top of page

Ph.D (dengan) Fibroid II


Badan saya mengalami perubahan terutama di bahagian perut. Awal tahun 2018, perut saya kelihatan seperti mengandung 4 bulan, dan Disember 2018, saya perasan seperti 7 atau 8 bulan mengandung! (baca tentang fibroid)

Pernah ketika saya mengajar para pegawai Samsung yang akan dihantar bekerja di Malaysia, saya tiba-tiba mengalami sakit (seperti senggugut) yang amat, terasa kejang kaki dan pinggang. Saya minta izin berhentikan kelas dan suruh suami datang ambil di universiti. Biasanya terjadi sehari dua sebelum kedatangan haid. Namun, ianya tidak berlaku setiap bulan. Tiga kali saya membuat pemeriksaan fibroid di Seoul Medical Centre, daripada 9 cm, ianya membesar jadi 10 cm. Doktor menawarkan untuk melakukan pembedahan. Katanya pembedahan fibroid adalah biasa di Korea. Kos pembedahan antara RM3500- RM5000 jika mempunyai insuran (di Malaysia, kos pembedahan di hospital swasta antara RM10000-RM20000).

Saya masih lagi mempertimbangkan untuk 'menyerah' diri kepada doktor di Korea. Yang pertama di fikiran adalah menyelesaikan Ph.D dan mengajar di Hufs dengan baik. Pembedahan akan menyebabkan saya perlu bercuti dari tanggungjawab, bahkan membebani suami untuk menjaga saya.

"Bolehkah ummu bedah lepas habis Ph.D?"

"Ummu ada rasa sakit?" tanya Dr Rukayyah dalam mesejnya.

"Tak sakit tapi makin besar.."tulis saya

"Tak apa, nanti balik Malaysia terus buang.."

Saya selesai viva dan menghantar tesis lengkap pada hujung Mei dan awal Jun 2018. Ketika dunia diselimuti rahmat Ramadan, ketika doa-doa tanpa hijab berjalan ke langit, saya memohon agar Allah SWT memudahkan titik Ph.D dan menyembuhkan Fibroid. Ogos 2018 datang. Kami membawa ibubapa dan ibu mentua 'makan ångin' di daerah Gyeonggi, timur Korea. Ianya hasrat kami membalas pengorbanan mereka walaupun langsung tidak setimpal. Saya terfikir jika melakukan pembedahan, tidak dapatlah saya melayani ibubapa sebaiknya di Korea.

Meninggalkan Korea adalah titik kesedihan yang besar, buat saya dan anak-anak. Tetapi kami akur, waktu kami sudah berakhir untuk menghidu kimci ajumma, untuk bersibuk atas garis laluan pejalan kaki yang biasanya ada 6 sampai 7 lorong di jalan besar. Malah meninggalkan 'si Rezzo putih' yang sangat budiman, seperti meninggalkan kucing manja yang bertahun tinggal dengan kita. Saya abaikan dulu rasa-rasa sedih bagi memfokuskan pembedahan fibroid yang akan saya lakukan sebaik pulang ke tanah air.

Hospital Kerajaan dan Prosesnya...

Waktu mendaftarkan diri sebagai pensyarah baru di Universiti Malaya (sebenarnya saya dengan UM dah berjalin sejak tahun 2001-2012 tetapi sebagai mahasiswa), saya menghantar mesej mahu bertemu Dr Rukayyah.

Allahuakbar, tidak saya sangka, Dr Rukayyah yang saya panggil Makda itu baharu dua minggu ditukarkan ke Jabatan Sakit Puan, Hospital Besar Temerloh dari Hospital Besar Tawau, Sabah. Saya terus berkata padanya, "Saya nak bedah dengan Makda!"

Bulan September, saya membuat pemeriksaan dengan Makda di hospital. Syukurlah, temujanji saya melalui mesej Whatsapp dengan Makda. Walaupun dari Kuala Lumpur ke Temerloh ambil masa 2 jam lebih, tetapi perasaan berhadapan dengan Makda, seperti dengan ibu saudara sendiri, bukan doktor (haha, saya takut doktor sejak keil). Dia membuat scan dan ternyata fibroid saya sudah 11-12 cm.

"Besar, tak boleh bedah melintang, kena menegak sebab kedudukan fibroid agak ke belakang,"katanya. Saya berdebar.

"Makda nak cuba kecilkan dengan cara 'stopkan' dulu haid untuk sebulan. Kita cucuk ubat (saya lupa nama ubat tu). Nanti kita lihat jika makin kecil, kita cuba 3 bulan cucuk ubat."

"Tapi tétap kena bedahkan?" tanya saya.

"Ya, memang kena bedah cuma sekarang nak usahakan bagi kecil sikit supaya pembedahan tu tak besar sangat," katanya.

Data-data saya dimasukkan dalam sistem hospital. Saya menerima satu suntikan ubat menghentikan haid (untuk tempoh sebulan) sebelum pulang. Kesan suntikan tidak saya jangka, agak dahsyat. Saya mengalami rasa lenguh luar biasa. Lenguh di belakang, di lengan kiri kanan, sukar tidur dan cepat letih. Selalu juga saya keluh sebelum tidur, saya tidak mahu ambil lagi suntikan ini, biarlah terus ke pembedahan. Senggugut juga berganda sakitnya. Begitulah apabila kita menidakkan fitrah badan yang sepatutnya mengeluarkan darah kotor.

"Makda, Ummu nak terus kepada pembedahan, tak mahu suntik dah.." kata saya sebaik Dr Rukayyah memaklumkan bahawa ubat itu tidak disediakan lagi di hospital kerajaan. Saya perlu membeli sendiri dan sekali cucuk kosnya Rm300.

"Kalau macam tu Ummu datang hospital dan kita decide tarikh bedah," katanya. Bulan November saya datang ke Hospital Temerloh berjumpa Makda. Hasil scan menunjukkan fibroid saya bersize 10 cm, lebih kecil sedikit. Saya tetap dengan keputusan mahu 'menyerah kepada pembedahan.'

Dr Rukayyah menetapkan tarikh 14 Disember sebagai tarikh pembedahan saya.

"Nanti ambil kad untuk masuk wad. Masa tarikh ni bawa saja kad ke Wad Kenanga, tak perlu daftar di klinik dah," katanya.

Bersediakah saya dengan tarikh 14 Disember 2018?

Ya Allah berdebarnya..

(bersambung)


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page