, dan masyarakat Korea wajib membayar insuran kesihatan untuk membolehkan dirawat secara percuma dan murah,” jelas saya kepada suami selepas mendapat maklumat daripada pihak klinik.

Rancangan ini juga saya sampaikan kepada penyelia Ph.D, Profesor Koh Young Hun. Dia prihatin melihat saya yang nampak lelah, turun naik bangunan serta mengejar tren dan bas. Jika tidak dia bertanyakan keadaan bayi dalam kandungan, saya terlupa bahawa saya sedang sarat mengandung.

“Ummi mahu bersalin di mana? Di Korea atau di Malaysia?” tanyanya.

“Saya mahu bersalin di Malaysia Prof. Lagipun biasiswa saya belum masuk. Pihak Universiti Malaya belum menguruskan borang saya lagi,” balas saya, berterus-terang.

“Oh, kenapa begitu? Tak apa Ummi, nanti saya carikan dana untuk kamu sehingga kamu dapat biasiswa dari UM,” balas Prof Koh.

Allah ya Allah, saya begitu terharu dan malu. Seorang yang bukan Muslim, bukan sebangsa dan senegara begitu prihatin dan memudahkan kami sekeluarga. Saya kira, dengan sikap inilah bangsa Korea cepat maju dan bersatu hati. Peraturan mereka tidak melalui banyak karenah birokrasi, hanya diputuskan oleh pihak yang diberi kepercayaan. Di universiti, profesorlah yang akan membuat keputusan berkaitan pelajar dalam bidangnya.

Bulan berikutnya, Profesor Koh Young Hun memaklumkan kepada saya, seorang dermawan Korea ingin menyara kami sekeluarga sehingga proses biasiswa UM selesai. Kami sujud syukur kepada Allah SWT. Saya mengirim emel kepada dermawan yang tidak dikenali itu, mengucapkan terima kasih atas budi baiknya.

Mak dan abah, insan yang banyak menurunkan ilmu tawakal kepada anak-anak.

Tangan di atas Lebih Baik

Setiap suratan Allah SWT mengandungi hikmah yang besar. Bila tinggal di negara yang lebih maju, kami disogok kekurangan material, tetapi tidak dengan jiwa. Setiap hari adalah perjuangan, dan sekiranya kami berjaya hadapi dan nikmati, ianya menjadi buah yang amat manis. Di Korea, hati kami tidak memandang orang-orang yang berkereta besar, berpakaian mahal atau berkulit cantik. Yang mengesankan kami adalah orang-orang kebanyakan. Apabila ke pasar, saya terpandangkan nenek yang terbongkok-bongkok memungut sampah sebagai mata pencariannya. Sungguhpun begitu, dia melakukan tugasnya dengan tekun demi sesuap nasi.

Di jalanan, saya bertemu lelaki tua yang bekerja sebagai buruh binaan. Biarpun telah dimamah usia, jiwanya kuat seteguh konkrit di tangannya. Saya menyaksikan guru-guru tadika yang bersungguh mengajar anak-anak kecil tentang alam. Mereka semuanya melakukan sesuatu dengan hati dan jiwa besar. Mereka berjuang dan saya disuntik untuk terus berjuang.

Di saat itulah saya terkenangkan satu tulisan abah yang pernah saya baca ketika berusia 9 tahun. Abah menuliskan prinsip hidupnya dalam satu catatan: Tempat rehat kita adalah di akhirat.

Ya Allah, kami datang ke sini sesungguhnya untuk belajar tentang makna hidup yang sebenar. Selagi ada iman dalam hati kami, insha Allah kami tidak akan letih.

Dan milikNya siapa yang di langit dan di bumi. Dan (malaikat-malaikat) yang di sisiNya, tidak mempunyai rasa angkuh untuk menyembahNya, dan tidak pula berasa letih.(Al-Anbiya’ ayat 19).

bersambung.


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page