top of page

Minggu-Minggu Pertama

(EPISOD ENAM)

Gambar: Dua bangunan inilah tempat saya 'meneduhkan hati' menadah ilmu di HUFS

Profesor Koh Young Hun berdiri menyambut saya di biliknya. Orangnya putih, bercermin mata dan tinggi lampai. “Apa khabar Ummi? Selamat datang ke Korea!” katanya. “Silakan duduk..” Dia menunjukkan kerusi di depan meja. Bilik profesor itu padat dengan buku-buku yang kemas tersusuk di rak. Majoritinya buku berbahasa Melayu dan Indonesia dalam bidang sastera, seni, budaya, pemikiran dan falsafah. Mata saya asyik menatap buku-buku itu.

“Minggu ini Ummi boleh mulai kelas. Saya sudah daftarkan tiga subjek untuk Ummi. Sebentar nanti kita pergi ke Pejabat Graduate School, saya mahu temukan Ummi dengan pegawai yang akan menguruskan hal akademik Ummi di sini,” kata Profesor Koh Young Hun. Saya mengangguk, hanya tersenyum dan mengiyakan. Hakikatnya, saya berasa kecil dan amat malu. Saya datang ke sini tanpa proses biasa, hanya saranan daripada beliau bahawa ‘beliau mahu saya menjadi pelajarnya.’ Bahkan, saya tidak ditemuduga dan beliau begitu yakin dengan saya sebelum kami berkenalan dan bertentang mata. Ya Allah, hebatnya rezekiMu.

Selepas menghubungi pegawai yang dimaksudkan, profesor yang dipanggil ‘Pak Koh’ oleh semua staf dan pelajar di Jabatan Melayu-Indonesia ini mengajak saya dan Seok keluar dari bilik. Pak Koh menukar ke bahasa ibundanya apabila bersembang dengan Seok, kemudian apabila bercakap dengan saya, beliau menggunakan bahasa campuran Melayu dan Indonesia.

Pak Koh menghadiahkan buku tulisannya, setelah menghadiahkan banyak bantuan manusiawi kepada kami.

36 Jam Kredit Kelas

Pak Koh memperkenalkan saya dengan Mr Heesung Park. Dia menyapa saya dalam bahasa Inggeris yang baik. Seorang lagi pegawai hanya senyum, barangkali tidak yakin bertutur Inggeris. Dia rancak menerangkan sesuatu kepada Pak Koh dalam Bahasa Korea.

“Ummi, kamu perlu menghabiskan 36 jam kredit kelas dan lulus empat peperiksaan subjek major sebelum boleh menulis tesis secara formal. Untuk semester ini, kami telah mendaftarkan Ummi satu subjek Pengajian Asia Tenggara dan dua subjek Sastera Bandingan. Kelas akan disampaikan dalam Bahasa Korea dan Inggeris,” terang Pak Koh. Saya mengangguk tetapi hati meraung. Bahasa Korea? Apa yang saya tahu dalam Bahasa Korea selain Annyeonghaseyo? Saya senyum hipokrit di depan mereka semua. Mr Heesung Park menyerahkan jadual kelas sebelum saya dan Pak Koh keluar dari bilik itu.

“Ummi jangan risau. Saya tahu Ummi tidak boleh berbahasa Korea. Untuk Ph.D Sastera Bandingan Melayu-Indonesia, kamu tidak perlu tahu Bahasa Korea. Saya akan hubungi profesor yang mengajar, mungkin kamu boleh dikecualikan daripada menghadiri kelas, hanya menulis kerja kursus kemudian hantar melalui emel kepada mereka,” kata Pak Koh, terus-menerus mahu membantu saya.

“Kamu ambil nombor telefon profesor-profesor ini, hubungi mereka dahulu dan perkenalkan diri kamu. Boleh guna Bahasa Inggeris, mereka faham,” kata Pak Koh sebelum kami berpisah hari itu. Pak Koh kemudian menghulurkan duit kepada Seok.

“Pergi bawa Ummi makan dulu,” katanya dalam Bahasa Korea.

Kali Pertama Makan Nasi Korea

Makanan Korea banyak lauk-lauk iringan dipanggil bancan.

Sewaktu masuk ke restoran kecil di celah-celah lorong depan HUFS, mata-mata yang sepet memerhatikan saya. Ajumma (makcik) tukang masak menjerit kuat kepada Seok dan rakannya, “Yogi (di sini)…Yogi (di sini)..” menunjukkan kerusi dan meja kosong. Kami bertiga duduk.

“Ibu Ummi jangan risau. Kedai ini tidak jual babi hanya ada ikan sahaja,” kata rakan Seok. Ajumma membawakan senarai menu. Saya memilih ikan makarel bakar. Apabila makanan tiba, saya terpegun melihat nasi dalam mangkuk kecil dengan hidangan sampingan yang banyak; tauge rebus, telur gulung, kimci lobak, bebola ikan bersalut cili manis dan ikan bakar. Hidung saya tidak mahu menerima bau kimci apatah lagi menelannya. Saya membaca doa makan perlahan, mula menyuap nasi ke mulut. Beberapa suapan sahaja, perut sudah kenyang.

Allah ya Allah, Maha Pemurahnya Allah. Saya mendapat pengajaran di sebalik beras di Korea. Berasnya mahal. Beras Gred A berharga kira-kira 60 ribu won atau RM240 untuk 20 kg. Tetapi, beras tersebut mampu bertahan lama kerana ianya seperti beras pulut dan agak kental, cepat mengenyangkan walau hanya semangkuk kecil. Rata-rata orang Korea makan nasi dua kali sehari.

Saya tidak dapat menghabiskan makanan. Terbayang suami dan anak di rumah, apakah mereka sudah makan? Saya perlu pulang ke rumah secepat mungkin untuk menyediakan makanan.

“Seok, terima kasih membantu saya. Sekiranya saya ada pertanyaan, saya akan hubungi kamu lagi,” kata saya kepada Seok dan temannya. Saya memutuskan untuk pulang sendirian. Selagi bergantung kepada orang lain, kita tidak dapat mempelajari sesuatu. Jika tersalah langkah, itulah pelajaran paling berguna!

Kelas Pertama

Sistem jadual di Korea sedikit pelik. Waktunya di tulis 1, 2, 3 atau 4,5,6 sehingga 7 dan 8. Ianya bermaksud 9 pagi sehingga 12 petang, 12 petang sehingga 3 petang kemudian 3 petang sehingga 6 petang. Bilik kuliah juga ditulis dengan nombor misalnya 1103 dengan maksud, 1 adalah bangunan untuk mahasiswa undergraduate,103 pula adalah biliknya di tingkat satu dan bernombor 3! Jika anda bukan orang yang suka dengan nombor, perkara ini menjadikan anda gelabah dan perlukan masa lebih awal mencari bilik kuliah.

Begitulah yang terjadi kepada saya. Selepas bertanyakan kepada beberapa orang pelajar dan pengawal keselamatan, baharulah saya berjumpa dengan kelas Pengajian Asia Tenggara yang dikelolakan oleh Dr Seo Myengkyo. Sebelumnya, saya tidak sabar mengenali Dr Seo yang berkelulusan Ph.D dari University of Cambridge, London. Ini kerana, saya pernah membaca artikelnya di jurnal berprestij, Jurnal Indonesia and The Malay World yang berpengkalan di Routledge, London.

Sebaik saya muncul di pintu kelas, Dr Seo dan para mahasiswanya memandang ke arah saya yang terlambat beberapa minit. “Ummi, silakan duduk..” kata Dr Seo dalam Bahasa Inggeris. Saya duduk dengan dada bergemuruh lebat. Wajah rakan-rakan begitu variasi. Ada yang berasal dari Thailand, Brunei, Filipina, Korea dan saya seorang dari Malaysia. Malah, saya satu-satunya beragama Islam. Saya memperkenalkan diri secara ringkas dalam Bahasa Inggeris.

“Ummi sangat beruntung. Dia dari Universiti Malaya, Malaysia dan melakukan Ph.D di sini dalam bidang Sastera Bandingan. Ummi datang dengan suami dan anak kecil, suaminya menjaga anak di rumah,” terang Dr Seo kepada kelas. Wajah rakan-rakan wanita nampak teruja kerana semuanya belum berkahwin. Nampaknya, cerita tentang saya sudah diketahui Dr Seo.

Sewaktu kelas tamat, saya merapati Dr Seo, bertanyakan tugasan minggu berikutnya. Bidang Pengajian Asia Tenggara amat baharu bagi saya. Malah, Bahasa Inggeris saya masih sederhana dibandingkan rakan-rakan lain. Untuk belajar, saya buang rasa malu.

“Ummi, kamu tak perlu risau atau berkerja keras. Saya prihatin dengan kamu yang sedang mengandung. Jika kamu tidak larat, kamu tidak perlu hadir kelas. Yang penting, jaga kesihatan diri dan bayi dalam kandungan,” kata Dr Seo lembut.

“Tapi Dr Seo….”

“Ya, kamu mesti jaga kesihatan, itu lebih penting dari belajarkan?” katanya tersenyum.

Allah ya Allah, terima kasih mempertemukan aku dengan manusia-manusia budiman di Korea.


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page